Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 18 June 2014

Runding dengan Peguam Negara


KUALA LUMPUR 17 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berunding dengan Peguam Negara (AG) jika ia berpendapat AG perlu mengkaji semula keputusannya dalam isu rampasan kitab Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Peguam Negara baru-baru ini memutuskan bahawa tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut yang dilakukan pada Januari lepas, sekali gus menutup kes berkenaan.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian isu rampasan kitab tersebut milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) itu hendaklah dibuat berdasarkan peruntukan dan semangat Perlembagaan dan undang-undang negara supaya ia dapat diterima oleh masyarakat.

"Kajian semula keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara semestilah berasaskan kepada lunas undang-undang negara ini dan semua pihak mestilah menghormati keputusan yang dibuat," katanya.

Najib juga berkata, kerajaan negeri Selangor, MAIS dan JAIS yang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan dan pentadbiran hal ehwal agama Islam di negeri Selangor hendaklah menentukan sama ada untuk memulangkan semula kitab Bible tersebut atau sebaliknya.

"Sebagaimana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kesucian Islam dan umat Islam dari dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain.

"Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, juga memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan juga kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal atau menyekat perkembangan doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam," katanya dalam kenyataan itu.

Pada 2 Januari lepas, JAIS menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 Bible dalam usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Namun pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140618/dn_01/Runding-dengan-Peguam-Negara#ixzz34wyQ8UN4  © Utusan Melayu (M) Bhd

Kilang bihun 'kotor' dijilat api

Oleh NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my



KILANG Bihun Cap Masjid di Batu 6 1/2, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.

KUALA LUMPUR 17 Jun - Belum pun reda isu mengenai proses menghasilkan bihun yang kotor dan meloyakan, kilang bihun yang baru-baru ini disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hangus dalam kebakaran di Batu 6 1/2, Jalan Ipoh di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, empat lagi premis berhampiran kilang membuat 'Bihun Istimewa Cap Masjid' itu turut hangus dijilat api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.10 pagi yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Dua jentera dengan 15 anggota dikerah ke lokasi kejadian dan sebaik tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian, api marak sudah hampir meranapkan kelima-lima unit kilang terbabit.

"Pihak bomba terpaksa meng-ambil tindakan segera mengawal api daripada terus merebak ke beberapa lagi unit kilang berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azrul berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan dan masih disiasat.

Minggu lalu, DBKL menyerbu sebuah kilang bihun yang menggunakan lambang masjid dan logo halal yang tidak diiktiraf serta mengarahkan agar kilang itu ditutup serta merta selepas mendapat laporan mengenai cara penghasilannya yang kotor dan menjijikkan.

Kilang yang dikatakan sudah menjalankan operasi sejak tahun 60-an lagi, didapati gagal mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan.

Dalam soal siasat ke atas pengusaha kilang terbabit, dia mengakui tidak mampu melakukan kerja pembaikan premisnya yang sudah usang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140618/dn_10/Kilang-bihun-kotor-dijilat-api#ixzz34wwHfyfH  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Tuesday, 17 June 2014

WORLD CUP 2014 - Aksi Iran, Nigeria membosankan



PENYERANG Nigeria, Shola Ameobi (kanan) bersaing dengan pertahanan Iran, Jalal Hosseini dalam perlawanan Kumpulan F di Arena Baixada, Curitiba, awal pagi tadi. - REUTERS
KEMARAU kemenangan yang dialami Iran dan Nigeria sejak Piala Dunia 1998 berterusan apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Arena Baixada, berhampiran Copacabana, awal pagi tadi.

Malah, ia adalah keputusan seri pertama dicatat pada Piala Dunia kali ini, sekali gus menjadikan persaingan Kumpulan F lebih terbuka.

Biarpun Iran menarik nafas lega apabila berjaya memastikan gawang mereka tidak dibolosi buat kali pertama sejak membuat penampilan sulung pada 1978, namun perlawanan tersebut amat membosankan.

Kedua-dua pasukan diejek oleh hampir 39,000 penonton, yang sebahagian besarnya adalah peminat tempatan selepas menampilkan aksi hambar dan amat berbeza dengan perlawanan-perlawanan yang berlangsung di venue lain.

Iran seperti diduga memperkukuhkan benteng pertahanan, manakala Nigeria menerusi penyerangnya, Emmanuel Emenike gagal melakukan sebarang ancaman berbahaya selain banyak mensia-siakan peluang menerusi hantaran jauh dan hantaran terus kepada pihak lawan.

Skuad Super Eagles berjaya menjaringkan gol pada minit ketujuh selepas berlaku kekalutan di hadapan pintu gol Iran, tetapi jaringan Ahmed Musa itu dibatalkan pengadil Ecuador, Carlos Vera selepas mendakwa penjaga gol Iran, Alireza Haghighi ditolak.

Iran hampir memecah kebuntuan pada minit ke-33 menerusi tandukan Reza Ghoochannejhad tetapi berjaya diselamatkan kapten Nigeria yang juga penjaga gol, Vincent Enyeama.

Nigeria melakukan pertukaran pertama memasukkan bekas kapten, Joseph Yobo bagi menggantikan Godfrey Oboabona yang mengalami kecederaan selepas terkena terjahan keras lawan.

Jurulatih Nigeria, Stephen Keshi sebelum ini memberi amaran bahawa juara Afrika itu mampu menjadi juara di Brazil, namun selepas mengharungi perlawanan pertama yang mengecewakan, jelas perkara tersebut tidak mampu direalisasikan.

Keshi berkata, pasukannya mendominasi hampir keseluruhan permainan tetapi mengalami masalah gugup di depan gol.

“Kami mahu menjaringkan gol dan ia tidak berjaya. Kami hanya perlu menenangkan semua orang dan perbaiki persembahan," katanya.

Bagaimanapun, keputusan seri tanpa jaringan itu tidak begitu mengecewakan jurulatih Iran, Carlos Queiroz.

“Saya harus memuji para pemain, mereka lebih daripada layak untuk keputusan seri ini.

“Paling penting ialah semuanya kini terbuka untuk kami," kata jurulatih berusia 61 tahun yang sebelum ini membimbing Portugal pada Piala Dunia 2010.




WORLD CUP 2014 - Mueller mimpi ngeri Ronaldo



Pemain-pemain Jerman meraikan jaringan Mats Hummels ketika pasukan itu menumpaskan Portugal 4-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G di Stadium Fonte Nova, Salvador, pagi ini. - AFP
JARINGAN hatrik Thomas Mueller bukan saja menjadi inspirasi Jerman untuk membelasah Portugal 4-0, malah menenggelamkan sama sekali populariti Pemain Terbaik Dunia, Cristiano Ronaldo.

Juara dunia tiga kali itu memanfaatkan sepenuhnya kekurangan yang dialami Portugal apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan mereka, Pepe dibuang padang.

Kemenangan besar di Stadium Fonte Nova, Salvador itu membolehkan Jerman mengetuai Kumpulan G.

Sejurus tamat perlawanan, Ronaldo yang terlalu kecewa enggan melayani pemberita.

“Ada tiga pemain yang dibawa ke bilik media untuk bercakap dan saya bukan salah seorang daripadanya," ujar kapten Portugal itu ketika melalui kawasan media.

Ronaldo, 29, tetap beraksi sepanjang 90 minit permainan biarpun persiapannya pada Piala Dunia diganggu masalah kecederaan paha dan buku lali.

Jika sebelum perlawanan dia sering menjadi tumpuan media, namun Mueller menenggelamkan pemain itu menerusi persembahan solo yang hebat dan mengetuai corak permainan menyerang pasukannya.

Kemenangan meyakinkan itu meletakkan Jerman di landasan baik untuk memburu kejuaraan keempat selepas menang pada 1954, 1974 dan 1990.

“Tiga gol dalam satu perlawanan pembukaan menentang lawan yang hebat adalah sesuatu yang sungguh membanggakan.

“Empat tahun lalu saya juga mempunyai pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia dan saya bukan seorang yang mudah berasa gementar.

“Kami menghadapi perlawanan ini dengan baik dan mempunyai beberapa peluang sebelum berjaya menjadikan kedudukan 2-0," kata Mueller.

Tiga jaringan penyerang Bayern Munich itu hadir pada minit ke-12 melalui sepakan penalti dan dua lagi pada minit ke-45 dan ke-78.

Satu lagi gol Jerman diperoleh menerusi tandukkan Mats Hummels pada minit ke-32.

Pada minit ke-37, tonggak pertahanan Portugal, Pepe dilayangkan kad merah dalam insiden melibatkan pemain itu dan Mueller.

Pepe, diarah keluar padang oleh pengadil dari Serbia, Milorad Mazic selepas melakukan kekerasan terhadap penyerang Jerman itu.

“Kami sudah kalah sejak dari babak pertama.

“Saya fikir, lebih baik saya tidak bercakap apa-apa mengenai pengadil," kata jurulatih Portugal, Paulo Bento.

Pepe dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Serbia, Milorad Mazic selepas melakukan kekasaran ke atas penyerang Jerman, Thomas Mueller di Salvador, pagi ini. - REUTERS

WORLD CUP 2014 - Pekerman dedah rahsia kemenangan Colombia



PEMAIN Colombia, Pablo Armero (nombor 7) meraikan jaringan golnya bersama-sama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Greece di Belo Horizonte semalam. Colombia menang 3-0. - REUTERS
BRAZIL - Skuad underdog Colombia mengekalkan konsentrasi sepanjang perlawnaan untuk memboleh­kan mereka meraih kemenangan besar 3-0 ke atas Greece semalam, menurut jurulatihnya Jose Pekerman.

Perlawanan pembukaan Kumpulan C itu merupakan yang pertama buat Colombia dalam Piala Dunia setelah kembali layak dalam tempoh 16 tahun.

“Ini bagaikan mimpi menjadi kenyataan buat saya," kata jurulatih itu selepas anak buahnya menunjukkan corak permainan menyerang yang cukup menarik.

“Kami mahu mengekalkan konsentrasi, dan bermain bola dengan teknik yang bagus. Pemain saya memenuhi kesemua objektif yang kami rancang dan sangat positif selepas memenangi perlawanan pertama ini.

“Inilah yang kami rancang untuk perlawanan pertama. Sesetengah perkara tidak menjadi seperti yang kami mahukan tetapi kami sangat fokus dan telah menunjukkan bahawa kami berada di sini untuk bermain dengan baik di Piala Dunia," tambahnya.

Skuad dari Amerika Selatan itu merupakan antara pasukan underdog dalam kejohanan kali ini selepas menduduki tempat kedua pada pusingan kelayakan.

Mereka bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk menambah gol selepas Pablo Amero menghasilkan gol pertama seawal minit kelima.

Walaupun ketinggalan dua gol selepas Teofilo Gutierrez menemui gawang pada minit ke-60, Greece tidak mengalah dan terus mengasak Colombia dan mencipta banyak peluang sebelum James Rodriguez menyumbat gol ketiga semasa waktu kecederaan.

“Kami sebenarnya mampu untuk bermain dengan lebih tenang dan bertahan dengan lebih baik. Tetapi keputusan ini adalah sangat penting dan kami mahu terus kekal di dalam kejohanan ini. Kami telah tunjukkan walaupun ianya sukar, kami mampu untuk kekal fokus," katanya.

Pekerman menambah, bahawa Colombia telah menunggu lama untuk bermain di Piala Dunia.

“Saya cuba untuk tenangkan pemain saya dan memberikan inspirasi kepada mereka kerana mereka masih baru dengan keadaan ini," katanya.

- REUTERS


WORLD CUP 2014 - Drogba cetus kebangkitan pasukan



PENYERANG, Gervinho (kiri) meraikan gol kedua Ivory Coast bersama ketua pasukan, Didier Drogba ketika menentang Jepun di Recife semalam. Ivory Coast menang 2-1. - AFP

RECIFE - Kemunculan Didier Drogba di atas padang memberi ilham dan semangat kepada pasukannya untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Jepun dalam perlawanan Kumpulan C semalam.

Drogba yang dihambat kecederaan hanya masuk ke padang pada minit ke-62 ketika Ivory Coast ketinggalan.

Kehadiran penyerang itu berjaya menyelamatkan skuadnya daripada kecundang apabila Wilfred Bony dan Gervinho menyumbangkan gol menerusi tandukan, masing-masing pada minit ke-64 dan 66, selepas menerima hantaran silang daripada pemain pertahanan, Serge Aurier.

Tindakan jurulatih Sabri La­mou­chi membawa masuk Drogba sememangnya keputusan yang tepat apabila gol pertama Jepun sumbangan Keisuke Honda berjaya dibatalkan sekali gus meranap harapan Jepun untuk menjadi pendahulu Kumpulan C yang turut disertai oleh Colombia dan Greece.

Bekas bintang Chelsea berusia 36 tahun itu mungkin tidak cukup cergas untuk bermain sepanjang 90 minit, tetapi impak Drogba sebagai pemain gantian membuktikan bahawa dia masih mampu untuk mempamerkan persembahan bertenaga.

Kini, Ivory Coast berpeluang melangkah ke pusingan kedua buat pertama kali menerusi kemenangan ini dan mereka bakal bertembung dengan pendahulu kumpulan, Colombia (pada Jumaat ini waktu Malaysia) sementara Jepun bakal menentang Greece.

Jepun pada mulanya menguasai padang pada separuh masa pertama untuk mendahului menerusi sepakan dari luar kotak penalti oleh Honda pada minit ke-16 selepas menerima hantaran daripada Yoto Nagatomo.

Ini merupakan gol ke-21 Honda sepanjang kariernya bersama jersi Jepun.

Jepun turut mempunyai beberapa peluang untuk melebarkan mata mereka sepanjang 45 minit perlawanan berlangsung.

Seminit selepas Honda menyumbangkan gol, pemain pertahanan, Atsuto Uchida melakukan percubaan namun bola ditepis oleh penjaga gol, Boubacar Barry.

Ivory Coast menguasai babak kedua tetapi tidak cukup untuk mengancam kubu Jepun sehinggalah Drogba masuk untuk menye­marakkan serangan mereka.

Dalam masa hanya beberapa minit, tandukan Bony menerjah jaring dan kemudian Gervinho masuk berdekatan tiang, yang sepatutnya boleh diselamatkan oleh Eiji Kawashima.

Jepun gagal menggugat benteng Ivory Coast dalam 20 minit terakhir permainan.

Perlawanan itu merupakan yang pertama buat Lamouchi dalam Piala Dunia, jurulatih berusia 42 tahun dari Perancis yang berketurunan Maghribi dan merupakan satu kejutan apabila dia dilantik untuk membimbing Ivory Coast pada 2012. - AGENSI

WORLD CUP 2014 - Seferovic jadi wira Switzerland



PENYERANG Switzerland, Haris Seferovic (kiri) menyepak bola melepasi penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez dalam perlawanan Kumpulan E Piala Dunia di Brasilia semalam. Switzerland menang 2-1. - AFP

BRASILIA - Switzerland meraih kemenangan menerusi sepakan yang secara virtualnya adalah sepakan terakhir perlawanan ketika menewaskan Ecuador 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Dunia semalam.

Penyerang Ecuador, Enner Valencia menanduk masuk pada minit ke-22 untuk meletakkan pasukannya di depan tetapi Admir Mehmedi menyamakan kedudukan pada minit ke-48 dan Haris Seferovic menjaringkan gol kemenangan mereka.

Kemuncak permainan muncul dalam tiga minit masa kecederaan untuk memberi kemenangan buat Switzerland dalam perlawanan yang menghiburkan.

Ketika kedudukan 1-1 dan hampir ke penghujung perlawanan, Switzerland terlepas peluang untuk membuat serang balas apabila pemain tengah berusia 22 tahun, Xherdan Shaqiri menendang bola 30 meter ke belakang, menyebabkan dia diejek penonton.

Antonio Valencia segera merampas bola di bahagian kanan padang dan membuat hantaran ke tengah kepada rakan sepasukannya, Michael Arroyo tetapi pemain gantian itu mengambil masa terlalu lama untuk membuat sepakan dan memberi ruang kepada Valon Behrami menyelamatkan keadaan.

Behrami mengutip bola, meluru dari bahagian pertahanan dan dijatuhkan, tetapi melihat peluang untuk menyerang balas dia bangkit dan menghantar bola ke kanan kepada Granit Xhaka.

Xhaka menghantar bola merentasi padang kepada Ricardo Rodriguez yang mengumpan kepada Haris Seferovic untuk melepaskan rembatan yang menerjah jaring.

Pemain sayap Ecuador, Jefferson Montero berjaya mencipta peluang setiap kali mendapat bola, tetapi walaupun hantaran yang dilakukannya cantik, namun hasil akhirnya mengecewakan.

Ia sering kali berlaku, mungkin disebabkan kedua-dua pasukan kurang pengalaman beraksi di pentas besar.

Malah, Behrami juga kurang menunjukkan persembahan yang mengagumkan sepanjang perlawanan berlangsung, hilang kawalan bola beberapa kali.

Pemain kelahiran Kosovo itu, yang bermain dalam Piala Dunia buat kali ketiga dan diarahkan keluar padang ketika mereka menundukkan Chile 1-0 empat tahun lalu.

Bagaimanapun sedikit sumbangannya yang membawa kepada gol kemenangan telah mendapat pujian jurulatih Switzerland, Ottmar Hitzfeld.

"Saya amat seronok apabila Valon telah dikasari, tetapi menyedari bahawa terdapat peluang untuk serang balas.

"Adalah penting untuk menggunakan gerak hati dan merebut peluang-peluang itu," kata jurulatih dari Jerman itu. - REUTERS


WORLD CUP 2014 - Argentina bernasib baik Messi menjadi



KETUA pasukan Argentina, Lionel Messi membuat sepakan untuk menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menentang Bosnia-Herzegovina dalam Kumpulan F Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio De Janeiro semalam. Argentina menang 2-1. - AFP

RIO DE JANEIRO - Lionel Messi meledakkan gol yang menjadi trademark menerusi kemahiran individu sewaktu membantu Argentina mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Bosnia-Herzegovina pada perlawanan pembukaan Kumpulan F Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio de Janeiro semalam.

Bintang Bercelona itu turut menjadi punca kepada jaringan sendiri Sead Kolasinac pada minit ketiga bagi meletakkan Argentina di depan, tetapi Messi memerlukan masa hingga pertengahan perlawanan untuk membuktikan dia adalah pemain paling berpengaruh di atas padang.

Gonzalo Higuain yang dibawa masuk selepas rehat telah membuka ruang yang lebih luas buat Messi, dan pada minit ke-65 pemenang Ballon d'Or sebanyak empat kali itu meledakkan jaringan di stadium di mana lokasi perlawanan akhir bakal dilangsungkan (14 Julai waktu Malaysia).

Selepas menerima bola di kawasan Bosnia, Messi melakukan larian solo sambil bertukar hantaran dengan Higuain, dan berjaya menembusi kubu pertahanan lawan, sebelum melepaskan rembatan kencang ke sudut kiri gawang dari jarak 18 meter.

Gol tersebut merupakan jaringan kedua pemain berusia 26 tahun itu sepanjang kariernya dalam aksi Piala Dunia, dan pemain gantian, Vedad Ibisevic menyumbat gol tunggal buat Bosnia pada penghujung permainan.

"Gol kedua memastikan tiga mata penuh, dan amat istimewa buat saya," kata Messi, yang gagal menjaringkan gol pada Piala Dunia 2010.

Bosnia yang tampil buat kali pertama dalam Piala Dunia dilihat sebagai pencabar terkuat dalam saingan peringkat kumpulan buat Argentina, dan skuad bimbingan Alejandro Sabella itu kini berada di landasan tepat untuk layak ke pusingan kedua, 16 pasukan terakhir dengan dua baki perlawanan mereka ialah menentang Iran dan Nigeria.

Kemenangan itu juga diraikan secara besar-besaran oleh penyokong Argentina yang membanjiri Rio, dan menukar suasana di Maracana menjadi Buenos Aires.

"Masih ada kelemahan yang perlu kami perbaiki, tetapi bagus kami berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan pertama. Semua pemain ingin memberikan yang terbaik. Kemenangan adalah yang paling penting," kata ketua pasukan Argentina, Messi sebelum mengakui taktikal yang diatur oleh jurulatih, Sabella pada babak kedua permainan membantunya mempamerkan aksi cemerlang.

Dengan Higuain yang masih bergelut dengan kecederaan buku lali, Sabella telah menggunakan formasi 5-3-2 untuk menggandingkan Messi, dan Sergio Aguero di bahagian serangan.

Formasi yang digunakan jauh menyimpang daripada sistem yang kerap diguna pakai pada pusingan kelayakan iaitu 4-3-3 apabila Argentina berada di kedudukan teratas dalam senarai pasukan Amerika Selatan, namun, percaturan tersebut tidak menyekat Messi meraih perhatian awal.

"Saya rasa aksi kami pada babak kedua amat baik sekali. Kami berjaya menguasai bola, dan mencipta peluang gol. Cara permainan beginilah yang kami perlu kekalkan dalam aksi seterusnya, seperti mana yang kami pamerkan pada separuh masa kedua.

"Apa yang paling penting adalah memulakan perlawanan dengan baik, tetapi sistem pada babak kedua lebih baik kerana kami peroleh lebih banyak peluang khususnya ketika melakukan hantaran," ujar Messi. - AFP

Hadapi realiti musuh yang sentiasa cari jalan hancurkan Islam

Oleh HUSSAINI AMRAN
hussaini.amran@utusan.com.my



Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ditemani Tuanku Hajah Haminah Hamidun dan Najib Tun Razak bersalaman bersama para peserta ketika menghadiri Majlis Tilawah dan Menghafal al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-56 di PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama, Jamil Khir Baharom (kanan). - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 16 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam di negara ini agar bersatu-padu bagi menjadikan mereka kembali utuh dan mampu menghadapi rintangan serta ancaman musuh.

Seri Paduka bertitah, cabaran terbesar umat Islam masa kini adalah untuk bersatu hati dan bersepakat menghadapi realiti musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan mereka.

Titah Tuanku Abdul Halim, permusuhan dalam masyarakat perlu dihindari dan mereka yang masih lena dibuai kelekaan fatamorgana duniawi perlu dibangkitkan.

"Selagi kesatuan ummah tidak mampu dicapai, selagi itulah kejayaan yang dijanjikan Allah SWT akan tertangguh.

"Telah dinyatakan dalam al-Quran bahawa Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa kecuali mereka berusaha untuk mengubah segala kepincangan dalam diri mereka sendiri," titah Seri Paduka ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaacob dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Tuanku Abdul Halim bertitah, umat Islam juga diseru kembali berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai Islam sejati bagi mengembalikan kesatuan ummah.

Seri Paduka turut menyeru rakyat supaya kembali kepada ajaran Islam seperti yang telah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Titah Tuanku Abdul Halim, Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam sekaligus menjadikan umatnya memiliki sikap atau watak yang berimbang.

"Berimbang bermaksud seluruh pertimbangan negatif dan positif diberi perhatian supaya jalan berfikir yang diambil selalu bersifat wasatiyyah," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim turut menasihatkan rakyat agar mengamalkan konsep 'ummatan wa-satan' dalam setiap amalan.

Seri Paduka bertitah, dakwah Islam hanya dapat tertegak dan berjalan lancar dalam masa kedamaian serta apabila demokrasi wujud, bukannya dalam situasi tertekan dan kezaliman berlaku.

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ini berlangsung mulai malam ini hingga 21 Jun ini.

Sebanyak 29 negara menyertai kategori tilawah manakala kategori hafazan disertai 27 negara.

Bagi kategori tilawah, Malaysia diwakili qari, Ahmad Tirmizi Ali dan qariah, Hanimzah Jalaluddin manakala kategori hafazan diwakili Mohd. Ersyad Abdullah serta Norhaafizah Mohd. Shafie.

Johan qari dan qariah kategori tilawah masing-masing akan membawa pulang hadiah berupa jongkong emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim), piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Sementara itu, johan qari dan qariah kategori hafazan masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai RM30,000 termasuk RM10,000 yang disumbangkan Yapeim.

Kategori tilawah bermula malam ini dengan qari Palestin, Murad Y.M Abugharbia dan qariah Belgium, Sara El Azouti memperdengarkan bacaan masing-masing.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140617/dn_03/Hadapi-realiti-musuh-yang-sentiasa-cari-jalan-hancurkan-Islam#ixzz34rGJv69Z  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Eto'o tersingkir dari Piala Dunia?



Samuel Eto'o

MANAUS - Ketua pasukan Cameroon, Samuel Eto'o tidak akan terlibat dalam perlawanan menentang Croatia pada Rabu ini dan mungkin tidak boleh mengambil bahagian lagi untuk baki perlawanan seterusnya kerana kecederaan lutut yang dialaminya.

Pemenang anugerah Pemain Terbaik Afrika sebanyak empat kali itu mengesahkan perkara itu melalui laman sosial Twitter.

"Doktor telah mengesahkan! Saya mungkin sudah tidak boleh beraksi menentang Croatia pada hari Rabu, 18 Jun kerana kecederaan lutut menyebabkan saya sakit," katanya dengan menggunakan nama @setoo9.

Jurucakap media Cameroon, Laurence Fotso pula menambah kebenaran terhadap perkara tersebut apabila menyatakan bahawa Eto'o telah dimaklumkan para doktor yang dia tidak boleh beraksi selama 10 hari.

Jika spekulasi itu benar, ini bermakna Eto'o akan turut terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan mereka menentang pasukan tuan rumah, Brazil di Brasilia pada Isnin depan.

Penyerang berusia 33 tahun itu tidak begitu menyerlah ketika beraksi untuk pasukannya yang tewas 1-0 kepada Mexico dalam perlawanan Kumpulan A dan tidak muncul dalam sesi latihan Cameroon di Vitoria, berdekatan Belo Horizonte kelmarin. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140617/sl_07/Etoo-tersingkir-dari-Piala-Dunia#ixzz34rEqjrzl  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Pemain Croatia tidak mahu jumpa media



Niko Kovac

RIO DE JANEIRO - Pemain-pemain Croatia enggan melayan para wartawan yang membuat liputan Piala Dunia apabila gambar mereka mandi bogel di kolam mandi hotel penginapan pasukan itu tersebar.

Dua jurugambar menyorok di semak berdekatan dan merakam kejadian itu serta gambar tersebut tersebar melalui beberapa saluran media dalam talian.

Pengurus pasukan Croatia, Niko Kovac yang berang dengan perkara tersebut menyatakan rasa marahnya kepada para wartawan di kem latihan pasukannya, Praia do Forte.

"Saya tidak boleh memaksa mereka untuk berjumpa dengan kamu semua setelah apa yang anda lakukan kepada para pemain dan keluarga mereka.

"Apa perasaan anda jika seseorang mengambil gambar kamu berbogel? Para pemain mengesahkan bahawa mereka tidak mahu lagi berjumpa dengan anda semua dan saya tidak tahu tindakan tersebut akan berakhir esok atau sehingga tamatnya kempen Piala Dunia kami," katanya.

Menurutnya lagi, Kovac menghormati pendapat para pemainnya dan menyedari tugasan yang perlu dilakukan wartawan, namun kejadian tersebut menjatuhkan imej pasukannya apabila seluruh dunia sudah melihat gambar-gambar tersebut.

Croatia akan menentang Cameroon dalam cuaca panas dan lembap kawasan bandar Amazon esok dalam perlawanan yang harus dimenangi oleh kedua-dua pasukan setelah tewas dalam perlawanan pembukaan masing-masing. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140617/sl_06/Pemain-Croatia-tidak-mahu-jumpa-media#ixzz34rDfYd4z  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Suarez diamkan diri menjelang pertemuan dengan England



STEVEN Gerrard (kiri) berbincang dengan pengurus England, Roy Hodgson sewaktu sesi latihan di Minas Gerais. - AFP
MANAUS - Steven Gerrard mendedahkan Luis Suarez kini lebih selesa mendiamkan dirinya menjelang pertembungan England menentang Uruguay yang bakal menentukan hidup, dan mati kedua-dua pasukan itu pada Piala Dunia.

Bintang Uruguay, Suarez kini sedang berusaha keras untuk kembali cergas bagi membolehkan dia beraksi pada perlawanan menentang England, tetapi kiriman mesej antara dua pemain Liverpool itu tiba-tiba bertukar dingin.

Gerrard menjangkakan Suarez akan diturunkan pada perlawanan menentang England, dan yakin sahabat baiknya itu kini sedang menyimpan rahsia besar tentang perkembangan tahap kecergasannya kerana dia merupakan harapan besar buat Uruguay.

"Saya tidak pasti setakat mana perkembangan kecederaan Suarez, tetapi saya menjangkakan dia kini sedang memainkan peranannya kerana Suarez sekarang hanya menyepikan dirinya.

"Saya jangkakan dia bakal memainkan peranan yang cukup besar, supaya dia boleh meledak di jentera serangan, tetapi kita semua telah menyaksikan bagaimana mereka tewas kepada Costa Rica.

"Gawang mereka dibolosi, dan jika kami melakukan serangan seperti mana yang kami pamerkan sewaktu menentang Itali, kami bakal memberi masalah besar kepada Uruguay," kata kapten England itu. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140617/sl_05/Suarez-diamkan-diri-menjelang-pertemuan-dengan-England#ixzz34rAHTLM1  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Rusia letak harapan tinggi



PASUKAN Rusia menjalani latihan ringan di Sao Paulo semalam sebagai persediaan menentang Korea Selatan esok. - REUTERS

SAO PAULO - Walaupun pemain tengah, Roman Shirokov terpaksa direhatkan selepas dilanda kecederaan, jurulatih Rusia, Fabio Capello mahu para pemainnya menerapkan disiplin yang lebih tinggi menjelang aksi pembukaan mereka menentang Korea Selatan dalam Kumpulan H Piala Dunia (6 pagi esok waktu Malaysia).

Rusia yang sering gagal melepasi pusingan kalah mati sejak Piala Dunia 1994, menamatkan kempen kelayakan mereka dengan cemerlang di mana mereka menjadi pendahulu carta dan menundukkan Portugal yang berada di anak tangga kedua.

Skuad tersebut turut memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir mereka dan ini merupakan penampilan pertama mereka di kejohanan itu sejak edisi 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun.

Alexander Kerzhakov, satu-satunya pemain dari kesebelasan utama yang beraksi pada 2002 memberitahu laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bahawa skuadnya mempunyai harapan yang tinggi dalam menghadapi kejohanan tersebut walaupun tidak dibarisi dengan nama-nama terkemuka.

"Kami seboleh-bolehnya mahu menang kejuaraan ini. Kesemua pemain kami amat dikenali di Rusia walaupun orang luar tidak tahu siapa kami. Yang penting, jurulatih kami, Fabio Capello kenal siapa kami dan tahu kehebatan kami di atas padang.

"Kami yakin kami mampu melakukannya dan jika semua orang memberikan persembahan terbaik mereka, kami pasti akan berjaya," katanya.

Sementara Rusia memperkukuhkan persediaan mereka bagi menghadapi perlawanan yang akan diadakan di Cuiaba itu, pesaingnya, Korea Selatan kini boleh dikatakan berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Pasukan itu tewas dalam empat daripada lima permainan dan pada minggu lalu sahaja, mereka dibenam 4-0 oleh Ghana dalam aksi pemanas badan terakhir dan hanya mampu mencemburui kehebatan lawannya yang berjaya meraih 11 gol sepanjang kempen pemanas badan tersebut.

Jurulatihnya, Hong Myung Bo sudahpun mempunyai strategi untuk mengembalikan kegemilangan pasukannya sepertimana mereka berjaya melangkah ke separuh akhir di tanah air sendiri pada 12 tahun yang lalu, dan satu perkara yang pasti, Korea bermain dengan cukup baik sebagai satu pasukan.

Bekas pemain antarabangsa, Park Ji-sung berkata, para pemain skuad Korea Selatan sedang bergelut dengan tekanan dalam menghadapi Piala Dunia tetapi jika mereka mampu mengawal tahap mental mereka, sudah pasti mereka boleh menumpaskan Rusia.

"Mereka mesti menang dalam perlawanan menentang Rusia itu. Saya merasakan Korea Selatan boleh memenangi perlawanan tersebut. Saya orang Korea, takkan saya nak sokong Rusia," katanya. - REUTERS


 

WORLD CUP 2014 - Skuad muda Belgium sedia diuji



PEMAIN Belgium, Eden Hazard (tengah) cuba menenangkan perasaan rakannya, Kevin Mirallas yang marah kepada Maroune Fellaini (kanan) sewaktu menjalani sesi latihan di Mogi das Cruzes semalam. - AFP

BELO HORIZONTE - Belgium yang terdiri daripada pemain-pemain muda kini semakin gigih menjalani latihan apabila bakal memulakan kempen Piala Dunia mereka dengan menentang Algeria dalam perlawanan bagi aksi Kumpulan H (12 pagi esok waktu Malaysia).

Dilihat sebagai pesaing yang mampu mencipta kejutan dalam kejohanan kali ini, skuad yang mendapat jolokan The Red Devils itu dibarisi oleh pemain-pemain berbakat besar seperti perancang Chelsea, Eden Hazard; penyerang lincah, Romelu Lukaku dan pemain pertahanan Manchester City, Vincent Kompany.

Belgium yang kali terakhir muncul di persada antarabangsa menerusi Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Jepun dan Korea Selatan membuktikan kehebatan mereka dalam pusingan kelayakan dan akan berusaha meningkatkan prestasi permainan seperti ketika mereka berjaya mara ke separuh akhir dalam edisi 1986 di Mexico.

Satu-satunya pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia, Daniel Van Buyten berkata, para pemain sudah mula memberi perhatian penuh ketika menjalani sesi latihan menjelang perlawanan mereka di Stadium Mineirao.

"Kami selalunya berlatih ala kadar sahaja sebelum bermain dalam perlawanan penting supaya para pemain dapat memberikan aksi terbaik mereka pada masa yang tepat. Namun di saat ini, kesemua pemain mula memberikan tumpuan penuh dan gigih menjalani latihan" kata Van Buyten.

Jurulatih, Marc Wilmots mengagumi kemahiran pemain sensasi Manchester United, Adnan Januzaj dan rakan sepasukan, Maraoune Fellaini di samping turut memuji penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois di atas aksi yang cemerlang ketika dipinjamkan kepada Atletico Madrid musim lepas.

Meskipun Belgium dibarisi pemain-pemain muda yang lincah, Algeria pernah melakar sejarah menerusi Piala Dunia 1982 apabila berjaya mengalahkan finalis ketika itu, Jerman dengan kemenangan 2-1.

Namun, kemenangan tersebut hanya tinggal sejarah apabila Algeria yang menyertai kejohanan itu buat kali keempat tidak pernah melepasi peringkat kumpulan.

Pemain-pemain yang menjadi harapan skuad Afrika Utara itu adalah pemain pertahanan, Madjid Bougherra, dua pemain tengah, Sofiane Feghouli dan Medhi Lacen dan penyerang, Islam Slimani.

"Kami mempunyai barisan pemain-pemain muda yang berbakat tetapi mereka tidak matang lagi. Pasukan ini semakin menunjukkan prestasi mereka dan itu terbukti melalui perlawanan persahabatan dengan Armenia, Slovenia dan Romania.

"Kami tahu perlawanan pertama adalah penting, terutama untuk membentuk keyakinan kata pembantu jurulatih, Nourredine Kourichi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140617/sl_03/Skuad-muda-Belgium-sedia-diuji#ixzz34r7nFxRV  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Mexico tidak gentar reputasi Brazil



Pemain-pemain Mexico membuat senaman ringan sebelum memulakan sesi latihan di Natal semalam untuk persediaan menentang Brazil. - REUTERS

SAO PAULO - Pasukan pilihan, Brazil dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk mengalahkan Mexico dalam perlawanan kedua Kumpulan A pasukan masing-masing di Fortaleza esok, tetapi jiran mereka di Amerika Latin itu tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa gerun dengan pasukan tuan rumah.

Mexico telah memenangi beberapa perlawanan penting menentang Brazil sebelum ini, seperti apabila mengalahkan jaguh bola sepak itu pada perlawanan akhir Piala Konfederasi pada 1999 dengan 4-3 dan terbaharu, pada perlawanan akhir Olimpik di London.

Walaupun perlawanan tersebut tidak menggunakan pemain bintang sepenuhnya, beberapa pemain dari kejohanan itu dijangka diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing di Fortaleza termasuk Neymar, Oscar dan Thiago untuk Brazil, manakala Oribe Peralta untuk Mexico.

Perkara tersebut membuatkan Brazil terpaksa berfikir sejenak mengenai pasukan yang mereka akan berdepan ini untuk memastikan kemenangan 11 kali berturut-turut.

Pemain tengah Brazil, Oscar mengakui kehebatan Mexico dan mengingatkan pasukannya untuk tidak terlalu leka pada perlawanan itu nanti.

"Kami sedar bahawa Mexico merupakan sebuah pasukan yang bagus kerana mereka sering membuat Brazil bekerja keras dalam setiap pertemuan dan perkara sama boleh dijangkakan untuk perlawanan akan datang ini.

"Mexico sangat berbahaya apabila menyerang dan amat laju ketika serang balas dan persiapan kami untuk berdepan dengan mereka nanti adalah berbeza daripada perlawanan menentang Croatia," katanya kepada wartawan di kem latihan pasukannya.

Semangat Mexico akan disemarakkan lagi dengan kemenangan mereka terhadap Cameroon apabila menerima sokongan hebat daripada penyokongnya," katanya kepada wartawan di kem latihan pasukannya.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah telah memenangi 22 daripada 38 pertemuan antara dua negara itu termasuk pada perlawanan di stadium sama ketika beraksi dalam Piala Konfederasi apabila Brazil menang dengan keputusan 2-0.

Kedua-dua pasukan dan peminat bola sepak seluruh dunia akan menumpukan perhatian kepada prestasi pengadil perlawanan itu nanti apabila terdapat dakwaan berhubung keputusan berat sebelah yang memihak pihak tuan rumah dan Mexico dinafikan dua gol yang sah kerana ofsaid ketika menentang Cameroon dalam perlawanan pembukaan mereka. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140617/sl_02/Mexico-tidak-gentar-reputasi-Brazil#ixzz34r6hku6h  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

Siapa dilantik Senator dalam MIC?

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my




Dari kiri C. Sivarraajh, S. Balakrishnan, M. Mohana

SPEKULASI bertiup kencang mengatakan tiga orang ahli MIC akan mengangkat sumpah minggu depan bagi mengisi kuota parti terbesar India itu di Dewan Negara.

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel mendedahkan bahawa Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan tiga kerusi untuk diisi parti itu pada penghujung bulan.

Antara nama menjadi sebutan bagi kerusi senator ialah Datuk S. Balakrishnan yang merupakan seorang ahli perniagaan dari Johor. Beliau bukan sahaja dianggap calon berkelayakan tinggi malah seorang yang tidak mempunyai rekod buruk, bahkan mempunyai hubungan baik dengan semua lapisan pemimpin tertinggi termasuk Menteri Besar Johor.

Nama beliau juga gah di Johor berikutan khidmat dan jasanya kepada rakyat Johor, khususnya masyarakat India selama hampir 23 tahun ini.

Bagi kerusi Senator untuk kuota wanita, dijangka diberikan kepada M. Mohana yang merupakan Ketua Wanita MIC. Juga menjadi sebutan, Mohana mempunyai latar belakang sebagai pensyarah perakaunan yang juga Presiden kepada NGO Power Malaysia yang didedikasikan untuk membantu masyarakat khasnya wanita. Golongan wanita India mengenalinya sebagai begitu vokal memperjuangkan isu-isu tempatan dan berani berdepan mematahkan tohmahan pembangkang.

Ketua Pemuda, C. Sivarraajh pula dijangka diberikan kerusi Senat berikutan peranan aktifnya dalam memperkasakan golongan muda dalam komuniti India. Beliau yang juga anak didik kepada mantan Ketua Pemuda, Datuk T. Mohan terkenal dengan suara lantang. Sivarraajh juga merupakan antara pembantu penasihat berhubung hal ehwal masyarakat India kepada Menteri Besar Perak.

Selain itu, nama-nama lain juga menjadi sebutan mengisi jawatan Senator. Antaranya anak bekas Presiden MIC, Datuk Seri Seri S.Samy Vellu iaitu Datuk Seri S. Vel Pari dan bekas menteri, Datuk S. Sothinathan.

MIC perlu diperkasakan kerana undi masyarakat India dikatakan bakal menjadi 'king maker' kepada pilihan raya akan datang.

MIC diberi kuota enam senator, tiga daripadanya kini disandang oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu yang juga Pengerusi MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam; Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, A. Sivapakiam dan bekas Bendahari Agung MIC, Jaspal Singh.

Setiap senator akan hanya berkhidmat untuk satu penggal selama tiga tahun - bukan dua penggal atau enam tahun seperti sebelum ini.

Apa yang penting, Senator yang dipilih ini kelak diharap mampu memperbaiki kehidupan 1.8 juta anggota masyarakat India di negara ini, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan MIC sepanjang tiga tahun akan datang.

Fokus perlu diberi terhadap usaha membawa perubahan terhadap MIC agar parti ini kembali mendapat kepercayaan masyarakat India.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140617/po_02/Siapa-dilantik-Senator-dalam-MIC#ixzz34r5DjUlt  © Utusan Melayu (M) Bhd 


PKR mesti jelaskan tuduhan politik wang - Chegu Bard



Badrul Hisham

KUALA LUMPUR 16 Jun - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa segera tampil memberi penjelasan berhubung amalan politik wang yang didakwa berlaku dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Ahli PKR Cabang Rembau yang digantung keahliannya, Badrul Hisham Shahrin berkata, penjelasan ini kerana desas-desus berhubung tindakan Ahli JPP parti, Abdul Malek Hussin `membaling' sejumlah wang kepada seorang pemimpin PKR mula tersebar di internet sejak dua minggu lalu.

Walau bagaimanapun beliau memberitahu, sehingga kini, ahli PKR dan penyokong parti masih tertanya-tanya sama ada kejadian tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya.

"Kenapa susah sangat untuk muncul dengan penjelasan tersebut sehingga membiarkan ahli dan penyokong termangu-mangu diasak dengan persoalan dan ejekan," katanya dalam kenyataan menerusi laman blognya di http://chegubard.blogspot.com hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas dari PKR, Dr. Xavier Jayakumar menegaskan, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini kerana didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap beliau.

Selain Malaysiakini, Xavier turut mengemukakan notis tuntutan maaf kepada Badrul Hisham dan akhbar Tamil Malar berhubung penyiaran artikel yang menuduh beliau terlibat dalam kegiatan rasuah bersama Abdul Malek.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai `Chegu Bard' meminta Lembaga Disiplin PKR menyiasat dakwaan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya jika ia didapati benar.

Beliau menambah, Xavier sepatutnya menjawab serta memberi penjelasan dan bukannya bertindak sombong serta angkuh dengan mengugut untuk memfailkan saman.

"Untuk muncul mendesak segera bertindak membetulkan persepsi salah setelah begitu lembab menghadapi isu sebesar ini maka saya akan disaman, saya sedia," ujarnya.

Badrul Hisham turut menyatakan kehairanannya apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mencabar beliau membuktikan dakwaan pembabitannya dalam memberi rasuah kepada ahli JPP parti.

"Saya meminta Azmin merujuk surat saya dan fahami, isu telah muncul dari pelbagai sumber dan pelbagai versi tanpa ada pihak menjelaskan," katanya.




Politik bangsa Malaysia



BUKU Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa dalam Masyarakat Berbilang Etnik hasil karya Prof. Datuk Mohamed Mustafa Ishak yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.

Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan pada 1963 merupakan gagasan politik yang unik. Jika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1957 merupakan sebuah negara bangsa yang majmuk, maka Persekutuan Malaysia ternyata lebih daripada itu.

Penyertaan Sabah dan Sarawak pula menjadikan Malaysia lebih berdepan dengan cabaran landskap sosioagama, etnik, ekonomi dan politiknya.

Bagaimanapun, hakikat dan pendekatan ini dibayangi sikap cendekiawan yang melihat Malaysia sebagai Malaya bercirikan bangsa Melayu, Cina dan India. Jangkaan sosioekonomi dan politik yang telah mencapai 50 tahun penubuhan Malaysia mencetuskan dinamisme yang mencabar amalan lama, cara menghadapi cabaran dan kaedah menyelesaikan masalah secara berkesan.

Oleh yang demikian, sejak pertengahan 2000, keseimbangan dalam memelihara hubungan antara pelbagai etnik dan kepentingan melalui tuntutan terhadap penggunaan kaedah baharu membolehkan cabaran ini diteliti, diperdebatkan dan diselesaikan.

Pendekatan berorientasikan Tanah Melayu berasaskan konteks Melayu-Cina-India tidak lagi dominan memandangkan Sabah dan Sarawak mula mengambil peranan yang lebih penting dalam kedinamikan proses politik nasional.

Dalam konteks senario baharu inilah, buku Politics of Bangsa Malaysia: Nation-building in a Multiethnic Society (Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa dalam Masyarakat Berbilang Etnik) merupakan karya akademik dalam membicarakan kedinamikan politik baharu daripada pendekatan yang bersifat inklusif dengan pelbagai dimensi untuk memahami proses sosioekonomi dan politik.

Buku ini ditulis berdasarkan tesis kedoktoran penulis. Oleh yang demikian, tulisan ini berlandaskan pemikiran dan renungan mendalam data empirik yang dikumpul oleh penulis sendiri.

Sesungguhnya, tokoh politik yang penting dalam negara telah dirujuk dan ini menyumbang nilai tambah kepada analisis dan buah fikiran penulis.

Meskipun berdasarkan tulisan akademik, buku ini telah disemak dan dihasilkan dalam bentuk yang mudah difahami, tanpa jargon akademik yang banyak atau berat, dan tanpa paparan statistik kompleks.

Tentunya The Politics of Bangsa Malaysia merupakan buku yang “wajib dibaca" untuk mereka yang mempelajari bidang politik Malaysia.

Tulisan ini mengandungi sumber yang kaya dengan pelbagai teori terkemuka tentang pelbagai aspek pembinaan bangsa dengan ulasan yang cukup teliti dan kritis penulis.

Dalam bab pertama, teori-teori ini dibincangkan dalam konteks etnik dan nasionalisme untuk memahami proses pembinaan bangsa di Malaysia. Sebagaimana dibayangkan oleh penulis, proses pembinaan bangsa di Malaysia adalah tentang pengantaraan identiti.

Oleh sebab itu, persaingan antara identiti yang berlainan untuk menonjolkan sejauh mana setiap identiti ini mahukan ciri etniknya menjadi ciri utama dalam landskap bangsa Malaysia.

Dalam dua bab yang berikutnya, penulis mengajak pembaca mengikuti proses pembinaan bangsa menerusi tinjauan terhadap proses awal Dasar Ekononomi Baru pada 1971.

Tinjauan terhadap proses ini dilakukan dalam konteks etnik apabila penulis mengutarakan persaingan antara etnik dalam acuan bangsa Malaysia atau membina sebuah bangsa Malaysia bersatu.

Dalam bab seterusnya, penulis membicarakan asas dalam menggambarkan bangsa Malaysia daripada perspektif orang Melayu, iaitu nasionalisme Melayu. Dalam aspek ini, garapan buku ini terhadap persaingan antara Melayu dengan bukan Melayu dalam menempa negara bangsa Malaysia adalah teliti dan jelas, tanpa kecenderungan untuk menjadi terlalu sensitif atau terlalu diplomatik.

Tinjauan yang diberikan dalam bab ini melihat proses pembinaan bangsa adalah komprehensif kerana turut merangkumi Sabah dan Sarawak.

Dalam dua bab yang terakhir, penulis menekankan perbincangan tentang bangsa Malaysia. Penulis mentakrifkan “bangsa Malaysia" sebagaimana menurut tokoh yang memperkenalkan konsep itu, iaitu Tun Mahathir Mohamad, dan juga menurut pelbagai tokoh yang penting dan berwibawa dalam negara.

Selain itu, penulis juga mengulas impak pentadbiran Tun Mahathir terhadap masa depan negara dan bangsa Malaysia selepas era beliau. Segelintir pihak mungkin menolak penilaian penulis bahawa Tun Mahathir memberi sumbangan besar membantu membentuk hala tuju masa depan negara.

Dalam bab terakhir, penulis dengan rasa rendah diri mengakui bahawa pembinaan “bangsa Malaysia" bukanlah satu proses mudah dalam masyarakat Malaysia berbilang bangsa.

Malah, dalam usaha merealisasikan bangsa Malaysia siapakah yang sanggup untuk mengorbankan identiti sendiri atas nama tolak ansur.

Semua kumpulan etnik ternyata mempunyai beberapa dasar yang tidak boleh “dirundingkan" dan dengan demikian, permuafakatan dalam kalangan identiti yang berbeza mungkin tidak semudah teori integrasi dan perpaduan.

Kesedaran etnik yang meningkat, ditambah pula dengan sentimen dan persetujuan yang wujud sejak dahulu lagi tidak membantu memupuk pemahaman antara etnik dan kesederhanaan.

Sebagai kesimpulan, penulis melontarkan beberapa cabaran: Apakah implikasi dan kesan daripada keputusan pilihan raya 2013 terhadap proses pembinaan bangsa, yakni pembentukan sebuah bangsa Malaysia.

Bagaimanakah seharusnya pendamaian nasional dibentuk supaya perpaduan dapat dipupuk bagi membolehkan Malaysia melangkah ke hadapan.

Penulis juga melontarkan cabaran bahawa berfikir di luar kotak untuk mencetuskan idea baharu bagi menggerakkan negara ke hadapan dalam proses pembinaan bangsa.

Penulis, Mohamed Mustafa Ishak, melihat kembali sejarah politik dan sosioekonomi Malaysia melalui konteks etnik, nasionalisme dan persaingan antara etnik.

Pandangan pemulis merupakan pandangan akademik mendalam, tetapi mudah difahami oleh pembaca umum.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140616/ka_02/Politik-bangsa-Malaysia#ixzz34qrf56YA  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Monday, 16 June 2014

LIGA SUPER - JDT rampas puncak liga



PENYERANG JDT, Jorge Pereyra Diaz (kiri) diasak pemain Terengganu, Vincent Bikana dalam perlawanan Liga Super di johor Bahru malam tadi. JDT menang 4-3. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Selatan merampas kedudukan pendahulu Liga Super daripada Selangor selepas meraih kemenangan besar 4-3 ke atas Terengganu walaupun ketinggalan dua gol di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumpul 38 mata selepas 19 perlawanan, lebih satu mata daripada pasukan tangga kedua Selangor yang tewas 0-2 kepada ATM di Stadium Shah Alam.

Penyerang import, Jorge Pereyra Diaz menjaringkan hatrik pertamanya untuk membantu JDT meraih kemenangan ke atas Terengganu.

Turun dengan misi memburu takhta liga, JDT dikejutkan terlebih dahulu oleh skuad Penyu yang mendahului 2-0 menerusi jaringan Moustapha Dabo pada minit keempat dan Nor Farhan Muhammad pada minit ke-16.

Tersentak dengan gol pelawat, skuad Harimau Selatan terus bangkit mengatur serangan dan berjaya menghasilkan gol pertama menerusi Diaz pada minit ke-21.

Diaz kemudiannya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36 sebelum pemain pertahanan, Mahali Jasuli meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-44 bagi babak pertama permainan.

Sebaik separuh masa kedua bersambung, skuad kendalian Bojan Hodak itu terus garang mengasak kubu lawan dan Diaz sekali lagi muncul penjaring dan melengkapkan jaringan hatrik pada perlawanan tersebut.

Terengganu kembali merapatkan jurang gol menerusi pemain importnya, Vincent Bikana pada minit ke-83 dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.

Sementara itu, Selangor yang tidak mendapat khidmat penyerang utama, Paulo Rangel yang digantung perlawanan, gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, semalam hingga membenarkan pasukan lawan ATM menguasai sepenuhnya perlawanan.

Gol pertama ATM hadir menerusi penyerang import dari Argentina, Juan Manual Arostegui pada minit ke-28 sebelum menambah derita Selangor dengan jaringan keduanya pada minit ke-64.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140614/su_01/JDT-rampas-puncak-liga#ixzz34lwHh8oj  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Pengurus paling mahal?



KIRI: Fabio Capello, Roy Hodgson, KIRI BAWAH: Sabri Lamouchi, Niko Kovac

SIAPAKAH pengurus negara yang beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2014 menerima habuan paling lumayan?

Analisis akhbar DAILY MAIL menunjukkan pengurus Rusia yang juga bekas pengurus England, Fabio Capello menerima bayaran paling tinggi, kira-kira 7 juta pound (RM37 juta) setahun. Ini bermakna, dengan kontrak dua tahun Capello dijangka menerima bayaran 14 juta pound, berbanding 24 juta pound, sepanjang empat tahun membimbing England.

Berada di tempat kedua dengan bayaran tahunan 3.7 juta pound (RM20 juta) adalah pengurus England, Roy Hodgson manakala, pengurus Itali, Cesare Prandelli di tangga ketiga (2.58 juta pound/RM14 juta).

Di tempat keempat ialah pengurus Brazil, Luiz Felipe Scolari (2.4 juta pound/RM13 juta), pengurus Switzerland, Ottmar Hitzfeld kelima (2.2 juta pound/RM11.9 juta), pengurus Jerman, Joachim Low keenam (2.1 juta pound/RM11.3 juta) dan pengurus Sepanyol, Vicente Del Bosque di tangga ketujuh (2.02 juta pound/RM10.9 juta).

Pada Piala Dunia kali ini sebanyak 18 negara akan dibimbing oleh jurulatih tempatan manakala 14 jurulatih luar negara.

Lima pengurus yang menerima bayaran paling rendah adalah pengurus yang membimbing negara masing-masing. Pengurus Mexico dilaporkan hanya menerima 125,000 pound setahun (RM674,763), pengurus Ghana, James Kwesi Appiah (150,000 pound/RM809,708), pengurus Crotia, Niko Kovac (162,000 pound/RM874,466), pengurus Bosnia, Safet Susic (210,000 pound/RM1.1 juta) dan pengurus Nigeria, Stephen Keshi Nigeria (234,000 pound/RM1.3 juta).

Gaji Kovac dalam mengurus Crotia adalah paling hampir dengan purata pendapatan perkapita rakyat negara itu iaitu 19 kali berbanding pengurus negara lain. Berdasarkan statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu purata pendapatan perkapita rakyat Crotia ialah 8,767 pound setahun (RM47,329).

Pengurus Ivory Coast, Sabri Lamouchi pula menerima gaji yang mencatat perbezaan paling tinggi berbanding dengan purata pendapatan perkapita rakyat negara itu. Perbezaan gaji Lamouchi berbanding purata pendapatan perkapita rakyat negara itu ialah 795 kali. Purata pendapatan perkapita rakyat Ivori Coast ialah 778 pound (RM4,200) setahun atau 14.96 pound (RM81) seminggu. - DAILY MAIL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140614/sl_12/Pengurus-paling-mahal#ixzz34lvG22tN  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Pertembungan teknikal dan fizikal



TONGGAK hadapan Jepun, Keisuke Honda mengawal bola sewaktu menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Ivory Coast di Recife semalam. - AFP
RECIFE - Pemain-pemain Jepun yang hebat dari segi teknik akan cuba untuk mengakali kekuatan Ivory Coast ketika pertemuan kuasa besar Asia dan Afrika itu pada perlawanan Kumpulan C Piala Dunia esok.

Skuad The Blue Samurai telah mengukuhkan diri mereka selaku gergasi Asia kerana mempunyai pemain-pemain tengah yang hebat dari segi teknikal manakala kelebihan Ivory Coast terletak kepada pemain seperti Pemain Terbaik Afrika, Yaya Toure serta pertahanan Serge Aurier.

Tidak kira apa jua kelebihan dua pasukan tersebut namun kemenangan hanya mampu diraih oleh pasukan yang berupaya memanfaatkan kekuatan dimiliki bagi membina peluang untuk berada di landasan layak ke pusingan kedua.

Jurulatih Ivory Coast, Sabri Lamouchi turut berharap pasukannya mampu menunjukkan peningkatan yang baik dalam Piala Dunia kali ini.

Malah Lamouchi juga sedar pasukannya yang bakal dibarisi penyerang veteran, Didier Drogba perlu mendapatkan keputusan positif dalam aksi pertama itu.

"Impian kami adalah untuk melangkah ke satu fasa baharu iaitu sesuatu yang Ivory Coast tidak pernah capai sebelum ini.

"Dua tahun lalu saya telah membawa idea, kaedah dan saya berani memberikan jaminan bahawa kami telah bekerja keras untuk Piala Dunia ini.

"Dalam masa sama juga kami telah membawa pemain muda kerana kami juga mahu membuat persediaan untuk masa hadapan.

"Kini kami telah mempunyai beberapa pemain terkemuka dunia seperti Drogba, Yaya Toure dan Gervinho namun generasi ini masih belum mencapai apa-apa kemenangan sehingga memaksa kami mencari penyelesaiannya," kata Lamouchi.

Pada 2006 dan 2010 Ivory Coast telah membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang tidak boleh dipandang remeh kerana tidak langsung memberikan jalan mudah kepada lawan seperti Argentina, Belanda, Brazil dan Portugal.

Sementara itu, juara Asia, Jepun dijangka akan memanfaatkan pemain Manchester United, Shinji Kagawa dan pemain AC Milan, Keisuke Honda bagi mengehadkan pergerakan Drogba dan Wilfried Bony.

Jurulatih Jepun, Alberto Zaccheroni dari Itali berharap mental kesemua pemainnya telah bersedia untuk menghadapi saingan penuh kompetitif tersebut.

"Saya mahu semua pemain bersedia dari mental untuk menghadapi perlawanan ini. Kami juga perlu memastikan pemain tidak terlalu gementar ketika berada di padang dan dalam masa sama tidak boleh terlalu tenang.

"Kami mempunyai skuad yang kebanyakannya terdiri daripada pemain berusia sekitar 27 tahun dan ini adalah pasukan yang seimbang untuk Piala Dunia," kata Zaccheroni. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140614/sl_06/Pertembungan-teknikal-dan-fizikal#ixzz34ltmwQwP  © Utusan Melayu (M) Bhd