Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 28 January 2014

Pengertian kes Tian Chua

PENULIS ialah penganalisis undang-undang.



SEORANG sahabat bertanya apakah ertinya kes terbaru melibatkan Tian Chua kepada negara? Soalan sebenar dalam bahasa Inggeris yang dihantar menerusi mesej pesanan ringkas kepada saya pada pagi Jumaat 24 Januari lalu berbunyi “What is the significance (if any) of his case to us in this country?"

Sebelum saya ceritakan jawapan saya kepada sahabat itu, kita perhatikan dulu apa yang berlaku beberapa hari yang lalu.

Akhbar Utusan Malaysia keluaran 24 Januari 2014 melaporkan Tian Chua (yang kini menyandang jawatan Naib Presiden PKR) telah dikenakan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari sebelumnya (23 Januari) setelah disabitkan kesalahan melanggar arahan pihak polis untuk bersurai dan beredar dari kawasan larangan Pusat Latihan Polis (Pulapol) dua tahun yang lalu.

Hakim Mahmud Abdullah telah memerintahkan Tian Chua menjalani hukuman penjara sebulan itu serta-merta, mulai 24 Januari. Andainya Tian Chua gagal membayar denda RM1,000 itu dia akan dikenakan hukuman penjara satu bulan lagi.

Walau bagaimanapun, mahkamah kemudian meluluskan permohonan Tian Chua agar pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuannya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Jaminan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000.

Dalam keputusannya, setelah mendengar sembilan saksi pasukan pendakwaan dan dua saksi bagi pihak tertuduh, Hakim Mahmud menyatakan bahawa pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan.

Bila perbicaraan bermula, Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) mengaku tidak bersalah mengingkari perintah pegawai polis DSP A. Rajagopal untuk bersurai dan beredar dari kawasan yang diisytihar sebagai satu kawasan larangan di bawah Protected Areas Order 1975.

Peristiwa itu berlaku pada 2.30 pagi 29 April 2012, iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0 dan kawasan larangan yang dimaksudkan adalah Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tian Chua dituduh di bawah seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Walaupun akta ini disemak pada 1983 lalu, ia kekal menjadi contoh betapa begitu banyak sekali undang-undang negara kita yang diluluskan sebelum dan sejurus selepas merdeka yang mengandungi hukuman yang begitu ringan sekali dan tidak lagi bermakna (berkesan membanteras jenayah) pada masa ini.

Seksyen 4(2) Akta itu menyatakan, antara lain, “Any person who is in any protected area shall comply with such directions for regulating his movement and conduct as may be given by an authorized officer…"

Penalti atau hukuman kerana ingkar perintah itu ada disebutkan pada seksyen 7 Akta yang sama yang menyatakan “If any person contravenes or fails to comply with any of the provisions of section 4 or 5 or any order made thereunder or any direction given or requirement imposed thereunder he shall be guilty of an offence against this Act and shall be liable to imprisonment for a term of two years or to a fine of one thousand ringgit or to both."

Semasa prosiding masih berjalan dan selepas mahkamah mensabitkan kesalahan tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohamed Yusoff memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dalam bentuk pemenjaraan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Tegas Amirah lagi, tertuduh ialah seorang Ahli Parlimen dan tidak wajar sekali jawatan itu dijadikan “tiket untuk mendapatkan hukuman ringan."

“Sebagai Yang Berhormat, tertuduh perlu memberi contoh yang baik kepada masyarakat, tetapi dia telah melanggar perintah polis," hujahnya.

Hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen

Isu perundangan yang timbul daripada kes Tian Chua yang terbaru adalah mengenai statusnya sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Batu. Dengan hukuman penjara hanya satu bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu, statusnya tidak terjejas langsung. Sabitan dan hukuman itu, andainya nanti tidak diketepikan oleh Mahkamah Tinggi di peringkat rayuan (yang kita tidak tahu bila akan berlaku), akan tidak memberi apa-apa kesan kepadanya. Dia akan terus kekal sebagai Ahli Parlimen.

Di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, dia akan hilang kelayakan selaku Ahli Parlimen hanya jika dia dikenakan hukuman penjara selama tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Dalam kes terbaru ini, andainya Timbalan Pendakwa Raya merayu kepada Mahkamah Tinggi dan menghujah bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen itu adalah terlalu ringan dan wajar ditambah atau diberatkan lagi dan Mahkamah Tinggi setuju menjatuhkan hukuman penjara satu tahun (memandangkan hukuman penjara maksimum di bawah Seksyen 7 Akta 298 itu adalah dua tahun), barulah timbul kemungkinan Tian Chua akan hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

N. Surendran, peguambela Tian Chua, memberitahu wartawan bahawa anak guamnya akan membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman - “Saya tak fikir mahkamah peringkat rayuan akan menambah hukuman penjara," katanya.

Kesimpulannya dalam jawapan saya kepada sahabat mengenai soalan tentang kes Tian Chua setakat keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada peringkat ini, kes ini tidak memberi apa-apa kesan atau impak kepada kita.

Apa yang akan berlaku nanti sekiranya peguambela Tian Chua merayu (meminta sabitan dan hukuman diketepikan) manakala Timbalan Pendakwa Raya juga membuat rayuan balas (meminta hukuman diberatkan), sukar dibuat sebarang ramalan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140128/re_03/Pengertian-kes-Tian-Chua#ixzz2reWIBai5  © Utusan Melayu (M) Bhd 



KOMEN : PADANLAH MEREKA SEMAKIN BERANI BERSIFAT KURANG AJAR WALAUPUN BERJAWATAN SEBAGAI WAKIL RAKYAT DISEBABKAN UNDANG-UNDANG KITA YANG TIDAK TEGAS... SEBAB TU BEKAS PENJENAYAH PUN BOLEH JADI WAKIL RAKYAT...????

No comments: