Oleh PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
PERSELISIHAN di antara penganut agama Islam dan Kristian dalam negara ini berkaitan dengan kalimah Allah tercatat dalam bible sepatutnya tidak berlanjutan sehingga ke tahap yang boleh mengeruhkan keamanan negara.
Perkara berkaitan isu agama sepatutnya dibincang secara berhemah dan hikmah. Dalam menyelesaikan persengketaan berkaitan dengan keagamaan, mutual understanding amat diperlukan.
Pengalaman penulis sebagai pelajar teologi di sebuah universiti di England selama enam tahun dan penglibatan dalam kegiatan dialog agama sejak 1989 di negara Barat dan di Vatican (1992, 1997,1999) semasa John Paul II mendapati bahawa hubungan umat Islam dengan Kristian adalah terlalu mesra terutamanya apabila Vatican memperakui agama Islam, Kristian dan Yahudi sebagai Abrahmic Religions dan penganut ketiga-tiga agama ini sebagai Abrahamic Brothers.
Agama Islam mengkategorikan agama Kristian dan Yahudi sebagai agama Samawi kerana ketiga-tiga agama tersebut menerima wahyu daripada Ilahi. Islam tidak memperakui agama Kristian dan Yahudi sebagai Islam kerana kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa dan Isa telah dipinda dan diubah keasliannya oleh para ulama agama setelah Nabi Musa dan Nabi Isa meninggal dunia .
Selain itu, agama Kristian mengaitkan Isa dengan ketuhanan yang mana kepercayaan ini bertentangan dengan konsep tauhid mutlak (pure monotheism) yang merupakan pengajaran fundamental akidah agama Islam. Agama Yahudi juga tidak diterima oleh Islam kerana mereka tidak mempercayai Nabi Isa dan Nabi Muhammad sebagai Rasul Allah. Sedangkan penganut agama Samawi wajib memperakui kerasulan 25 orang Rasul seperti dinyatakan oleh Allah SWT di dalam kitab Taurat, Injil dan al-Quran. Penafian kenabian ini menyebabkan orang Yahudi terkeluar daripada agama Islam.
Berdasarkan penerangan di atas maka penganut ketiga-tiga agama tersebut sepatutnya memahami perbezaan di antara satu sama lain berkaitan kepercayaan. Penafsiran kitab-kitab suci agama sepatutnya bertepatan dengan konteks ajaran agama masing-masing. Penggunaan nama 'Allah' dalam kitab suci agama selain agama Islam hanya diguna pakai oleh penganut agama Kristian di negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan, Syria dan seumpamanya.
Pengalaman penulis sebagai pelajar teologi yang sering mengikuti program di gereja di negara England, Jerman, Austria dan Itali serta menghadiri Papal Audience di Vatican jelas menunjukkan bahawa perkataan 'Allah' tidak disebut oleh paderi dan Pope John Paul II ketika bersembahyang dan memberi ucapan. Perkataan 'God', 'Father', 'Son' dan 'Jesus' merupakan perkataan yang sering diungkapkan oleh ketua agama Kristian ketika bersembahyang dan memberi syarahan agama.
Dialog agama di antara sarjana Islam dan Kristian merupakan salah satu aktiviti yang aktif di Vatican dan negara-negara Barat. Hasil daripada dialog antara agama dan seminar akademik di antara para ilmuan Kristian dan Islam yang begitu aktif sejak John Paul II sepatutnya boleh mempengaruhi pemikiran sarjana Kristian di Vatican supaya menukar perkataan 'God' dalam bible dengan perkataan 'Allah'. Hakikatnya sehingga kini perkataan 'God' masih digunakan oleh Vatican. Ini menunjukkan bahawa tanpa menggunakan perkataan 'Allah' agama Kristian tidak akan tergugat fundamental akidahnya.
Persoalannya, kenapa perkataan 'Allah' masih ingin digunakan dalam penulisan dan penerbitan ajaran bible walaupun ia boleh menggugat keharmonian kaum. Penganut agama Islam dan Kristian diajar oleh agama mereka erti keharmonian, kasih sayang terhadap manusia dan memuliakan jiran. Mereka diajar supaya berkompromi dalam pelbagai kegiatan hidup dengan penganut agama lain selama mana kegiatan itu tidak menggugat fundamental akidah agama mereka.
Dilema yang wujud dalam negara ini masa kini adalah jika perkataan 'Allah' digunakan dalam penulisan penerbitan agama Kristian, ia boleh mengelirukan penganut agama Islam yang kurang arif mengenai akidah Islam. Salah faham terhadap konsep tauhid mutlak ini boleh menggugurkan akidah umat Islam. Ini merupakan satu kebimbangan umat Islam dalam negara ini. Penganut agama Kristian pula ingin membuat pembaharuan dalam tafsiran bible mereka mengenai God dengan menterjemahkannya dengan perkataan 'Allah'. Dari aspek kemanusiaan umat Islam tidak berhak mencampuri urusan keagamaan penganut agama Kristian. Tetapi dalam konteks negara yang dihuni oleh pelbagai agama dan kaum maka perasaan curiga dan prasangka terhadap perubahan bible itu boleh menimbulkan perselisihan kaum dan agama. Perkara begini jika tidak dibendung boleh menggugat keharmonian kaum dan prejudis agama yang amat berbahaya kepada negara.
Berdasarkan kepada suasana begini maka para sarjana Islam dan Kristian sepatutnya berfikir dan merenung sejauhmanakah mereka mengamalkan konsep kasih sayang dan kecintaan terhadap kedamaian yang menjadi asas ajaran agama Samawi. Al-Quran secara jelas menggalakkan umat Islam supaya bersahabat dengan penganut agama Kristian kerana mereka adalah orang yang merendah diri dan penuh kasih sayang serta bertolak ansur. Ajaran Kristian menggalakkan penganutnya bertolak ansur dan berkorban sehingga ke tahap jika 'pipi kiri ditampar maka beri pula pipi kanan'.
Demi keharmonian kaum dan keamanan negara maka sikap bertolak ansur dan berkompromi amat diperlukan. Ahli agama sering dilihat sebagai orang paling bertolak ansur kerana mereka merupakan orang yang paling menghampiri Tuhan. Perselisihan sering membangkitkan emosi yang sukar dikawal dan dibendung. Jika gagal dikawal ia boleh mengundang kepada kemusnahan dan permusuhan.
Orang yang patuh kepada agama sering berusaha mengelakkan perpecahan dan perselisihan kerana peranan utama mereka ialah mendidik dan mengasuh penganut agama mereka menyemarakkan kasih sayang dalam bentuk universal. Bertolak ansur dan berkompromi bukan bererti lemah dan kalah tetapi ia merupakan hikmah dalam kehidupan manusia.
Apabila kuasa politik digunakan untuk menyelesaikan perselisihan agama maka suasana menjadi semakin kemelut. Sebagai pemimpin dan peneraju negara, keamanan dan keharmonian dalam negara merupakan asas penting dalam sistem pemerintahan negara. Jika perselisihan menjadi semakin membara maka tindakan yang keras menjadi pilihan untuk membendung permasalahan.
Oleh itu ahli-ahli agama dalam negara ini sepatutnya menggunakan pendekatan yang berhemah bagi menyelesaikan permasalahan salah faham dan prejudis agama supaya setiap kaum yang berbeza agama dalam negara ini menghormati antara satu sama lain.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140107/re_02/Keharmonian-kaum-asas-ajaran-agama#ixzz2pfoWzdkI © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment