Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 1 August 2013

Kenapa biar masjid jadi medan perpecahan?

Oleh NURUL ANUAR KARI



MAJORITI umat Islam tidak selesa dengan perbuatan menghina, memfitnah, maki hamun dan memupuk kebencian di rumah Allah apatah lagi di bulan Ramadan, waktu Tarawih, khutbah Jumaat mahupun ketika waktu solat harian. Sama ada menyokong, menentang ataupun neutral terhadap fahaman politik penceramah terbabit, ramai merasakan kempen politik tidak sepatutnya dibawa ke tempat ibadat yang perlu suci daripada kotoran lisan, rohani dan jasmani.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama di peringkat negeri telah berkali-kali diminta menghalang dan mengekang perbuatan yang semakin melampau ini tetapi umpama harimau tidak bertaring, alasan bidang kuasa kerap kali dijadikan alasan.

Tatkala umat Islam negara ini berterusan menghadapi cabaran dan penghinaan daripada pihak luar, terdetik pula persoalan; sampai bilakah rumah Allah akan terus dibiarkan menjadi pusat memecah belah ummah oleh orang Islam sendiri?

Bagi tokoh agama, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, situasi tersebut sukar dirungkai memandangkan pemantauan sudah dibuat tetapi masih juga berterusan.

"Ini masalah ketegasan dalam melaksanakan peraturan yang ada. Jika pemantauan acuh tak acuh, tidak tegas, maka tidak akan berjaya. Masyarakat kita ini perlu didisiplinkan, ini khususnya kalangan orang Melayu yang rendah disiplin bukannya kerana tidak mahu hidup berdisiplin tetapi akibat pemantauan dan hukuman (terhadap kesalahan) yang tidak begitu teratur," katanya.

Beliau juga sedih apabila jabatan agama selaku pihak berwajib dalam kes sebegini masih menggunakan alasan 'bidang kuasa' kerana kuasa ada di tangan mereka dan bukannya pada orang lain.

Tambahnya, anggota dan pegawai jabatan agama perlu lebih berhemah dan yakin kepada diri sendiri kerana mereka mampu bertindak tanpa perlu memberi apa-apa alasan.

"Jabatan agama yang ada kuasa untuk bertindak, orang lain tidak boleh lakukan apa-apa kecuali menasihat pihak yang melakukan perbuatan itu.

"Umpama masalah Syiah kini, bila mereka sudah kuat baru nak bising. Masa mula berkembang dahulu tiada pula tindakan konkrit, sekadar serbu sahaja (tiada tindakan susulan)," tegasnya.

Beliau berpendapat banyak cara boleh digunakan pihak berkuasa bagi mengekang agenda politik atau peribadi dibawa ke surau dan masjid sama ada dengan budi bicara mahupun melalui peruntukan bidang kuasa yang ada.

Jelasnya lagi, bukannya tidak bersetuju dengan tazkirah seperti ketika tarawih tetapi masalahnya apabila ia diseleweng dengan diselitkan agenda politik ataupun peribadi individu, mahupun agenda kumpulan tertentu.

"Tidak apa buat tazkirah, tapi kena telus tanpa kepentingan lain. Pihak berwajib perlu perancangan jangka panjang dalam melaksanakan larangan ini secara teratur.

"Jadikan surau dan masjid betul-betul bebas daripada politik mahupun sebarang kepentingan lain selain beribadat. Jangan jadi firefighter, datang apabila dipanggil untuk 'memadam kebakaran' sahaja," ujarnya.

Mahmood Zuhdi turut mengingatkan warga jabatan agama agar tidak bergantung kepada orang awam sahaja kerana jemaah hanya sebagai pengikut dan tidak boleh berbuat apa-apa jika pihak berwajib sendiri tidak tegas.

Tambahnya, orang awam juga tidak boleh dan tidak patut meletak undang-undang di tangan sendiri bertindak sesuka hati, sekadar menyampaikan maklumat dan berharap pihak yang 'berkuasa' bertindak tegas.

"Kita boleh lihat kesan negatif membawa politik ke rumah Allah. Bila bercampur ramai, mungkin ada yang tidak setuju tidak lagi ke masjid itu, sama ada sembahyang di tempat lain atau di rumah, paling buruk jika tidak sembahyang terus.

"Jabatan agama kini juga sudah ada duit, janganlah sekadar pergi bersyarah sahaja. Biar ada perancangan jelas, pergi dengan bermacam cara seperti berdialog atau mesyuarat bersama kariah surau dan masjid," katanya.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad juga berkongsi pandangan serupa memandangkan larangan sudah ada dan masalah itu tidak sepatutnya berterusan sehingga kini.

"Kita rasa ini sesuatu yang sangat dikesali, larangan sudah ada dan dari segi agama pun tidak boleh langgar arahan ulul amri, perlu hormati pihak berkuasa.

"Janganlah masa tazkirah nak tumpu politik pecah belah sebegini, hormati masa dan tempatnya. Jika mahu buat juga, Islam itu luas ufuk pandangannya, ambil perspektif meluas dan jangan hanya menjurus ke satu arah atau satu pihak sahaja," jelasnya.

Beliau menasihatkan mereka tidak bermain-main dengan hukum agama kerana khuatir perbuatan golongan itu akan mengundang dosa dalam usaha mencari pahala kerana ada tazkirah yang sunat, ada yang wajib dan ada juga yang haram.

Beliau berharap pihak berkuasa melihat kembali peruntukan sedia ada kerana sampai satu tahap, perlu ada tindakan untuk dijadikan contoh kepada yang lain khususnya terhadap individu sama yang berulang kali dan berterusan melakukannya.

"Dalam apa isu sekalipun kita kena lihat kuasa diperuntukkan undang-undang. Masalah ini menunjukkan masih ada ruang untuk kita perbaiki, jika yang ada tauliah itu mungkin boleh ditarik balik tauliahnya.

"Pihak berkuasa jika tidak mahu menangkap sekalipun, beri teguran keras kepada mereka ini. Lama kelamaan tentu termakan juga tetapi jika tegur pun tidak, maka apa pun tak jadi," tegasnya.


No comments: