Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 10 August 2015

UMNO hanya perlu seorang nakhoda sahaja

10 Ogos 2015 1:33 AM

JOHOR BAHRU 9 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Johor berikrar akan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berpendapat parti itu hanya memerlukan seorang nakhoda.

Mohamed Khaled

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu ahli UMNO mesti memberi kepercayaan kepada Presiden parti untuk mengemudi bahtera parti.

“Kami mengambil ketetapan, UMNO hanya ada satu nakhoda iaitu Presiden UMNO dan kita mesti memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengemudi bahtera ini,” katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, dekat sini hari ini.

Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Yang turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Md. Jais Sarday dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang pada masa yang sama mengakui UMNO kini tidak berada dalam kedudukan sebaiknya, namun UMNO Johor tetap menyatakan sokongan sebulat suara terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta memberikan ruang untuk beliau merungkai segala isu dan kemelut yang melanda parti, bangsa dan negara, sekali gus mengharapkan jalan pencerahan untuk mereka.

“Atas sebab itu, kami mengalu-alukan dan menghargai janji Datuk Seri Presiden untuk menyelesaikan hutang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam masa enam bulan dan kami juga menaruh kepercayaan ia akan tercapai,” katanya.

Mengenai isu pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet baru-baru ini, beliau mengulangi pendirian UMNO Johor yang menghormati keputusan Perdana Menteri biarpun pada hakikatnya ada dalam kalangan ahli UMNO Johor yang ‘terluka’.

“Mana mungkin kami akan membelakangkan Tan Sri Muhyiddin hanya kerana beliau sudah bukan lagi Timbalan Perdana Menteri. Persahabatan kami bukan kerana darjat, pangkat, gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat, ia adalah cara Johor,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengingatkan semua ahli UMNO supaya tidak hilang fokus terhadap agenda utama parti, iaitu memperjuang dan memastikan kepentingan serta perpaduan orang Melayu di negara ini terus utuh dan kukuh.

“UMNO bukan milik sesiapa, UMNO institusi siasah milik bangsa Melayu, milik ummah. Maka tiada siapa yang lebih besar dan gah daripada ini semua, UMNO dan perjuangan bangsa Melayu mesti diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, UMNO Johor tidak akan sekali-kali membenarkan parti tersebut dikebumikan di negeri ini yang merupakan benteng paling kuat parti terbesar melayu itu.

Justeru, beliau mengajak semua ahli parti bersatu dan bermuafakat kerana UMNO adalah satu-satunya institusi yang membuahkan begitu banyak kebaikan kepada agama, bangsa dan negara, sekali gus mahu kepentingan parti itu dipertahankan.

Beliau yang juga Menteri Besar menegaskan, sebagai benteng paling kuat, apatah lagi parti itu 'dilahirkan' di negeri ini, UMNO yang dibentuk, diasuh, ditatang dan didewasakan di sini mesti dipertahankan demi kelangsungannya.

“Dalam setiap saraf dan titik darah, di dalam batang tubuh kami di Johor ini, 'platletnya' UMNO dan 'DNA' parti juga tanpa ragu adalah UMNO, sekali gus kami tidak akan sekali-kali membenarkan UMNO dikebumikan di negeri ini.

“Biar badai apa pun menghempas, biar gerhana apa pun yang terbias, UMNO pasti akan kami jaga dengan ikhlas, dengan amanah dan dengan keringat serta darah dan yakin Datuk Seri Presiden juga berkongsi pendirian dan rasa seperti kami. UMNO adalah amanah bangsa yang sangat besar,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umno-hanya-perlu-seorang-nakhoda-sahaja-1.122653#sthash.Uaqgw9qn.dpuf

No comments: