Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 9 September 2015

WORLD CUP/PIALA ASIA : Penyokong pula malukan negara!

ZULKIFLEE BAKAR | 09 September 2015 12:54 AM


SEGELINTIR penonton dipercayai Ultras Malaya cetuskan kekecohan dengan membaling kerusi, suar dan mercun ke padang sewaktu perlawanan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Shah Alam, Selangor, malam tadi. utusan/Asyraaf Muqri

KUALA LUMPUR - MEMALUKAN! Itulah perka­taan paling sesuai bagi meng­gambarkan kekeco­han yang dicetuskan oleh penyo­kong bola sepak Malaysia ketika perlawanan antara pasukan Harimau Malaya menentang Arab Saudi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Segala-galanya bermula ketika perlawanan masuk minit ke-88 apabila segelintir penyokong Malaysia melakukan perbuatan bia­dab melemparkan suar, bunga api dan mercun ke tengah padang menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan ketika Malaysia ketinggalan 1-2.

Sebelum itu Malaysia terlebih dahulu berada di depan melalui ja­ri­ngan ketua pasukan Safiq Rahim pada minit ke-71, sebelum Arab Saudi menyamakan kedudukan pa­da minit ke-73 melalui jaringan Taseer Al Jessam dan menambah jaringan melalui tandukan Al Sahlawi pada minit ke-76

Berikutan keadaan semakin te­gang, pengadil perlawanan Liu Kwok Man dari Hong Kong terpaksa menghentikan perlawanan, sebelum mengarahkan semua pemain masuk ke bilik persalinan, ketika pasukan keselamatan cuba mengawal keadaan.

Apa yang berlaku benar-benar memalukan negara memandangkan perlawanan itu juga disiarkan secara langsung ke beberapa buah negara khususnya Arab Saudi. Ia juga menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan kawalan keselamatan ke atas penonton yang memasuki stadium? Bagaimana mereka boleh membawa masuk mercun, bunga api dan suar ke dalam stadium?

Perkara ini turut dipersoalkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melalui akaun Twitter beliau yang antara lain berkata: “Saya ada di Stadium SA (Shah Alam) malam ini. Melihat sendiri insiden yang memalukan. Baling suar salah. Kawalan Stadium.” Beliau turut mempersoalkan, kegagalan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengawal keadaan.

Sesungguhnya apa yang berlaku sekali lagi mencatatkan sejarah hitam kepada bola sepak Malaysia selepas tidak sampai seminggu pasukan negara mengalami kekalahan memalukan dibelasah 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada Khamis lalu.

Namun begitu perlu dingat, ini bukanlah kali pertama sekelompok penonton yang kononnya meng­anggap diri mereka penyokong tegar bola sepak Malaysia berbuat demikian. Sebelum ini ketika perlawanan Liga Super kejadian seumpa­ma itu sudah berlaku.

Tetapi apakah FAM belajar daripada peristiwa yang terjadi? Kalau dijadikan pengajaran kenapakah peristiwa yang sama boleh berulang dan lebih memalukan ia melibatkan perlawanan bertaraf antarabangsa.

Justeru FAM tidak boleh lagi memandang remeh kebiadaban dan kejahilan penyokong yang berasakan seolah-olah tanpa mereka, sokongan kepada sesuatu pasukan tidak ke mana. Kita mengakui memerlukan penonton untuk memberi sokongan moral kepada pasukan bertanding terutamanya kepada pasukan kebangsaan tetapi biarlah mereka terdiri daripada kelompok yang bertamadun, bukannya samseng bola sepak.

Episod memalukan melibatkan bola sepak Malaysia harus dihentikan. FAM perlu bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghentikan kegilaan sesetengah penyokong yang memasuki stadium bukannya untuk menonton bola sepak tetapi mahu menimbulkan kekecohan.

FAM perlu memandang serius apa yang berlaku di Stadium Shah Alam malam tadi. Ia bukan sekadar soal keselamatan tetapi juga masa depan bola sepak negara serta imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Ini memandangkan Malaysia berhadapan hukuman berat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) – segalanya kerana kejahilan kita mengawal penonton sendiri.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/penyokong-pula-malukan-negara-1.133629#sthash.F6T0QcqV.dpuf


No comments: