Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 22 January 2014

'DEB' Obama dan dasar ekonomi Najib


Oleh Zaini Hassan





TAHUN 2013 telah membawa satu persimpangan baru dalam dasar ekonomi Amerika Syarikat. Presiden Obama, seorang berkulit hitam, sudah mula bercakap mengenai dasar ketidaksamaan atau inequality.

Beliau bercakap mengenai ketidaksamaan atau ketidakrataan sosial dan ekonomi membabitkan kaum minoriti negara itu, kulit hitam serta golongan Hispanic dan kaum Asli Amerika.

Golongan itu rata-rata masih miskin, mundur, gagal bersaing dengan kaum kulit putih dan gagal mendapat peluang terbaik dalam pelbagai bidang termasuk pekerjaan, pendidikan dan kesihatan.

Di Malaysia ia terbalik. Kaum majoritinya berkeadaan seperti kaum-kaum minoriti di Amerika Syarikat.

Mereka pernah dibantu oleh satu tindakan afirmatif yang dicap sebagai mendiskriminasi kaum-kaum lain. Malah dasar itu juga pernah dikritik oleh negara-negara lain termasuk kuasa besar Amerika sendiri.

Namun kaum lain di Malaysia terus kaya dan senang semasa proses dasar itu berlangsung. Rata-rata 10 bilionaire Malaysia kini terdiri daripada kaum Cina.

Sungguh ironis, bangsa majoriti atau kaum Melayu, bumiputera dan pribumi yang sepatutnya terbela melalui dasar itu, terus mundur dan masih tercicir.

Lebih malang, satu kajian oleh Dr. Mohamed Khalid, bekas penyelidik ISIS, mendapati kaum siswazah Melayu/bumiputera juga telah didiskriminasi peluang untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta.

Semasa berucap di Center for American Progress (CAP) pada April 2013 Obama merumuskan hala tuju dasar ekonominya: "Peningkatan jurang ketidaksamaan bukan sahaja salah dari segi moral, ia juga adalah dasar ekonomi yang buruk."

CAP ialah sebuah pertubuhan yang menggalakkan perdebatan bagi mengembangkan opportunity, merungkai jurang ketidaksamaan untuk seluruh rakyat Amerika.

Dalam ucapan itu, Obama berkata, majoriti rakyat Amerika rata-rata bersetuju bahawa keutamaan nombor-satu ialah meletakkan asas peluang dan pertumbuhan yang saksama untuk semua, tapi ia masih gagal dilakukan oleh kerajaannya.

"Saya fikir sebab utamanya ialah kerana mitos yang menyelubungi isu ketidaksamaan ini."

Mitos itu beranggapan kata Obama, ia adalah masalah yang hanya merangkumi kumpulan terkecil minoriti miskin - yang bukan satu masalah besar pun, ia adalah masalah orang kulit hitam atau masalah golongan Hispanic atau masalah Orang Asli Amerika.

"(Jika mitos itu diterima maka) ...ia adalah benar bahawa legasi diskriminasi yang menyakitkan itu membawa maksud bahawa orang kulit hitam (African American), orang Latin (Latinos) dan Orang Asli Amerika (Native Americans) akan menderita lagi akibat kurang mendapat peluang - pengangguran yang tinggi, kadar kemiskinan yang tinggi."

"Kita memerlukan satu sasaran plan inisiatif bagi mengurangkan jurang itu."

Banyak yang Obama gariskan dalam ucapan itu bagi mendekatkan jurang ketidaksamaan antara kaum-kaum di negara itu. (Baca teks penuh ucapan Obama di http: //www.politico.com/story/2013/12/obama-income-inequality-100662.html)

Bagi saya ia adalah satu dasar tindakan afirmatif ala DEB untuk Amerika Syarikat.

Berbalik di Malaysia, Najib sepatutnya memperkasakan lagi dasar afirmatif bagi membantu kaum yang masih lagi lemah.

Dasar Najib menjadikan negara berpendapatan tinggi tidak akan berjaya, tanpa diiringi oleh dasar tindakan afirmatif.

Kita bimbang jika ia tidak dilakukan maka ketidaksamaan antara kaum akan terus menjurang. Pada masa itu, rakyat akan terus merungut dan mengamuk setiap kali harga barang naik. Di Barat, yang keperluannya berbeza dengan kita, rakyatnya hanya memberontak apabila insurans kesihatan ditarik balik atau pengangguran meningkat. Ia banyak membabitkan polisi kerajaan secara langsung.

Oleh itu, tindakan afirmatif kita perlu diteruskan dalam apa bentuk sekali pun, tegas salah seorang penggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr. Mohamed Rais Saniman ketika ditemui baru-baru ini.

Dasar (tindakan afirmatif) itu, katanya dirangka "bagi memberi peluang-peluang yang sama kepada yang kurang bernasib baik dan miskin. Ia memberikan peluang yang adil bagi kumpulan yang paling lemah dalam masyarakat, dalam kes ini Melayu/bumiputera, hasil tekanan kolonisasi yang hebat sejak beratus tahun."

Dalam kertas kerjanya bertajuk Melayu Mesti Mendapatkan Hak Asas Ekonomi Mereka, Rais bimbang apabila melihat trend kuasa ekonomi dan politik bumiputera dan Melayu semakin menjunam sekarang berbanding bukan Melayu sehingga ke tahun 2050.

Beliau membuat persamaan antara PRU1969 dan PRU13.

Pada 1969, Tun Abdul Razak menyusun semula sistem politik dan ekonomi.

Secara politik, beliau menyatukan semula bangsa Melayu dan bumiputera.

Secara ekonomi pula, Tun Razak memperkenalkan DEB. Dua sistem itu memperlahankan kejatuhan bangsa itu. Malah ia mengundurkan kejatuhan Melayu/bumiputera untuk sementara.

Pasca PRU13 juga memerlukan preskripsi yang sama. Secara ekonomi, dasar yang serupa diperlukan bagi meningkatkan status ekonomi Melayu/bumiputera setaraf bukan-Melayu. Tindakan segera ekonomi ialah Pelan Tansformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Fokus yang perlu dibuat Najib, kata Dr. Rais ialah bagi mengurangkan jurang ketidaksamaan pendapatan, mengurangkan jurang ketidaksamaan kekayaan, mengurangkan jurang ketidaksamaan peluang pekerjaan di sektor swasta, kurangkan kadar kemiskinan, meningkatkan mutu pendidikan, tingkatkan rangkaian antara umat Islam serta mengawal pengaliran masuk buruh asing tidak mahir.

Tetapi dari segi politik, Najib gagal menyatukan orang Melayu/Bumiputera yang semakin berpecah-belah.
"Ini adalah tugas utama para pemimpin politik (secara keseluruhannya).

"Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tengku Razaleigh Hamzah, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Anwar Ibrahim... perlu mencari jalan bagi menyatukan Melayu/bumiputera."

"Pepecahan Melayu/bumiputera ialah punca kejatuhan mereka. Ia adalah corak sejarah yang memperlihatkan pecahnya empayar Melayu dan Majapahit. British dan Belanda menggunakan kelemahan Melayu dan menguasai mereka berkurun-kurun.

"Melihatkan suasana semasa politik Melayu/bumiputera, mereka menghadapi bahaya yang sama untuk dijajah semula, kali ini oleh penjajahan dalaman (internal colonization) dan juga penjajahan semula luaran."

Waktu untuk bercakap banyak telah berlalu. Kita telah melakukannya selama lebih 50 tahun.

"Dalam kesedaran untuk kebaikan, kita Lakukan Sahaja (Just Do It), atas prinsip faedah maksimum (maximum benefit) untuk jumlah maksimum (maximum number), terutama kepada kumpulan termiskin dalam masyarakat.

Orang Melayu/bumiputera mesti mendapatkan hak asas ekonomi dan politik mereka dan kemudian memimpin - ekonomi dan politik itu -secara kukuh.

Jika mereka kuat, negara juga akan kuat. Jika mereka lemah politik dan ekonomi, lambat laun, Malaysia akan berpecah (disintegrate).

Nasib kaum majoriti di mana-mana negara di dunia turut menentukan nasib negara tersebut.

"Atau sekiranya tiada usaha dilakukan mulai sekarang, maka PRU14 akan datang mungkin merupakan yang terakhir bagi UMNO memimpin kerajaan BN," jelas Dr. Rais.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140122/re_05/DEB-Obama-dan-dasar-ekonomi-Najib#ixzz2r5EwGhAw   © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : MALANGNYA KEBIJAKSANAAN DAN KEBERANIAN TUN ABDUL RAZAK TIDAK DIMILIKI OLEH DS NAJIB. 

No comments: