Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 20 January 2012

Sikap masyarakat Cina berubah

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia.
DARI UTUSAN MALAYSIA
20/1/2012




Sebahagian peserta perhimpunan 901 di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersurai selepas pengumuman Anwar Ibrahim dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Januari lalu. - UTUSAN/Mohd. Azim Abd. Rahman

Keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat kedua sedikit sebanyak telah mengubah pemikiran masyarakat Cina terhadap kepimpinannya. Sebelum itu mereka meyakini Anwar akan dapat membina lanskap baru politik Malaysia yang telah diwarnai oleh Perikatan dan Barisan Nasional (BN) selama lebih 50 tahun.

Sehingga kepada saat-saat debaran terakhir menunggu keputusan perbicaraan panjang itu, harapan itu masih memuncak tinggi, panas dan penuh optimistik. Tetapi bila keputusan diumumkan tiada suara meneriakkan suatu kemenangan besar, sebaliknya sepi bersama dengan lenyapnya slogan dan suara bebaskan Anwar.

Harapan untuk melihat Anwar keluar dari penjara atas kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) seperti keluar Nelson Mandela dan Recep Tayyip Erdogan daripada penjara dalam sorak gempita rakyat dengan iringan sajak-sajak para penyair atau seorang penyair telah berterbangan seperti debu dalam degupan jantung para penyokongnya yang kecewa kerana semua strategi politik PKR telah hancur.

Cuma letupan bom jangka yang menggemparkan suasana kehadiran hanya 3,000 orang daripada 100,000 orang yang dijangkakan.

Mimpi indah telah bertukar menjadi mimpi ngeri tidak sahaja kepada Anwar sendiri tetapi kepada parti-parti pakatan pembangkang dan sekali gus mengubah pandangan masyarakat Cina yang selama ini sukar untuk dibaca.

Kalau reaksi akhbar-akhbar Cina dapat dijadikan ukuran maka ternyatalah bahawa sikap mereka yang begitu positif terhadap masa depan mereka di tangan Anwar telah bergoncang, yang selama ini diyakini akan dapat memantapkan perpaduan dalam pakatan pembangkang untuk menuju ke Putrajaya.

Hal ini menepati pandangan Almarhom Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman bahawa orang Cina amat pragmatik dan realistik. Kiblat mereka ialah materealisme. Dalam kedudukan ekonomi dunia yang tergugat maka tentunya orang Cina tidak mahu meruntuhkan suatu keadaan yang lebih menjamin perniagaan atau ekonomi mereka daripada retorik politik.

Semua ini tidak begitu mempengaruhi kaum itu ketika sentimen ke arah kuasa nampak cerah tetapi keputusan mahkamah telah menjadikan mereka lebih realis kerana kehilangan isu yang meyakinkan mereka ke arah kuasa.

Pandangan akhbar-akhbar Cina yang keluar daripada sentimen selepas keputusan pembebasan Anwar itu ternyata lebih rasional dan realistik. Sentimen, prejudis dan juga racialisme yang terpancar selepas tsunami politik 2008 telah melindungi pandangan mata kaum Cina terhadap tolak ansur kerajaan, kebaikan polis dan keadilan mahkamah malah keputusan Suruhanjaya Diraja pun diragui oleh mereka.

Daripada apa yang tersurat di akhbar-akhbar Cina selepas keputusan pembebasan Anwar itu walaupun hanya sekelumit terjemahannya yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, tetapi jelas apa yang tersirat sebagai sebahagian perasaan masyarakat Cina di sebalik sokongan mereka itu terhadap Anwar.

Kata sebuah tulisan yang dipetik dalam akhbar China Press 16 Januari 2012; "langkah mahkamah membebaskan Anwar bukan satu berita gembira bagi pihak pembangkang." (lihat Utusan Malaysia 19 Januari 2012).

Akhbar Nanyang Siang Pau pula dalam suatu rencana yang ditulis oleh pengkritik semasa Wong Zi pada 13 Januari 2012 telah menyatakan; "Walaupun semangat pemimpin-pemimpin pembangkang berkobar-kobar dengan pembebasan Anwar, mereka seharusnya sedar bahawa sokongan sejati orang Melayu terhadap PKR sudah tidak memberangsangkan.

"Jika PKR kerahkan ahli-ahlinya membuat demonstrasi jalanan, mungkin masih boleh lagi, tetapi jika mereka mahu tubuhkan kerajaan, parti itu tidak mempunyai pemimpin Melayu mencukupi untuk menjawat semua jawatan kerajaan," kata tulisan itu.

"Jika jawatan itu disandang oleh orang Cina dan India, adakah pengundi Melayu yang menyokong PKR akan bersetuju. Sehubungan itu PKR perlu mempunyai calon Melayu mencukupi dan boleh diharapkan untuk menjalankan tugas. Hakikatnya calon sedemikian agak susah dicari PKR pada waktu sekarang" katanya.

Ini adalah pandangan bukan Melayu yang berasaskan fakta yang sahih. Pemimpin-pemimpin hebat PKR yang mengetahui siapa sebenar Anwar Ibrahim telah ramai meninggalkannya. PKR telah benar-benar ketandusan pemimpin maka itu mereka nampak orang UMNO yang diyakini oleh mereka masih berpengaruh seperti Tunku Razaleigh Hamzah atau Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan juga Zaid Ibrahim (telah memohon maaf pada Anwar baru-baru ini) untuk mengisi pucuk kepimpinan PKR.

Berasaskan kepada hanya lebih 3,000 orang sahaja (kebanyakannya penyokong Pas) yang berhimpun untuk menunjukkan sokongan terhadap Anwar pada hari keputusan perbicaraannya maka ternyatalah Anwar tidak lagi mempunyai penyokong fanatik seperti dalam pilihan raya 2008.

Perasaan masyarakat Cina terhadap Kerajaan Negeri Kedah yang tersembunyi selama ini juga telah didedahkan oleh akhbar Sin Chew Daily selepas Anwar dibebaskan.

Perasaan orang Melayu sering disuarakan oleh Utusan Malaysia terhadap kerajaan PKR Selangor dan perasaan orang Cina disuarakan oleh Sin Chew Daily terhadap kerajaan Pas Kedah keluaran 15 Januari 2012.

Katanya, "Sebenarnya kekuatan Pas dalam pentabiran Kedah amat besar sehingga PKR dan DAP menjadi pengikut. DAP juga tidak mendapat bahagian dalam jawatan Exco di negeri itu.

"Pentadbiran di Kedah semakin memihak kepada Islam, menyebabkan ia tidak disenangi oleh orang bukan Melayu terutama sekali kepada kalangan penyokong MCA dan Gerakan."

Apabila keputusan mahkamah membebaskan Anwar diumumkan, semua pihak "terduduk" atau "terkejut" termasuk orang atas pagar.

Pemimpin-pemimpin pembangkang bukannya ceria tetapi telah merasakan kehilangan suatu modal politik yang amat besar dan efektif. Penyokong-penyokong UMNO juga kecewa kerana keyakinan mereka pemenjaraan Anwar akan memberikan kemenangan kepada BN. Mereka marah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ada kuasa tetapi tidak menggunakannya.

Kata akhbar China Press, "Penyokong BN perlu ingat jika Anwar diputuskan bersalah dan dipenjarakan, para pemimpin pembangkang sudah pasti akan mengambil kesempatan untuk mendakwa Anwar menjadi mangsa konspirasi politik.

"Sebaliknya selepas Anwar dibebaskan strategi pihak pembangkang untuk menuduh Ketua Pembangkang itu menjadi mangsa politik BN tidak lagi sesuai dan fakta konspirasi politik tidak boleh dipercayai lagi."

Hasrat Pakatan Pembangkang untuk menjadikan 901 seperti 911 sebagai malapetaka kepada BN, akan meruntuhkan 1Malaysia Najib dan juga maruah negara seperti runtuhnya maruah Amerika - ternyata tidak kesampaian sebaliknya dengan sekali gus mengangkat maruah kepimpinan negara dan Malaysia di mata dunia. Ternyata angka 1 (di hujung 90) yang menggerunkan pembangkang telah membawa malapetaka kepada mereka sendiri.

Berikutan dengan pembebasannya, Anwar terpaksa juga ke India yang telah pun dirancangnya tetapi malangnya beliau terperangkap dengan interbiu BBC yang menyentuh soal homoseksual.

Sepatutnya Anwar tidak menyentuh langsung. Pertanyaan BBC bukan bertujuan untuk memerangkap Anwar tetapi menggambarkan betapa wartawan asing langsung tidak sensitif kepada sensitiviti politik tempatan ketika Anwar baru terlepas daripada tuduhan itu.

Lebih memburukkan lagi kerana berlaku pula penyingkiran Dr. Hasan Ali yang mendukung dogmatisme agama dan perjuangan fanatik Islam Abdul Hadi Awang dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Ini telah menyebabkan Pas tidak lagi diberikan jawatan portfolio agama dalam kerajaan Selangor, sebaliknya diambil alih oleh Menteri Besarnya dari PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seorang sekular yang berasal dari UMNO.

Walaupun Pesuruhjaya Pas Selangor Dr. Abdul Rani berkata penarikan balik kuasa agama daripada Pas itu tidak menghalang Pas daripada terus memainkan peranan dalam pembangunan agama Islam di Selangor tetapi tentunya mencemarkan moral Pas sebagai parti Islam. Logik akal tentu mengatakan Pas yang lebih layak. UMNO sendiri tidak sanggup berkorban hingga kepada taraf yang sehina ini.

Semua senario ini menunjukkan bahawa penghijrahan panjang Anwar dalam politik; daripada kisah mati kelaparan di Baling, Kedah yang menggemparkan negara di tahun 1970-an sehingga kepada keracunan arsenik ketika perbicaraan liwatnya yang pertama, kerajaan baru 16 September, pelarian mencari perlindungan politik di Kedutaan Turki, pemandu isterinya Wan Azizah Wan Ismail disuntik racun dan terakhir sekali 901 telah mengesahkan bahawa nasib Anwar sekadarkan menjadi seorang pelakon politik dan tidak akan berada di pentas kuasa yang menjadi cita-citanya seperti yang diisytiharkannya.

Beliau pernah hanya 'seinci' lagi dari pentas kuasa tetapi telah tergelincir dan apabila dibebaskan daripada hukuman tuduhan liwat kedua, beliau telah ditolak sekali lagi jauh kebelakang dari pentas kuasa yang diidamkannya sejak peristiwa Baling.

Pembebasannya menjadi suatu kekecewaan politik yang amat memedihkan bagi dirinya dan penyokong-penyokongnya yang melibatkan juga parti-parti politik yang bersekongkol dengannya.

Keputusan pembebasan Anwar ini di luar jangkaan manusia Malaysia yang tentunya membuatkan beliau sendiri berasa amat terhina kerana kecekapan, kelincahan dan sandiwara politiknya termasuk di dalam mahkamah telah terhina oleh kebijaksanaan mahkamah dalam suatu hukuman yang adil baginya dan adil pada pandangan dunia.

Barangkali sekarang Anwar sedar bahawa ada orang yang lebih bijak daripadanya. Masa depannya hanyalah di pentas drama politik.

No comments: