Oleh NURUL HUDA HASSAN dan MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
sukan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU - Pasukan pilihan, Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 2-2 menentang LionsXII pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini semalam.
Bertambah mengecewakan, skuad Harimau Selatan itu juga gagal mempertahankan kelebihan dua gol yang diperolehi pada separuh masa pertama apabila barisan pemain muda Lions XII melakukan kebangkitan bergaya dengan dua jaringan penyamaan pada babak kedua.
Perlawanan separuh masa pertama di antara skuad kendalian Cesar Ferrando Jiminez dan Fandi Ahmad itu bermula perlahan dengan tidak banyak percubaan menarik dilakukan oleh kedua-dua pasukan.
Namun, giliran JDT terlebih dahulu memecahkan kebuntuan apabila berjaya mendapatkan gol pertama menerusi pemain importnya, Luciano Figueroa hasil lorongan cantik Pablo Aimar pada minit ke 27.
Tersentak dengan gol pendahuluan tuan rumah, kelab dari Singapura itu mula memperkemaskan rentak mereka namun percubaan Khairul Amri Mohd. Kamal pada minit 32 hanya sekadar melepasi palang.
Skuad Harimau Selatan tidak perlu menunggu lama untuk menggandakan jaringan menerusi bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke 41 yang gagal dijangkau oleh penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud.
Separuh masa kedua menyaksikan anak-anak buah Fandi melakukan kebangkitan dramatik dan usaha keras mereka itu membuahkan hasil apabila berjaya merapatkan jurang melalui Khairul Amri pada minit ke-67 yang menanduk kencang ke dalam gawang JDT.
Gol penyamaan Lions XII hadir seminit kemudian hasil jaringan Muhd. Hafiz Abu Sujad yang mengambil kesempatan daripada kelalaian pertahanan JDT sebelum merembat masuk tanpa dikawal oleh mana-mana pemain
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kembali menemui rentak kemenangan selepas mengatasi Perak 1-0 hasil jaringan Juan Manuel Arostegui pada minit ke-19 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam perlawanan yang dicemari insiden dua kad merah.
Mohd. Affize Faisal dari ATM dan pemain import Perak, Kyaw Zayar Win, dilayangkan kad merah pada minit ke-88 apabila kedua-duanya terlibat dalam pergaduhan.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu mengalahkan pasukan adik, T-Team dengan keputusan 2-0 bagi melonjakkan diri ke tangga teratas liga, berkongsi kedudukan dengan pasukan Selangor.
Marcio Souza Da Silva meledak jaringan sulung Terengganu pada minit ke-45 sebelum Ashaari Shamsuddin memastikan skuad Penyu membawa pulang tiga mata berharga dengan gol pada minit ke-59.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140129/su_02/Harimau-Selatan-sia-sia-peluang#ixzz2rldtyYwz © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment