Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kampus@utusan.com.my
Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi diumum sebagai universiti keusahawanan setelah melakukannya tahun lalu.
Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan 12 Disember lalu sempena Malam Gala Keusahawanan Pengajian Tinggi di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Jabatan Komunikasi dan Korporat UiTM, Alfina Bakar, dari enam kategori yang dipertandingkan, UiTM telah memenangi anugerah dalam tiga kategori termasuk anugerah utama.
"Kategori yang dimenangi selain anugerah utama ialah kategori Perniagaan Pelajar Terbaik, kategori Persekitaran Institusi dan kategori Penglibatan Pelajar.
"Penganugerahan ini adalah satu pengiktirafan kepada agenda keusahawanan UiTM yang telah bermula sejak penubuhan Dewan Latihan Rida pada tahun 1956 di mana pelajar Bumiputera dilatih untuk menjadi pekerja separa-profesional dan profesional serta usahawan," katanya baru-baru ini.
Alfina berkata, anugerah sebagai universiti keusahawanan adalah demi memberi penghargaan terhadap usaha-usaha Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyemarakkan agenda keusahawanan pengajian tinggi.
"Sebanyak 19 IPTA telah menyertai pertandingan yang berlangsung selama lebih tiga bulan bermula dengan penyerahan dokumen penulisan dan bukti program keusahawanan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, pembentangan kepada panel penilai dan lawatan panel penilai ke enam buah universiti yang terpilih ke peringkat akhir.
"UiTM dipilih berdasarkan kejayaan melahirkan ramai graduan usahawan dan graduan bercirikan keusahawanan dari dahulu hingga sekarang. Pada tahun 2012/2013 UiTM telah melatih hampir 800 graduan menjadi usahawan melalui program-program seperti Tunas Mekar, Program Pembangunan Usahawan Graduan (GEDEP), dan Sectorial Techno-Entrepreneurship Programme (STEP)," katanya.
Katanya lagi, selain tiga kategori yang dimenangi oleh UiTM, Universiti Malaysia Perlis (UniMap) telah memenangi dua anugerah manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memenangi satu anugerah.
Beliau menambah, kejayaan UiTM adalah kerana persekitaran institusi yang kondusif yang mana semua pihak termasuk Naib Canselor UiTM, Tan Sri Dato Prof. Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar sentiasa memberi galakan kepada program keusahawanan dalam UiTM di mana UiTM adalah satu-satunya universiti yang mempunyai jawatan Penolong Naib Canselor Keusahawanan.
Universiti Keusahawanan juga memberi implikasi bahawa UiTM perlu memastikan polisi dan persekitaran institusinya adalah kondusif terhadap penerapan nilai dan kompetensi keusahawanan seperti pengurusan pentadbiran dan kewangan yang lebih cekap dan berhemah.
UiTM akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk menjana pendapatan sendiri supaya dapat melaksanakan lebih banyak lagi program keusahawanan dan mensasarkan kerjasama dengan pihak kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140120/ka_02/UiTM-sebagai-universiti-keusahawanan-kali-kedua#ixzz2qzh3LOp3 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment