SAIFULIZAM MOHAMAD | 04 Ogos 2015 12:58 AM
PUTRAJAYA 3 Ogos - Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma dan bukannya dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion itu juga telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.
Berhubung siasatan berkenaan isu SRC International Sdn. Bhd. (SRC International), menurut kenyataan itu, siasatan yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM.
“SPRM sekali lagi memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus, dan profesional. Diharap semua pihak akan bersabar dan memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Berhubung siasatan polis terhadap pegawai-pegawai SPRM, menurut kenyataan tersebut pihak suruhanjaya itu akan memberi kerjasama sepenuhnya.
“SPRM mengulangi bahawa tiada pegawai SPRM yang terlibat dalam konspirasi mahu menjatuhkan kerajaan. Tindakan yang diambil oleh SPRM adalah jelas semata-mata bagi menjalankan tugas dan fungsinya sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas.
Dalam pada itu kata kenyataan tersebut, tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan.
“Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa takut atau berpihak dan tanpa mengira siapa yang terlibat.
“SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan. SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan mengenai perkara ini selesai,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu turut memberitahu bahawa SPRM ingin memaklumkan bahawa semasa Pasukan Petugas Khas ditubuhkan, siasatan SPRM hanya memfokus terhadap isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menjalankan siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad dan Bank Negara Malaysia pula menjalankan siasatan berkaitan dengan kaedah dan tatacara kewangan,” kata kenyataan itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/dana-rm2-6b-sumbangan-penderma-1.120338#sthash.qNgzQcLe.dpuf
No comments:
Post a Comment