Oleh Fauziah Arof
BAGUSLAH pendatang asing yang masuk secara haram di negara ini tidak lagi akan ditanggung kos penghantaran pulang ke negara asal mereka apabila ditahan dalam Operasi 6P Bersepadu yang bermula di seluruh negara, kelmarin.
Tindakan ini memang amat wajar dan tepat sekali.
Sebabnya, jutaan ringgit yang kerajaan keluarkan untuk menanggung makan minum mereka di depot tahanan setiap tahun dan menghantar mereka pulang, tidak membawa apa-apa manfaat pun kepada rakyat di negara ini dan tidak juga banyak merubah suasana yang ada di Malaysia ini akibat kebanjiran warga asing di beberapa kawasan.
Malah mereka tetap keluar masuk secara haram dan banyak kawasan sudah jadi seperti tempat koloni-koloni khas mereka tinggal dan berniaga, terutamanya di Lembah Klang.
Mencari rezeki di Malaysia melalui pencerobohan, membentuk dan menguasai kawasan-kawasan tertentu dan terbabit dalam jenayah seperti bunuh, rompak, rogol, ragut, menganggu ketenteraman awam dan sebagainya, ini semua perbuatan yang menjejaskan dan membahayakan hidup rakyat tempatan. Soal keselamatan rakyat dan kedaulatan undang-undang negara sepatutnya tidak dikompromi.
Jadi, apabila pada kali ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa pihak majikan, pekerja atau pihak kedutaan negara masing-masing harus keluar duit untuk kos menghantar pulang PATI bila ditahan dalam Operasi 6P Bersepadu ini, ia bukan satu tindakan yang lepas tangan. Jauh sekali hendak dikait-kaitkan dengan melanggar hak asasi manusia.
Sudah sepatutnya, amalan menanggung kos penghantaran pulang mereka dihentikan terus. Apatah lagi, selama ini pun kerajaan menanggung semua kos makan minum dan perlindungan mereka di depot tahanan PATI.
Dalam kata yang lebih mudah, tak usah beri muka lagilah. Kalau cakap mahu bertegas, biarlah tindakan yang menunjukkan ketegasan itu.
Kerajaan pun sudah terlalu banyak memberi amaran dan ruang kepada mereka. Baik kepada majikan mahupun PATI.
Melalui program-program pengampunan dan pemutihan PATI sebelum ini mereka boleh pulang tanpa sebarang tindakan undang-undang yang dikenakan kepada mereka. Di bawah Program Khas Pengurusan PATI (PKPP), KDN telah memberi masa yang panjang untuk majikan mendaftarkan pekerja-pekerja asing mereka.
Tetapi itulah, apa program pun dilakukan, begitu ramai dalam kalangan mereka yang tidak mahu mengambil peluang ini. Kemasukan secara haram mereka tidak juga kurang. Ini membuktikan pendekatan berlembut, memang tidak sesuai dalam menangani isu ini dan hanya merugikan.
Apatah lagi ia tidak langsung menakutkan mereka. Ada yang hari ini dihantar pulang, bulan depan, sudah masuk semula ke Malaysia, berniaga dan bekerja seperti biasa, macam tiada apa-apa yang merisaukan mereka, asalkan mereka berada di Malaysia!
Segala kemudahan dan kebaikan yang dilakukan oleh Malaysia, kita tidak mahu ia diambil kesempatan bagi memudahkan pula mereka mencari pekerjaan di negara ini dengan masuk secara haram.
Kos makanan di depot tahanan PATI di Semenanjung bagi setiap tahanan adalah RM5 manakala RM12 seorang bagi kawasan pedalaman Sarawak. Itu belum dimasukkan lagi kos menyelenggara 15 buah depot tahanan PATI di seluruh negara dan kos menghantar mereka pulang.
Mengapa setiap tahun kita perlu ada bajet khusus pula untuk menanggung mereka? Sedangkan mereka telah melanggar undang-undang negara. Rakyat kita sendiri apabila melanggar undang-undang ketika berada di negara luar mereka juga tidak terlepas daripada tindakan.
Dianggarkan seramai 420,000 PATI masih berada di seluruh negara selepas PKPP yang berakhir kelmarin, dan ini bermakna jutaan ringgit lagi diperlukan jika kerajaan mahu terus 'menyara' mereka. Jadi, apabila pihak majikan atau PATI sendiri harus keluar duit untuk pulang, itu adalah lebih baik dan adil kepada rakyat di negara ini.
Dengan wang yang begitu banyak dihabiskan kerajaan untuk mereka yang menceroboh masuk Malaysia ini adalah lebih baik ia disalurkan kepada perkara-perkara untuk membangunkan negara ini dan yang meringankan beban rakyat.
Dalam rakyat bising dengan kenaikan kos sara hidup dan menuntut agar kerajaan bertindak untuk meringankan beban mereka, memperuntukkan wang yang begitu banyak kepada penceroboh negara sudah tentulah tidak kena dan satu pembaziran.
Apatah lagi, masih ada rakyat negara ini yang hendak makan dengan kos RM5 hingga RM12 sehari pun susah, tetapi PATI senang-senang saja mendapat perlindungan, tidur, makan dan minum secara percuma setiap hari di depot tahanan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140122/re_02/Biarlah-mereka-saja-yang-tanggung#ixzz2r5NkPzvz © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment