Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 1 October 2015

ISU-ISU AKHBAR CINA

01 Oktober 2015 1:06 AM


KERATAN akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 27 September 2015.

‘HALAL HARAM’ DUA 
PERHIMPUNAN

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 27 September 2015 menyiarkan artikel yang mengupas perbezaan maksud dan motif dua perhimpunan besar yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Artikel bertajuk ‘Bersantai fikirkan antara dua perhimpunan’ itu ditulis oleh Chew Ka Kui disiarkan dalam Ruangan Pendapat halaman A13 akhbar berkenaan.

Dalam tempoh setengah bulan baru-baru ini, Kuala Lumpur “dimeriahkan” dengan dua perhimpunan besar iaitu perhimpunan baju kuning mewakili suara rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, manakala perhimpunan baju merah mewakili kumpulan mempertahankan kerajaan.

Kumpulan baju merah atau dikenali sebagai perhimpunan 916 (sempena diadakan pada 16 September 2105) dilihat lebih memaparkan kekuatan dalam perpaduan orang Melayu, justeru penulis akui masih kabur dengan motif sebenar perhimpunan itu diadakan.

Perhimpunan 916 menimbulkan kerisauan negara asing yang beranggapan ini adalah gerakan menentang orang Cina. Malah, beberapa hari selepas perhimpunan, ramai saudara mara yang tinggal di negara asing menawarkan bantuan sekiranya orang Cina Malaysia menjadi pelarian.

Perhimpunan baju kuning (Bersih 4.0) pula disifatkan penulis seperti ombak yang mengganas. Disebabkan ia gerakan yang cen­derung membantah kerajaan, maka pe­nganjurannya tidak diluluskan oleh pihak berkuasa, justeru dianggap sebagai perhimpunan haram.

Pelbagai alasan diberikan bagi mewajarkan tindakan mereka termasuk perhimpunan jalanan bukan budaya Malaysia (walaupun dalam Perlembagaan ia dibenarkan), selain mendapatkan “fatwa” daripada tokoh-tokoh agama bahawa perhimpunan seumpama itu salah dari segi ajaran Islam.

Penulis juga memperlihatkan sikap dwistandard pihak berkuasa apabila membenarkan perhimpun­an 916 hanya kerana ia dianjurkan oleh kumpulan yang menyokong kerajaan! Di mana suara imam dan ustaz yang “memfatwakan” perhimpunan jalanan yang dikatakan melanggar ajaran Islam itu?

Kerajaan telah menunjukkan sikap berbeza-beza antara dua perhimpun­an - baju kuning dikata mahu menumbangkan kerajaan, sedangkan baju merah tidak berniat begitu. Ini membuktikan kebebasan berhimpun tidak ada dalam peruntukan undang-undang, sebaliknya hanya bergantung kepada pendirian politik!

Pada hemat penulis, dalam keadaan negara yang semakin te­ruk, sepatutnya lima perkara dituntut kumpulan baju kuning dalam perhimpunan baru-baru ini perlu diberi perhatian.

Tuntutan-tuntutan itu termasuklah; (i) pilihan raya bebas dan adil, (ii) sebuah kerajaan telus, (iii) hak untuk berdemokrasi, (iv) mengukuhkan sistem demokrasi Parlimen, dan (v) menyelamatkan ekonomi negara.

Secara sinis penulis berkata, tidak banyak yang boleh kita lakukan jika ramai menyokong tanggap­an baju merah bahawa kerajaan te­lah melakukan yang terbaik untuk rakyat, manakala tanggapan baju kuning bahawa negara kita masih ada banyak ruang untuk dimajukan dipandang sepi.

MCA PERLU LEBIH BERANI

Akhbar China Press bertarikh 27 September 2015 menyiarkan artikel mengenai keperluan kepemimpinan MCA memperjelaskan pendirian parti itu sebagai komponen Barisan Nasional (BN) berhubung beberapa isu berbangkit.

Artikel bertajuk ‘Ba­­gaimana MCA boleh berkeras?’ ditulis oleh Au Kok Hue disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15 akhbar berkenaan.

Kemuncak kemelut MCA dalam BN tercetus selepas Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang isytihar putus hubungan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Hal ini memaksa pimpinan tertinggi parti itu mengadakan mesyuarat tergempar dengan ketua-ketua bahagian MCA.

Mesyuarat antara lain mendapatkan laporan dan penerangan mereka terhadap pandangan akar umbi khususnya golongan muda hari ini berhubung beberapa isu “panas” termasuk perhimpunan haram Bersih 4.0 (perhimpunan baju kuning) dan Himpunan Rakyat Bersatu (perhimpunan baju merah).

Difahamkan setiap ketua bahagian MCA sebelum ini telahpun bersedia dengan laporan berkaitan isu berbangkit, namun mereka tidak dipanggil untuk hadir ke mesyuarat MCA Pusat sehinggalah “langkah besar” diumumkan Chia Chow Hui (Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang) itu.

Pada hemat penulis, perjumpaan secara tiba-tiba dengan ketua-ketua bahagia MCA itu memperlihatkan kepemimpinan tertinggi MCA yang tidak efisien dan disifatkan sebagai lembab dalam bertindak.

Kedudukan MCA dalam BN menerusi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat goyah dan sukar untuk mengimbangi kuasa UMNO.

Impaknya, MCA berdepan dengan dilema untuk terus kekal dalam BN bagi mempertahankan sistem pelbagai kaum pada masa depan.

Suara nasihat MCA yang tidak didengari UMNO juga bukan perkara baharu, malah ia semakin ketara sejak lebih setahun lalu apabila “puak helang” (radikal) dalam UMNO mula bangkit menunjukkan taring.

Hal itu tidak sepatutnya menghalang MCA untuk bergerak solo mempertahankan orang Cina. MCA boleh gunakan pengaruh mereka sebagai parti mewakili kaum Cina untuk bergabung dengan wakil-wakil pertubuhan Cina seperti pertubuhan pendidikan dan pemimpin-pemimpin media Cina.

Dengan sokongan mereka, MCA boleh mengemukakan hasrat, kemahuan serta pandangan kaum itu secara baik kepada Perdana Menteri. Biarpun akhirnya hasrat itu tidak didengari atau dipenuhi, sekurang-kurangnya MCA telah memainkan peranan sebagai “jambatan kepada masyarakat Cina”. Itu lebih baik daripada duduk diam sahaja dalam Kabinet!.

Penulis berpendapat, bertindak keras bukan bermaksud MCA perlu menentang UMNO. Jangan bertindak radikal, sebaliknya MCA perlu menggunakan kebijaksanaan dalam politik bagi menyatakan pendirian kaum itu berhubung pelbagai isu termasuk menentang puak rasis.

Kepemimpinan MCA di bawah Liow Tiong Lai selaku presiden parti perlu bertindak keras, bukan diktator, bagi membawa kemajuan kepada MCA. Tangani masalah di depan mata, jangan dibiarkan risiko membuka peluang kepada pihak lain untuk menjejaskan kedudukan parti itu dalam BN.

Kita tidak boleh biarkan kumpul­an baju merah tutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan kita juga tidak boleh biarkan Datuk Ang Say Tee (Pengerusi Persatuan Penjaja Kuala Lumpur) bersendirian mempertahankan Petaling Street.

MCA mampu meraih kembali sokongan akar umbi Cina dengan syarat kepemimpinan parti itu bertindak lebih berani mempertahan dan memperjuangkan hak mereka.

Masalahnya, adakah MCA sudah bersedia untuk bertindak keras?

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/isu-isu-akhbar-cina-1.141621#sthash.tn8IaqEh.dpuf

No comments: