Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 17 January 2012

MPV serba ada


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
KOSMO ONLINE

TAMPIL sporty dengan bampar hadapan baharu dan skirting di sekeliling tubuhnya.

RASA-RASANYA, tiada satu pun produk Proton Holdings Berhad (Proton) yang tidak pernah mendapat perhatian meluas. Selaku pemegang status pengeluar kereta nasional, Proton sentiasa mendapat penilaian kritikal daripada pengguna Malaysia.

Pasti semua masih ingat ketika Proton mengeluarkan kenderaan serba guna (MPV) pertamanya pada tahun 2009. Pada masa itu, ramai ‘pakar’ automotif yang tampil beri pandangan. Dalam blog, di kedai kopi, malah di dalam bilik pameran Proton, macam-macam komen diberikan tentang MPV tersebut.

Kutukan paling keras pastinya terhadap kemampuan enjin Campro CPS 1.6 liter itu. Tidak dapat dinafikan bahawa enjin itu memang kurang berkuasa. Kalau hendak berlumba dengan kereta lain di lampu isyarat, baik lupakan sahaja. Tetapi, kalau sudah meluncur di atas lebuh raya, kuasanya boleh tahan juga sebenarnya.

Masalahnya, ada juga MPV lain yang kurang kuasa dan guna plastik murah untuk bahagian dalamannya, tetapi tidak pula kita kecoh lebih-lebih.

Pertengahan Disember lalu, Proton memperkenalkan dua varian terbaharu Exora. Dikenali sebagai Exora Bold Premium dan Exora Prime, ada banyak perkara yang membuatkan saya menyatakan inilah MPV terbaik untuk takat harga di bawah RM100,000.

Kedua-dua Exora itu bukan sekadar varian tambahan saja-saja dengan sedikit pembaharuan. Sebaliknya, ia menjadi model pertama Proton yang menerima unit enjin Campro turbo atau CFE (Charge Fuel Efficiency). Enjin turbo itu sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu. Semua orang mahu tahu sejauh mana berkuasanya enjin turbo buatan Proton.

Sebelum anda menjadi teruja tidak tentu pasal, harus saya ingatkan bahawa Campro CFE ialah unit enjin dengan sistem soft turbo. Maksudnya, turbo bertekanan rendah. Turbo sebegini biasanya menggunakan unit pendesak turbo yang kecil. Kuasa kuda yang dihasilkannya juga rendah. Namun, apa yang penting ialah teknologi itu digunakan untuk mendapatkan tork lebih tinggi.


PAPAN pemuka yang kemas dan tempat duduk dibalut kulit untuk keselesaan semua.

Harus tahu juga bahawa enjin CFE bukannya unit enjin CPS yang ditambah dengan turbo. Sebaliknya, 70 peratus komponen yang membentuk CFE adalah baharu. Hasilnya, enjin itu mampu menjana kuasa sehingga 138hp @ 5,000rpm dan tork puncak 205nm pada putaran enjin serendah 2,000rpm - 4,000rpm.

“Menerusi enjin 1.6 liter CFE yang lebih cekap, pelanggan akan rasa lebih prestasi seperti enjin bersesaran 2.0 liter tetapi pengguhaan bahan api menjimatkan.

“Varian ini juga menawarkan gayaan yang eksklusif dan elegan, disertakan bersama kualiti pengendalian Lotus. Malah, ia dipakejkan pada harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan kenderaan sekelas dengannya,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Selepas sesi uji pandu yang diadakan oleh pihak Proton ke Tanjung Jara, Dungun di Terengganu baru-baru ini, boleh disimpulkan bahawa matlamat itu dapat dijayakan dengan baik. Hantaran kuasa yang ditawarkan oleh Campro CFE terasa lebih cepat dan tidak membuatkan enjin mengaum secara berlebihan.

Kalau enjin Campro CPS boleh membuatkan sesetengah orang sakit jiwa dengan low end torque yang dihasilkannya, Campro CFE seakan-akan sudah menyelesaikan masalah itu dengan agak cemerlang.

Kotak gear CVT


ENJIN Campro CFE bersesaran 1.6 liter ini nyata tidak mengecewakan.

Campro CFE digandingkan bersama kotak gear CVT. Transmisi CVT itu bukannya yang sama dengan kotak gear CVT pada model Saga FLX. Tetapi ia merupakan kotak gear CVT baru yang dikenali sebagai CVT3 yang dibina khas buat model Exora Bold Premium dan Prime.

Jadi, seperti biasa ia menawarkan pertukaran gear yang lancar dan tanpa senggukan. Tetapi kalau kelancaran itu tidak memuaskan hati anda, jangan lupa tekan butang SAT (Stepped-Automatic Transmission) yang ada pada perumah tuil gear. SAT berfungsi memberikan sedikit rasa gear ditukar untuk pemanduan lebih sporty.

Kualiti kawalan Exora boleh dianggap bagus. Dengan tubuh yang besar, tinggi dan tayar bersaiz 16 inci, ia masih berupaya tidak membuatkan pemandu serta penumpang berasa kecut perut ketika mengambil selekoh dengan laju.

Berada di tempat duduk pemandu, saya berpuas hati dengan rasa stereng dan tombol gear yang dibalut kulit. Konsol tengah yang menempatkan unit audio dan butang kawalan pendingin hawa itu juga tidak nampak murah. Untuk kelihatan lebih mewah, panel sisi dan tempat duduknya juga dibalut kulit.


RUANG kaki tempat duduk belakang yang luas dan selesa.


Jika anda duduk di tempat duduk belakang, tidak perlu bimbang tentang keselesaan. Selain boleh mengawal sendiri butang pendingin hawa, penumpang juga tidak kebosanan dengan adanya skrin LCD dan pemain multimedia yang boleh memainkan filem daripada kad SD, USB atau DVD.

Sebagai seorang yang kurang gemar memandu kenderaan besar seperti MPV, saya sangat menghargai kewujudan kamera undur pada Exora.

Sebaik sahaja gear undur dimasukkan, paparan berwarna lengkap dengan garisan sudut berwarna hijau dan oren akan terpapar pada cermin pandang belakang. Garisan sudut itu sememangnya banyak membantu pemandu untuk memarkir Exora dengan lebih mudah dan tepat.

Melihat dari luarannya, varian terbaharu Exora itu memang lebih menarik. Di samping perumah lampu hadapan dan belakang yang digelapkan, MPV itu turut menerima bampar hadapan dengan rekaan baharu. Di sekeliling tubuhnya juga dipasang dengan skirting. Jadi, MPV itu tidaklah nampak pakcik-pakcik sangat.

Kalau dahulu anda memberi alasan Exora CPS tidak laju, kurang kuasa, tidak ada TV dan macam-macam lagi sehinggakan tidak jadi membelinya, sekarang semua itu sudah ada. Jadi, mahu apa lagi?

No comments: