Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 31 December 2013

Rakyat dibuli demi gila kuasa


PENULIS ialah Pengurus Besar, Analisis dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Penunjuk perasaan antikerajaan Thai bertembung dengan polis bagi menghalang proses pendaftaran calon parti politik untuk pilihan raya umum pada Februari 2014 di sebuah stadium di Bangkok pada 25 Disember lalu. - AFP

Ketika semua rakyat bersiap sedia menyambut tahun baharu 2014, segelintirnya pula sedang sibuk menganjurkan perhimpunan haram untuk 'menjatuhkan kerajaan' atas alasan kenaikan kos sara hidup ekoran penstrukturan semula subsidi dan faktor-faktor tertentu di luar kawalan.

Penstrukturan semula atau penyelarasan subsidi menyebabkan tarif elektrik berubah dan sebelumnya harga petrol, diesel dan gas telah meningkat.

Begitu juga dengan pengurangan subsidi, harga gula menjadi lebih mahal 34 sen sekilogram. Kenaikan-kenaikan tersebut dijangka akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan manakala rakyat pula perlu berubah agar lebih membudayakan konsep penggunaan berhemah, termasuk berjimat menggunakan petrol dan tidak mengambil gula berlebihan dalam minuman dan masakan.

Rakyat Malaysia boleh menerima rasionalnya pengurangan subsidi ke atas gula dan petrol, tetapi kenaikan itu semacam memberikan pula kekuatan kepada sekumpulan aktivitis yang muncul sama ada sebagai parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan provokasi agar rakyat 'menggulingkan kerajaan.'

Kajian mutakhir membuktikan, rakyat masih percayakan BN, khususnya UMNO sebagai pemerintah berbanding pakatan pembangkang. Dalam beberapa siri pembohongan yang mereka lakukan, parti-parti pembangkang seperti dirasuk dengan hanya sedikit kemenangan, sedangkan kemenangan itu masih jauh daripada tahap boleh memerintah.

Dengan hanya menang 89 kerusi Dewan Rakyat, yakni lebih satu kerusi daripada jumlah kerusi yang dimenangi oleh UMNO, pakatan pembangkang mula menunjukkan sikap besar kepala dan angkuh.

Sikap besar kepala dan angkuh itulah dilantun menerusi siri jelajah memburuk-burukkan amalan pilihan raya, kononnya kekuatan BN tidaklah seberapa berbanding pakatan pembangkang berdasarkan undi popular. 

Semua rakyat Malaysia tahu dan sedar, sistem pilihan raya di Malaysia adalah berdasarkan konsep berperwakilan, maka undi popular bukanlah pengukur tahap kemenangan sebenar.

Selagi sistem pilihan raya menggunakan kaedah tersebut, selagi itulah setiap daripada kita mesti akur dengan setiap keputusan secara sah dan rasmi. Oleh kerana gagal untuk kali kedua menawan Putrajaya, pakatan pembangkang mula membuat tuduhan palsu, kemenangan BN terutama di Sabah dan Sarawak kerana dibantu oleh 40,000 warga Bangladesh. Akhirnya, dakwaan tersebut membunuh keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang sendiri setelah pemimpin tertinggi Bangladesh mengakui tidak ada rakyatnya terbabit, manakala pemimpin pakatan pembangkang mula mencari dalih yang lain.

Akhir-akhir ini, setelah mendapat ilham daripada apa yang sedang berlaku di Thailand, perletakan jawatan Perdana Menteri, Yingluck Sinawatra, mereka sekali lagi menjadi dalang untuk melancarkan rusuhan jalanan bagi memaksa Perdana Menteri Malaysia meletakkan jawatan. Soalnya, sebab yang dijadikan alasan atas sesuatu yang tidak kukuh sebagaimana yang berlaku di Thailand.

Persoalan yang dihadapi oleh Yingluck ialah pindaan undang-undang yang memberikan pengampunan kepada pesalah politik, termasuk abangnya sendiri, Thaksin Sinawatra yang memerintah Thailand berdasarkan konsep pengurusan syarikat dan penswastaan.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya tidak mahu keadaan yang sama berlaku, kerana kesan kemusnahan akibat sengketa politik bukanlah sesuatu yang mudah diperbaiki. Kerosakan akibat kekacauan politik yang berlaku di Mesir misalnya, sampai sekarang masih belum reda dan ekonomi negara itu semakin mendekati getir.

Iktibar penting daripada peristiwa terkini dalam percaturan politik di Mesir bahawa keamanan, kestabilan, keharmonian dan perdamaian nasional merupakan sesuatu yang sangat mahal harganya. Di negara kita, elemen-elemen inilah yang menjadi tunjang kepada kerajaan hari ini yang tidak akan digadaikan semata-mata menuruti kehendak sesetengah pihak yang mahukan perubahan landskap politik negara.

Perubahan yang tidak disertai dengan kesedaran dan kesepakatan secara menyeluruh oleh semua komponen masyarakat akan hanya dapat menghasilkan suasana huru-hara dan kekalutan politik. Hakikatnya apa yang lebih utama adalah merangka dan menyusun agenda perpaduan dan kesatuan semua elemen masyarakat bagi mewujudkan pemerintahan yang mantap dan stabil.

Politik di Mesir dan Thailand mempunyai kaitan rapat dengan tentera. Di Mesir, sesebuah kerajaan tidak akan kekal sekiranya tidak mendapat dokongan tentera. Hal yang sama turut berlaku di Thailand. Keadaan ini adalah berbeza dengan Malaysia, tentera merupakan kelompok yang berkecuali, kerana fungsinya ialah menjamin keselamatan dan ketenteraman awam, dan bukannya menyokong sesebuah parti politik.

Konsep yang diguna pakai ialah menyokong kerajaan yang dipilih secara sah, dan bersedia membanteras anasir yang cuba menggugat kerajaan termasuk percubaan menggulingkan kerajaan.

Sikap itulah sebenarnya yang menjadi kekuatan politik di Malaysia. Sikap itulah sebenarnya yang wajar difahami oleh seluruh rakyat, kerana tugas sebenar tentera dan pasukan keselamatan ialah menjamin keselamatan negara, menolak sebarang bentuk aktiviti yang bersifat agitasi dan anarki, termasuk menghalang sebarang bentuk rusuhan jalanan walaupun penganjurnya menggunakan alasan kepentingan rakyat.

Pihak penganjur sebenarnya membuli rakyat, kerana rakyat dijadikan senjata untuk mereka mendapat kuasa secara tidak sah dan salah.

Sebenarnya, dalam politik kaedah membakar sentimen emosi merupakan satu pendekatan popular bagi meraih sokongan rakyat. Bahkan, jika kita mengkaji sejarah, banyak ditemui bagaimana emosi rakyat dibakar sehingga berjaya membentuk suatu gerakan pemberontakan yang besar, atau dikenali kuasa rakyat.

Menerusi kuasa rakyat inilah pemimpin-pemimpin berkenaan memburu kuasa, walhal kaedah itu terlalu berbahaya dan memakan korban nyawa yang banyak.

Ia seolah-olah mengulang kembali kaedah berpolitik yang berlaku di zaman munculnya dua sistem berkerajaan, iaitu negara polis dan negara demokrasi. Sistem pemerintahan berdasarkan kekuatan tentera dan fizikal, banyak membangkitkan emosi sehingga sebahagian pemudanya dikembirikan dan wajib berkhidmat sebagai tentera, manakala dalam sistem demokrasi, propaganda dan melobi mendapat kuasa berlaku sepanjang masa, dan ia tidak juga berjaya membentuk kestabilan politik yang mampu bertahan lama.

Dua senario ini seolah-olah sedang berlaku semula dalam peradaban manusia, kerana manusia sebenarnya terlalu 'lapar kuasa' dan sudah kehilangan etika kehidupan berpolitik - politik ialah kuasa.

Mereka akan lakukan apa sahaja demi memperoleh kuasa, bahkan persoalan adab dan susila yang dipupuk sebagai benteng bangsa dilanggar. Sempadan agama tidak lagi menjadi kerangka, kerana agama hanya dilihat sebagai faktor yang mampu mempengaruhi emosi dan sentimen semata-mata, tanpa mengeksploitasinya.

Sampai bilakah rakyat boleh bertahan, kalau kekalahan tidak boleh diterima dengan rasional dan asyik dijadikan sasaran 'menggulingkan kerajaan' yang memerintah secara sah? Suatu hari, rakyat akan bertanya, sampai bilakah mereka akan dibuli demi memenuhi kelompok yang gila kuasa dan pencetus anarki?

Ketika itulah, rakyat lebih kenal siapakah sebenarnya pemimpin yang boleh disandarkan harapan dan mana pula pemimpin yang hanya tahu membuli rakyat kerana mahukan 'kuasa'.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131230/re_02/Rakyat-dibuli-demi-gila-kuasa#ixzz2p0zpPXNA 
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: