26 Ogos 2015 12:57 AM
PENYERANG ATM, Abdulfees Abd Salam (tengah) berjaya menewaskan penjaga gol NS Matrix, Mohd. Helmi Eliza untuk menjaringkan gol pertama pasukannya dalam playoff Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) mengisi dua slot terakhir untuk melengkapkan 16 pasukan yang bakal berentap dalam kempen Piala Malaysia, bulan depan.
ATM menebus kekecewaan tersingkir ke Liga Perdana musim depan dengan menewaskan Negeri Sembilan (NS) Matrix 3-0 pada perlawanan playoff di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Selepas menghuni kedudukan dua tercorot Liga Super, peluang beraksi dalam Piala Malaysia mampu menjadi platform untuk mengembalikan keyakinan The Gladiators.
Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Azhar Abdullah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang import Nigeria, Abdulfees Abd Salam pada minit ke-12.
Abdulfees menyudahkan sepakan penalti selepas Venice Elphi dijatuhkan Kim Jim Ryong pada minit ke-12.
Ketika NS Matrix cuba bangkit memburu gol penyamaan dengan asakan bertali arus, anak didik Azhar menghukum mereka dengan menambah gol kedua menerusi Abdul Shukor Jusoh yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti tujuh minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Abdulfees terus menambah derita NS Matrix dengan gol ketiga ATM apabila mudah menewaskan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Ramli pada minit ke-52.
Tiga jaringan tersebut sudah cukup untuk menamatkan impian skuad bimbingan K. Devan mahu beraksi dalam saingan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, NS Matrix tetap berusaha memecah kebuntuan jaringan menerusi beberapa percubaan berbahaya, terutama menerusi percubaan N. Thanabalan pada minit ke-71, tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Syed Adney Syed Hussain.
Abdulfees hampir melengkapkan hatrik pada minit ke-81 apabila menerima lorongan menarik daripada Mario Karlovic di dalam kotak penalti, namun rembatannya berjaya ditampan Helmi Eliza.
Sementara itu, gol tunggal Shafiq Shahrudin pada minit ke-45 sudah cukup membawa JDT II melayakkan diri ke Piala Malaysia selepas menumpaskan Sime Darby 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/atm-jdt-ii-lengkapkan-slot-16-pasukan-piala-malaysia-1.128484#sthash.JPpO6qfP.dpuf
No comments:
Post a Comment