Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran akan mengenakan tindakan serta-merta terhadap pihak yang cuba mencetuskan ketegangan kaum sebagai tindak balas berhubung isu kalimah Allah.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau rapi isu itu dan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini yang boleh mengancam ketenteraman dan kestabilan awam, tindakan tegas akan diambil.
Menurutnya, setakat ini polis membuka lima kertas siasatan berhubung isu kalimah Allah termasuk yang melibatkan isu Pengarang The Herald, Lawrence Andrew serta bom petrol dicampak ke sebuah gereja di Pulau Pinang.
"Polis memandang serius isu itu dan apa yang berlaku dalam tempoh 48 jam ini tidak sepatutnya terjadi. Kita berharap perkara-perkara yang boleh menggugat keselamatan seperti itu tidak akan berulang lagi.
"Saya beri amaran tegas kepada mereka yang berkaitan supaya tidak membangkitkan isu-isu sebegini kerana kita tidak mahu sebarang provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam,'' katanya dalam majlis penyerahan tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), di sini hari ini.
Menurut beliau, pihak polis juga sedang aktif meneliti kes itu bersama Jabatan Peguam Negara untuk melihat tindakan yang akan diambil.
Khalid meminta semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mempersendakan penghakiman negara memandangkan penggunaan perkataan Allah dalam teks bahasa Melayu The Herald sedang dihakimi Mahkamah Rayuan Malaysia.
Tambahnya, polis juga telah menerima sejumlah 462 laporan polis di seluruh negara berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Sementara itu, Khalid berkata, PDRM tidak akan menubuhkan satu unit khas yang digelar 'Polis Syariah' dalam melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan berkaitan isu syariah dan agama.
Katanya, cadangan membentuk satu unit yang bertindak sebagai penguasa agama sebenarnya telah disalah tafsir oleh beberapa pihak kerana PDRM hanya bertindak sebagai sokongan kepada jabatan agama.
"PDRM hanya akan membantu jabatan agama dalam beberapa aspek terutama sekali dari segi penguatkuasaan dan siasatan.
"Apa yang dimaksudkan ialah kita menawarkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meminjam pegawai polis bagi membantu mereka meningkatkan tahap penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang syariah," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140130/dn_03/Amaran-pencetus-ketegangan-kaum#ixzz2rqBw4yJl © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment