11 Ogos 2015 1:20 AM
KUALA LUMPUR 10 Ogos – Pemuda UMNO Pasir Gudang hari ini kesal dengan tindakan seorang anggota Wanita bahagian itu yang menghantar memorandum kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu lawatan beliau merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, semalam.
AZMAN JAAFAR
Ketuanya, Azman Jaafar berkata, isi kandungan memorandum yang dihantar kepada Presiden parti itu langsung tidak menggambarkan pendirian sebenar UMNO Bahagian Pasir Gudang secara keseluruhan.
“Pendirian Pemuda Pasir Gudang adalah selari dengan pendirian Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang UMNO hanya perlukan satu nakhoda untuk mengepalai bahtera perjuangan UMNO.
“Apa yang telah dibangkitkan oleh ketua bahagian di hadapan Presiden benar-benar mewakili suara akar umbi serta kegelisahan umum. Oleh itu, Presiden diberi masa dan ruang untuk setiap permasalahan diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kenyataan beliau merujuk kepada tindakan seorang ahli Wanita UMNO Pasir Gudang yang menyerahkan memorandum secara peribadi kepada Najib semalam yang antara kandungannya meminta beliau berehat daripada jawatannya.
Azman berkata, pihaknya berpendapat terdapat usaha untuk melaga-lagakan Najib dengan Mohamed Khaled yang selama ini diketahui umum mempunyai hubungan baik.
Beliau menegaskan, UMNO merupakan parti yang mempunyai asas perjuangan yang jelas dan tidak bersandarkan kepada sebarang figura politik, namun menjadi adat bangsa Johor untuk menghormati kepimpinan seperti yang telah digariskan oleh Mohamed Khaled dalam ucapan aluan beliau.
“Kita sebenarnya mahu mencari kebenaran dan penyelesaian kepada polemik yang sedang melanda kepimpinan UMNO dan negara ketika ini. Ini demi untuk memastikan bahawa UMNO mampu mempertahankan kewibawaannya sebagai sebuah pemerintahan dan kerajaan,” katanya.
Tambahnya, Pemuda UMNO Pasir Gudang tidak akan sekali-kali memperjudikan UMNO sebagai sebuah institusi siasah atau mensia-siakan perjuangannya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, UMNO Bahagian Pasir Gudang menjelaskan memang terdapat perbincangan isu-isu semasa antara lebih kurang 57 ketua cawangan bagi menyediakan satu memorandum untuk diserahkan kepada Najib semasa persidangan tersebut.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, UMNO bahagian tidak membenarkan memorandum tersebut diserahkan kerana ia bukan persetujuan daripada keseluruhan cawangan yang berjumlah 107 kesemuanya.
“Namun, UMNO bahagian sedar tidak dapat menahan memorandum tersebut dihulur seperti mana surat-surat dihulur dalam majlis yang dihadiri Presiden bersama orang ramai.
“Lagi pun pandangan UMNO bahagian adalah sehaluan dengan UMNO negeri iaitu menunggu sehingga selesai siasatan sebelum dapat dimuktamadkan apa-apa pendirian,” kata kenyataan itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pemuda-umno-pasir-gudang-8232-kesal-tindakan-hantar-memorandum-1.122992#sthash.GQNx7qML.dpuf
No comments:
Post a Comment