Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 7 January 2014

'Permainan' harga mampu 'rosakkan' sebuah kerajaan





MACAM-MACAM hal berlaku sepanjang pembuka tirai tahun baharu 2014. Satu persatu isu dibicarakan. Ada yang sambut tahun baharu dengan gaji dan elaun baru, kereta baharu, cuti hujung minggu baharu, cukai pintu baharu dan paling menggusarkan ‘harga baharu’ yang melibatkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Begitu juga dengan bergema kembali isu penggunaan kalimah Allah dan terkini Hard Rock Cafe (HRC) di Putrajaya. Semua isu ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan dan kemarahan terutama dalam kalangan orang Melayu. Isu kalimah Allah sebenarnya boleh diselesaikan dengan baik jika semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berkaitan HRC, sejak awal pagi semalam, saya menerima berpuluh-puluh WhatsApp yang membidas cadangan pembukaan HRC di pusat pentadbiran kerajaan itu lebih-lebih lagi berhampiran dengan masjid. Biar pun dalam kritikan itu, mereka mengakui malahan bangga memakai baju HRC yang tertera nama pelbagai negara tetapi mewujudkan restoran seumpama itu amat tidak disenangi. Tanpa HRC, Putrajaya ‘tidak akan mati’ dan tetap menjadi tumpuan ramai termasuklah peminat-peminat motosikal Harley Davidson. Apa yang penting, Perbadanan Putrajaya (PPj) perlu kreatif menyusun program. Cukuplah Kuala Lumpur sahaja menjadi ‘kota hiburan’. Diharapkan penjelasan Presiden PPj, Dr. Aseh Che Mat dapat mengurangkan keresahan.

Bagaimanapun keresahan yang berterusan dalam kalangan orang ramai tentulah isu kenaikan harga barangan. Isu ini jika tidak ditangani dengan baik akan menjejaskan imej kerajaan yang sering melaungkan slogan rakyat didahulukan. Rakyat digambarkan seolah-olah negara akan dilanda tsunami kenaikan harga barang sebaik sahaja 2014 mengambil tempat. Mengikut cerita, macam-macam barang akan naik harga. Harga ais tiub, alat tulis, makanan termasuk ikan, sayuran dan macam-macam lagi. Hakikatnya, kenaikan harga seperti ikan dan sayuran disebabkan musim tengkujuh.

Ramai yang bimbang, kenaikan itu tidak dapat dibendung lagi menjelang Tahun Baharu Cina bulan depan. Di mana silapnya? Apakah punca kenaikan ini semua? Adakah kerana kenaikan kos disebabkan harga minyak, kenaikan tarif elektrik atau gaji minimum? Atau ada pihak yang sengaja merancang kenaikan ini semata-mata mahu memburukkan imej kerajaan? Kita bimbang ada pihak yang sengaja mengatur pakatan dalam kalangan persatuan/kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar untuk menaikkan harga. Dalam situasi sekarang, bukanlah mustahil ada pihak sanggup membelakangkan undang-undang dan peraturan bagi mengaut keuntungan. Mungkin ada juga pihak yang sengaja melakukan tindakan itu semata-mata mahu menjatuhkan imej kerajaan Barisan Nasional (BN).

Satu WhatsApp yang diterima semalam secara terang-terangan meminta pelanggan yang menghadapi masalah berikutan kenaikan harga makanan di sebuah gerai menyalahkan BN. ‘Peniaga’ itu dengan mudah meletakkan kenaikan itu sebagai kesalahan kerajaan bukannya disebabkan faktor lain.

Jika itu benar-benar berlaku, peniaga seumpama ini akan mengaut dua keuntungan, pertama menaikkan harga yang tidak sepatutnya dan kedua, berjaya menanam kebencian terhadap kerajaan. Dalam situasi sekarang, ‘permainan’ menaikkan harga akan diterima bulat-bulat oleh pengguna disebabkan ‘kejayaan’ pihak tertentu memainkan sentimen kenaikan harga ini. Ingatlah, isu kenaikan harga sudah bermula di peringkat sekolah dalam kalangan kanak-kanak. Harga makanan di kantin menjadi isu walaupun pihak persatuan yang terlibat dengan pengusaha kantin belum menerima laporan. Dari sekolah, isu ini menjalar ke restoran dan pasar.

Jangan terkejut apabila kita berkunjung ke pasar raya besar, beberapa barangan akan berkurangan, atas alasan tiada bekalan. Ini salah satu taktik untuk menaikkan harga barang. Begitulah permainan yang ada sekarang yang mungkin berubah daripada satu realiti kepada usaha untuk menjatuhkan pihak lain. Mungkin ini salah satu kaedah untuk melemahkan kerajaan. Justeru, isu kenaikan harga perlu ditangani secara baik supaya ia tidak merosakkan pemikiran rakyat seterusnya menanam kebencian terhadap pemerintah bagi jangka masa panjang. Sama ada di peringkat menteri atau pegawai, mereka perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dalam menghadapi isu rakyat ini. Begitu juga dengan ahli politik. Kesilapan berkata-kata akan membuka ruang terbaik untuk pihak lawan. Kesannya akan ditanggung oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan khususnya yang berkaitan dengan penguatkuasaan tidak boleh lagi berdiam diri melihat permainan ini. Bertindaklah sebelum persepsi buruk yang cuba digambarkan sekarang merebak menjadi ‘barah’. Jelaskan kepada rakyat sejauh mana kebenaran bahawa sedang berlaku tsunami harga barang. Carilah punca kenaikan. Jika orang tengah menjadi punca, apakah yang harus dilakukan. Isu orang tengah ini pernah ditimbulkan oleh pelbagai pihak termasuk Ketua Menteri Sabah, Musa Aman semalam dan tidak lama dulu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob. Awasi peranan orang tengah yang bermain ‘sandiwara’ kenaikan harga ini. Begitu juga dengan dakwaan bahawa pembekal sebagai punca harga barang naik. Bagaimana peniaga kecil mahu menjual pada harga murah apabila pembekal telah menetapkan harga yang tinggi?

Seperkara lagi, seperti dakwaan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), senario sektor  perniagaan didominasi oleh satu kaum sahaja perlu diubah. Gerakkan usaha supaya pengguna tidak bergantung kepada satu kaum dalam membekalkan barangan keperluan. Peranan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) juga perlu diperluaskan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan keperluan harian pada harga yang lebih murah. Kedai bergerak KR1M harus memasuki kawasan perumahan yang tidak mempunyai KR1M ini. Persoalannya sejauh mana KR1M juga mampu bertahan?

Langkah terakhir untuk penjimatan terletak kepada pengguna. Apabila kehidupan sudah terbiasa dengan sikap berbelanja tidak berhemah, maka sebarang panduan penjimatan dipandang sinis. Apa pun, dalam menghadapi masa yang terus berubah, setiap orang perlu lebih berdisiplin ketika berbelanja, meminimumkan perbelanjaan dan berbelanja mengikut keutamaan. Sesetengah orang lebih suka bergaya, menjaga standard ketika minum pagi, tengah hari dan petang. Mereka lebih selesa dengan status. Memilih restoran atau cafe yang mengenakan harga lebih tinggi berbanding warung, medan selera atau gerai. Kebanyakan daripada kita tidak sedia berjimat dan mengatur perbelanjaan sebaliknya sering menuding jari mencari kesilapan orang lain. Merungut tidak kena tempat!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140106/re_03/Permainan-harga-mampu-rosakkan-sebuah-kerajaan#ixzz2pfeVD739 
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

No comments: