KUALA LUMPUR 21 Ogos - Polis Diraja Malaysia
telah menahan sebanyak 783 individu yang dipercayai terlibat dalam
pelbagai kesalahan jenayah khususnya kongsi gelap sejak Op Cantas Khas
dilancarkan di seluruh negara pada Sabtu lalu.
Jumlah yang ditahan itu adalah daripada lebih 5,000 individu yang
diperiksa dalam sekatan jalan raya, serbuan dan pemeriksaan polis dan
akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, operasi Op
Cantas Khas menunjukkan hasil positif selepas empat hari dilancarkan
dengan indeks jenayah kekerasan menunjukkan penurunan.
"Sejak dilancarkan Sabtu lalu, polis telah menahan 783 individu dan
mereka ini disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah," katanya dalam
sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Surat Penghargaan kepada
pengguna jalan raya berhemah dan Kontinjen/Daerah Terbaik Op Selamat
3/2013 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, di
sini hari ini.
Di JOHOR BAHRU, sebanyak 64 suspek jenayah termasuk sebahagiannya
bekas pesalah Ordinan Darurat (EO) ditahan dalam 748 pemeriksaan di
seluruh negeri itu sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, operasi
besar-besaran itu melibatkan semua elemen pasukan polis negeri ini dan
dibantu pegawai berpengalaman dan beberapa pasukan petugas.
Di KUALA TERENGGANU, polis mempergiatkan Op Cantas Khas di seluruh
negeri ini sejak empat hari lalu bagi membendung kegiatan kongsi gelap
dan jenayah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa walau bagaimanapun
berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan di negeri ini
namun pihaknya akan meningkatkan pemeriksaan dan serbuan di lokasi yang
dikenal pasti sarang penjenayah.
Di BANTING, polis Selangor menahan 32 individu yang terlibat dengan
pelbagai kes jenayah antaranya pengedaran dadah dan bunuh sepanjang
pemeriksaan dalam Op Khas Pencegahan Jenayah di Kuala Langat.
Polis turut memeriksa 152 individu kesemua yang ditahan terlibat
dengan pelbagai kes jenayah termasuk memiliki dadah jenis heroin.
Di KOTA KINABALU, sebanyak 18 rakyat asing ditahan di negeri ini atas
pelbagai kesalahan dalam Op Cantas Khas yang dimulakan kelmarin.
Dalam operasi itu, polis memeriksa lebih 68 individu iaitu 50 warga
tempatan dan 18 warga asing kerana dipercayai terlibat pelbagai
kesalahan termasuk mempunyai rekod jenayah lampau seperti mengugut dan
samun.
KOMEN : MENCEGAH LEBIH BAIK DARI MENGUBATI....
No comments:
Post a Comment