Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 1 October 2015

AFC CUP : Gol Amri pembakar semangat

Gol Amri pembakar semangat

01 Oktober 2015 1:24 AM


Pemain-pemain Qadsia meraikan jaringan mereka sementara pemain JDT, Gary Steven Robbat (kanan) tertunduk kecewa dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFC di Kuwait City semalam. - AFC

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadapi laluan sukar untuk ke perlawanan akhir Piala AFC selepas tumpas 3-1 kepada Al-Qadsia SC semalam, namun jaringan Amri Yahyah sekurang-ku­rangnya masih memberikan nafas kepada Harimau Selatan.

Jaringan Amri da­lam perlawanan di Sta­dium Kelab Sukan Kuwait, Kuwait City semalam juga setidak-tidaknya membuatkan JDT masih bersemangat untuk mengharungi perlawanan kedua di tempat sendiri, apatah lagi mereka belum pernah tewas di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dalam semua pertandingan musim ini.

Gol tunggal JDT itu pasti mahu dijadikan penyuntik semangat oleh Mario Gomez dan anak-anak buahnya bagi menghadapi separuh akhir kedua pada 20 Oktober ini.

Bagi pengendali JDT itu, beliau menyifatkan bekalan satu gol itu amat penting kepada pasukannya dan mengakui andai tiada gol dibawa pulang dari Kuwait, keadaan akan menjadi lebih sukar untuk skuadnya.

“Jika perlawanan berakhir dengan kemenangan 3-0 untuk Qadsia, pasti menjadi lebih sukar namun gol yang kami jaringkan akan memberi kami peluang. Secara jujurnya, mungkin lebih baik jika keputusannya 2-1, namun amat sukar dan keputusan itu (semalam) amat penting.

“Dalam perlawanan kedua, kami perlu menjaringkan dua gol namun kami juga akan berharap kepada (sokongan) penyokong untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya, yang dipetik daripada lawan web Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

JDT memiliki rekod yang baik di laman sendiri dalam kempen Piala AFC musim ini dengan menang empat kali dan seri sekali. Satu-satunya keputusan seri yang dicatat adalah ketika bertemu kelab Hong Kong, South China yang berakhir dengan 1-1.

Dalam perlawanan semalam, pertahanan skuad Harimau Selatan menjalankan tugas dengan disiplin untuk menghalang pemain Qadsia daripada membolosi kawalan. Namun kekentalan benteng JDT akhirnya roboh pada minit ke-33 menerusi jaringan Doris Fuakuputu dan Bader Al Motawaa menambah derita pelawat apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 untuk meletakan pasukan itu mendahului 2-0 pada babak pertama.

Seydouba Soumah kemudian menambah gol ketiga pada minit ke-58 sebelum Amri berjaya membantu JDT membawa bekalan satu gol ke Larkin menerusi jaringan pada minit ke-82.

Sementara itu, jurulatih Qadsia, Rashed Al Bedaih juga sedikit berang apabila mengakui gol Amri telah merencatkan perancangan pasukan bimbingannya.

“Menang dengan keputusan seperti itu di laman sendiri adalah bagus sekali pun kami sebenarnya berusaha mengelak untuk melepaskan gol. Kami mengawal perlawanan dan menjaringkan tiga gol namun kami melepaskan gol daripada satu-satunya peluang mereka.

“Keputusan secara umumnya bagus namun kami tidak sepatutnya tidur dan masih ada perlawanan yang perlu diharungi di Malaysia,” jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gol-amri-pembakar-semangat-1.141527#sthash.Lqw4aWjP.dpuf



No comments: