PUTRAJAYA 29 Ogos - Tiga pertubuhan kongsi gelap iaitu Geng 36, Geng
04 dan Geng 08 dikesan sebagai kumpulan samseng paling berbahaya
daripada 49 kongsi gelap di seluruh negara yang diumumkan kerajaan hari
ini.
Kumpulan itu didapati menjalankan pelbagai jenis jenayah berat dan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul
Rahim Mohamad Radzi berkata, Geng 36 yang majoriti ahlinya daripada kaum
Cina mempunyai 8,512 ahli dan bergerak aktif di sekitar Perak, Melaka,
Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, Geng 04 dan Geng 08 yang mempunyai jumlah ahli
masing-masing 5,240 orang dan 4,423 orang serta dianggotai kaum India
pula dikesan aktif melakukan jenayah di sekitar Kedah, Pulau Pinang,
Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka
Jumlah keseluruhan ahli kongsi gelap yang direkodkan ialah seramai
40,313 orang yang bergerak secara aktif dalam 49 pertubuhan kongsi gelap
di seluruh negara dengan menjalankan kegiatan seperti pengedaran dadah,
memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan
huru-hara.
Selain itu, mereka juga melakukan pembunuhan menggunakan senjata api
atau barang-barang tajam seperti parang, pisau dan kuku kambing,"
katanya dalam sidang akhbar Op Cantas Khas di pejabatnya, di sini hari
ini.
Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah D7 Jabatan Siasatan Jenayah
Bukit Aman, Datuk Jalil Hasan dan Penyiasat Undang-undang KDN, Othman
Yusof.
Menurut Abdul Rahim, daripada pecahan kaum, orang India paling banyak
menyertai kongsi gelap iaitu 28,926 orang diikuti kaum Cina (8,214
orang) dan Melayu (1,923 orang).
Katanya, terdapat 21 pertubuhan kongsi gelap di Sabah dan Sarawak yang masing-masing mempunyai ahli sebanyak 329 dan 921 orang.
Abdul Rahim berkata, kebanyakan kaum Melayu menganggotai Geng Double
7, Tiga Line dan Geng 30 yang dikesan bergiat aktif di seluruh
Semenanjung.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua kumpulan itu dikategorikan
haram mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa semalam.
Beliau berkata, menerusi pengisytiharan itu, mana-mana individu atau
pihak lain tidak boleh menggunakan semula nama berkenaan untuk
didaftarkan sebagai pertubuhan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan
segala akaun, aset dan harta pertubuhan-pertubuhan kongsi gelap itu akan
diserahkan kepada Jabatan Insolvensi sekiranya ditahan.
Mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan
kongsi gelap akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan
kesalahan di bawah Akta 335 sebagai contoh seksyen 6(2) dan 6(3),
seksyen 42 dan seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta seksyen 142 Kanun
Keseksaan.
Pada masa sama, tiada seorang pun yang boleh menggunakan semula
tulisan, senarai anggota, panji atau tanda bagi berhubung dengan sesuatu
pertubuhan kerana menyalahi undang-undang berdasarkan kepada peruntukan
seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya bersama beberapa agensi iaitu
Polis Diraja Malaysia, ROS dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan akan terus
memperhebatkan usaha memerangi kegiatan samseng itu. Mengenai penglibatan ahli politik dan warga asing dalam kegiatan
kongsi gelap itu, beliau berkata, tiada sebarang maklumat lanjut
mengenainya dan perkara itu perlu dirujuk dan disahkan oleh pihak polis.
Ditanya sama ada terdapat anggota kongsi gelap itu yang berjaya
ditahan dalam Op Cantas, Abdul Rahim mengesahkan terdapat kes anggota
kongsi gelap berjaya ditahan.
Ada kes kita dapati ada kaitan dengan kongsi gelap, kadang-kadang
dapat dikesan menerusi uniform, logo pada badan dan sebagainya tetapi
ada juga yang tidak berkaitan namun, maklumat lanjut akan disahkan oleh
pihak polis.
Kita akan sentiasa memantau perkembangan ini dan menjalankan
penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk dengan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ROS dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
bagi membanteras kumpulan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment