Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 29 January 2014

Bersatu Melayu teguh, bercerai Melayu roboh





MINGGU lepas saya menulis mengenai Dasar 'DEB' Obama dan dasar ekonomi Najib.

Ramai yang menelefon dan menghantar mesej mengatakan "berani menulis begitu?"

Saya katakan kepada mereka apa yang saya tulis itu adalah fakta berdasarkan ucapan Presiden Barack Obama dan kertas kerja Dr. Rais Saniman, salah seorang pakar ekonomi yang merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada akhir 1960-an. Jika kita kritik sedikit secara konstruktif apa salahnya?

Saya katakan kepada mereka separa-kejayaan kita pada hari ini adalah ekoran pelaksanaan dasar itu. Cuma Dr. Rais merasakan dasar itu perlu diteruskan, mungkin dalam satu bentuk yang lain, tetapi atas semangat yang sama - untuk kejayaan sepenuhnya.

Dr. Rais bukanlah seorang yang rasis apabila terus menekankan mengenai dasar itu. Begitu juga saya. Begitu juga kita semua, baik Orang Asli, Melayu, Cina, India, kaum Pribumi sesiapa sahaja warga negara ini yang mahukan Malaysia yang harmoni dan sejahtera.

Tiada lebih daripada itu niat kita. Jika sistemnya ada sedikit-sebanyak ketidaksamaan, ketidakrataan - sama-samalah kita samakan dan ratakan. Ia bukan sahaja membabitkan suatu kaum tertentu, tetapi semua yang terlibat.

Namun, buat tulisan ini saya mahu menyingkap lagi apa yang Dr. Rais nyatakan dalam kertas kerjanya itu bertajuk: Melayu Mesti Mendapatkan Hak Asas Ekonomi Mereka (Malays must get their Basic Economic Rights).

Dalam satu bab bertajuk Racist Malays/Bumiputera atau Melayu/Bumiputera yang rasis, beliau menulis bangsa itu secara selesa telah dilabel oleh golongan Malaysia Baru sebagai rasis setiap kali membangkitkan persoalan-persoalan mengenai kemiskinan mereka, peminggiran mereka, ketidakrataan mereka dan status sosioekonomi yang ditekan di negara mereka sendiri.

"Mereka sepatutnya berdiam diri - tidak mengajukan soalan sebegitu. Terimalah nasib itu dan pergi serta berlindung di belakang agama dan majlis-majlis kebesaran anda.

"Biar kami yang membangunkan negara tanpa kamu membuat kacau dan halangan."

Selama lebih 50 tahun orang Melayu/bumiputera telah kehilangan kuasa politik dan ekonomi.

"Berdasarkan trend yang lepas, kegagalan mencapai keseimbangan mungkin berterusan untuk 50 tahun akan datang, jika kepemimpinan negara tidak melaksanakan dasar-dasar berkesan untuk memutarbalikkan trend itu.

Ia adalah satu situasi 'keciciran kekal' (Permanent Lag) - iaitu orang Melayu/bumiputera telah ditinggalkan jauh dan semakin jauh. Ia bukan 'keciciran sementara' (Temporary Lag) seperti yang diharapkan oleh pembuat dan penggubal polisi.

Kata Dr. Rais lagi: "Secara politik orang Melayu/bumiputera telah turun taraf daripada 'bangsa' kepada 'kaum'. Dalam analisisnya, beliau turut menulis "Siapa itu Rasis?"

Keputusan PRU-13, katanya menunjukkan majoriti kaum Cina di negara ini, yang bersatu, telah memilih DAP. "DAP ialah parti cauvinis Cina yang mendakwa sebagai parti yang menjuarai hak asasi manusia untuk semua rakyat."

"Mereka telah berjaya menggambarkan persepsi itu kepada dunia dan sebaliknya melukiskan UMNO sebagai parti yang rasis dan perkauman."

Secara realitinya, kata Dr. Rais, DAP menjuarai agenda Cina yang ekstrem - sehebat polisi Pecah dan Perintah yang diamalkan oleh British di Tanah Melayu.

"Strategi bijak mereka telah berjaya. Pemenang akan menguasai politik adalah pelan permainan mereka sejak merdeka. Kaum Cina menyokong semua parti Melayu termasuk membentuk pakatan dengan parti berasaskan agama seperti Pas.

"Ia adalah politik pandang jauh. Sesiapa sahaja menang (dalam permainan itu), mereka (DAP) juga menang." UMNO sebaliknya terus mahu menjuarai 1Malaysia, demokrasi, undang-undang, hak samarata berpolitik dan hak-hak sosioekonomi untuk semua menjangkaui kaum.

UMNO, kata Dr. Rais lagi, menganggap itu adalah sebahagian daripada Tawar-menawar Sosial 1957 (Social Bargain) - iaitu Tunku Abdul Rahman menjuarai demokrasi, Tun Razak secara sukarela menyerahkan jawatannya sebagai Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran/NOC), dan Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengetepikan ISA.

Kerajaan yang dipimpin oleh UMNO mengamalkan 'Dasar Inklusif' dalam semua segi daripada politik ke ekonomi.

Malah DEB yang dulunya satu dasar afirmatif bertujuan membantu orang miskin Melayu/bumiputera, rata-ratanya lebih menguntungkan orang Cina lebih daripada kaum sasaran.

Negara ini kini dikuasai oleh Kapitalisme Cina dan bukan sebaliknya Kapitalisme British.

Rangkaian bekalan barangan (supply chain) dikuasai sepenuhnya oleh mereka. Mereka mengamalkan dasar eksklusif dengan mengetepikan orang Melayu/bumiputera. Walaupun orang Melayu mendapat kontrak, mereka terpaksa melalui peniaga Cina.

Mereka mengamalkan dasar monopoli dan monopsonistik harga, yang ditentukan oleh persatuan-persatuan yang mengawal pelbagai rangkaian bekalan barangan.

Secara ringkas, kata Dr. Rais mereka mengamalkan sistem kartel dalam menetapkan harga.

Beliau dalam itu menyarankan kerajaan berusaha melonjakkan semula kuasa politik dan ekonomi Melayu/bumiputera.

"Penyelesaian kepada masalah politik itu sekarang adalah perpaduan di antara orang Melayu daripada UMNO, Pas, PKR dan bumiputera Sabah dan Sarawak."

"Ia akan menjadi satu kekhilafan polisi jika kita tidak mengambil tindakan tegas menyatukan semula orang Melayu/bumiputera dan melonjakkan semula kejatuhan ekonomi, selepas PRU13.

"Kita mempunyai contoh semasa 1969. Satu wawasan jangka panjang diperlukan daripada orang politik dan elit-elit ekonomi bagi merangka semula masa depan orang Melayu/bumiputera. Gagal melakukannya akan menyebabkan bangsa itu dijajah semula. Di Afrika Selatan, minoriti kulit putih menguasai majoriti kulit hitam. Yang sama boleh berlaku di sini."

"Penyelesaian kepada masalah ekonomi Melayu/bumiputera ialah meningkat bahagian mereka dalam pelaburan dalam negara."

Dasar Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan oleh kerajaan iaitu mewujudkan 3.3 juta pekerjaan, harus dikuasai sebahagiannya oleh Melayu/bumiputera di semua peringkat.

Mewujudkan pelaburan bernilai RM1.4 trilion, orang Melayu juga harus mendapat bahagian yang sebaiknya dalam pelbagai industri.

Jika itu dicapai, baharulah bangsa itu boleh mencapai pendapatan per kapita sasaran AS$15,000 atau RM48,000.

"Jika 40 peratus penduduk miskin negara, rata-rata Melayu/bumiputera dibantu dengan pembabitan dalam ETP itu, secara automatik mereka akan berjaya melepasi garis kemiskinan," katanya.

Jika tidak bangsa itu akan terus diketepikan atau lebih teruk dijajah semula (recolonised), kali ini oleh penjajahan dalam negara (internal colonisation) sendiri.

"Bersatu Melayu teguh, bercerai Melayu roboh - itulah formulanya," kata Dr. Rais kepada saya baru-baru ini.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140129/re_06/Bersatu-Melayu-teguh-bercerai-Melayu-roboh#ixzz2rlJwxhHV  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: