Op Cantas Khas diperhebat tangani jenayah
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiatkan Op
Cantas Khas yang dilancarkan sejak Sabtu lalu khususnya di Lembah Klang
untuk membendung aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.
PDRM dalam laman Facebook hari ini memaklumkan, usaha meningkatkan
operasi tersebut adalah selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, Tan
Sri Khalid Abu Bakar.
Selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, pelaksanaan Op Cantas Khas
bagi membendung kegiatan jenayah khususnya yang berkaitan aktiviti
kongsi gelap serta jenayah yang menggunakan elemen senjata api dan
senjata tajam, dipergiatkan di sekitar Lembah Kelang oleh Jabatan
Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama semua ibu pejabat polis daerah
berkaitan," jelas kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, semalam, pemeriksaan melalui sekatan jalan
raya telah ditumpukan di kawasan Sentul dan Wangsa Maju di ibu negara.
Di Selangor pula, operasi dijalankan di Batu Caves, Rawang, Pandan Indah, Bandar Sunway Puchong, Dengkil dan Bestari Jaya.
Katanya, sebanyak sembilan pasukan khas terdiri daripada pegawai dan
anggota JSJ dari Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur terlibat dalam
pemeriksaan tersebut.
Pemeriksaan dijalankan itu bertujuan membanteras penjenayah dan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara.
Orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak polis sepanjang operasi
ini dijalankan demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh
masyarakat," kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi
dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan
ketika dihubungi memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 1,551
individu dan 1,000 kenderaan diperiksa dalam Op Cantas Khas di Lembah
Klang semalam.
Hasil pemeriksaan, kita telah menangkap 32 orang kerana terlibat
melakukan pelbagai kesalahan jenayah manakala 76 saman terhadap pemandu
turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.
Di SHAH ALAM, polis Selangor memaklumkan sebanyak 683 individu yang
dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah ditahan sepanjang tiga hari
Ops Khas Pencegahan Jenayah di seluruh negeri itu.
Daripada jumlah itu, 211 orang ditahan reman bagi membantu siasatan
kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah antaranya memiliki
senjata, dadah dan lain-lain.
Di MELAKA, polis kontinjen itu memeriksa sebanyak 29 orang, namun
tiada tangkapan dibuat dalam operasi di seluruh negeri itu sejak Sabtu
lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja
Shahrom Raja Abdullah berkata, operasi tersebut turut memfokuskan
gerakan memburu empat suspek lelaki yang terlibat dalam rompakan
bersenjata di sebuah kedai emas di Taman Seri Duyong pada Mac lalu.
Sementara itu, di SEREMBAN, polis menahan lapan lelaki termasuk empat
yang tersenarai sebagai orang dikehendaki selepas memeriksa 491
individu dalam Op Cantas Khas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid.
No comments:
Post a Comment