BAHAGIAN AKHIR
SEPANJANG sejarah Islam, bermula dari zaman Saidina
Ali RA lagi, firqah atau golongan Syiah yang menolak Mushaf Uthman dan
mengkafirkan Sahabat dan Ummahatul Mukminin, telah dihukum kafir. Imam
Abi Muzaffar al-Isfarayni dalam Tabsir fi d- Din-nya telah memberi
fatwa, bahawa orang yang solat di belakang penganut Syiah yang iktikad
mereka seperti ini, wajib mengulangi solatnya. Khomeini ialah antara
orang yang mengkafirkan Sahabat!
Untuk makluman, semua ulama dunia Islam dari Maghribi, Turki, hingga
Indonesia, menolak Syiah. Mereka termasuklah Said Hawwa, Syed Abu Hasan
Ali an-Nadvi, Syed Muhammad al-Maliki, Yusuf Qaradhawi, Habib Umar dan
seluruh ulama Hadramawt, ulama Lucknow dan seluruh ulama benua kecil
India, ulama al-Azhar dan banyak lagi.
SYIAH DI MALAYSIA
Perkembangan Syiah di Malaysia amat membimbangkan. Ini adalah kerana
mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh, rangkaian antarabangsa
serta mendapat sokongan dan pembelaan daripada badan bukan kerajaan
(NGO) dan parti politik tempatan.
Dari segi kewangan, mereka berjaya membina pelbagai jenis perniagaan
dengan rangkaian yang banyak dan besar. Mereka mempunyai perniagaan
strategik dengan memiliki restoran dan menjadi pengeluar serta pengedar
barangan makanan dan minuman serta produk kesihatan. Jenis perniagaan
ini berkaitan dengan orang ramai secara langsung. Ini adalah mekanisme
yang baik untuk menyebarluaskan dakyah mereka.
Dalam suatu perhimpunan Bersih, mereka pernah mengagihkan air mineral
keluaran mereka secara percuma kepada para demonstran. Mereka juga
mempunyai rangkaian pendidikan dan tadika yang banyak serta pusat-pusat
penyebaran ajaran mereka dengan pelbagai nama di pelbagai tempat.
Mengenai rangkaian antarabangsa pula, mereka mempunyai hubungan yang
sangat rapat dengan Syiah di Iran. Syiah Iran membantu mereka membina
rangkaian perniagaan dan membekalkan literatur serta pendakyah di sini.
Dari segi politik pula mereka mempunyai hubungan erat dengan sebuah
parti politik Syiah terbesar di Lebanon yang radikal.
Sementara itu dalam negara ini pula, mereka mendapat sokongan,
pembelaan dan perlindungan daripada beberapa NGO Islam serta parti
politik.
Ini ditambah pula dengan kedatangan mulah-mulah Syiah bertali arus
dijemput menghadiri wacana-wacana dan perjumpaan-perjumpaan sulit dengan
kumpulan mereka, selain daripada kebanjiran pelajar-pelajar Syiah di
pusat-pusat pengajian tinggi.
Perlu kita fahami, Syiah seperti juga gerakan Zionis-Kristian,
berusaha menguasai parti politik dan NGO Islam yang berpengaruh. Mereka
pandai menyusun strategi dengan menjadikan aktivis ini sebagai anak
catur mereka dalam rangka menguasai organisasi tersebut.
Strategi ini agak menjadi, walaupun belum berjaya sepenuhnya. Pada
suatu ketika, mereka berjaya menguasai sebuah persatuan ulama di
Malaysia. Dan kini mereka berjaya meletakkan orang mereka dalam sebuah
parti politik sehingga memegang jawatan penting.
Kepada pengagum dan pengusung Syiah dan Khomeini di Malaysia, mereka
perlu tahu sikap sebenar beliau kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Khomeini
telah mengkhianati Mufti Ahmad Zadeh, rakan seperjuangannya semasa
menjatuhkan Shah Iran dahulu. Selepas berjaya menjatuhkannya, Shah telah
dipenjara oleh Khomeini. Beliau jatuh sakit di dalam penjara tanpa
rawatan secukupnya.
Apabila kesihatan beliau semakin teruk, beliau dipindah dari penjara
besi ke penjara rumah pula dan tidak dibenarkan berubat ke luar negara.
Kenapa? Kerana Mufti Zadeh seorang Sunni! Banyak juga imam masjid dan
pendakwah Islam Sunni terpaksa lari ke Pakistan semasa pemerintahan
Khomeini.
PENUTUP
Ajaran Syiah benar-benar meruntuhkan ajaran Islam kerana mereka
menghalalkan yang haram seperti nikah mutaah, solat jamak sepanjang masa
dan paling parah ialah menolak Quran Mushaf Uthman dan Hadis Nabi yang
menjadi sumber dalam hukum-hakam Islam. Apa akan terjadi? Islam jenis
ini bukan agama Islam lagi!
Kaedah mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Justeru untuk
membendung penularan virus Syiah dalam kalangan masyarakat Ahli Sunnah
wal Jamaah di negara kita, umat Islam perlu mendalami dan memperkemaskan
serta memperkasakan akidah dan syariat mereka. Mereka perlu mempelajari
kitab-kitab muktabar dalam subjek Usuluddin-Aqidah-Tauhid dan juga
Hukum hakam Fiqah. Ilmu-ilmu ini akan dapat menjadi neraca dan kayu
pengukur dalam menyuluh kebatilan ajaran Syiah itu.
Selain daripada menekuni dan memantapkan ilmu-ilmu dalam wacana Ahli
Sunnah wal Jamaah, usaha-usaha pencegahan melalui undang-undang dan
peraturan serta tindakan bersepadu perlu disegerakan.
Pihak berkuasa agama negeri dengan kerjasama pasukan polis perlu
melipatgandakan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas
mereka. Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri perlu
mengawasi kedutaan Iran supaya mereka tidak menyebarkan buku-buku Syiah
kepada masyarakat Islam. Sementara pihak Imigresen pula perlu menghalang
pendakyah-pendakyah Syiah daripada memasuki negara ini. Kementerian
Pendidikan pula patut mengurangkan pengambilan pelajar dari negara Syiah
atau dari kalangan penganut Syiah.
Perkara ini bukan luar biasa, kerana kita pernah melakukan polisi ini
ketika Perang Dingin dahulu yang mana pelajar dari negara-negara
Komunis dikenakan tapisan dan sekatan. Selain itu, kerajaan juga perlu
menghalang pelajar kita daripada belajar di pusat-pusat pengajian Syiah.
Ini juga pernah dilakukan oleh kerajaan semasa ancaman Komunis satu
ketika dahulu. Bahkan kerajaan perlu mewujudkan semula Akta Keselamatan
Dalam Negeri atau yang setara dengannya. Ini semua adalah mekanisme yang
bertujuan untuk memelihara kesucian ajaran Islam.
Selain itu, untuk membantu mencegah penularan virus Syiah di
Malaysia, organisasi-organisasi Islam, baik NGO atau pun politik, patut
mengisytiharkan secara terbuka, yang organisasi mereka menolak ajaran
Syiah daripada berkembang di Malaysia sama seperti mereka menolak
fahaman Komunisme.
Mereka juga perlu memastikan yang fahaman Syiah ini tidak ada dalam
organisasi mereka. Jika didapati ahli-ahlinya beramal atau cenderung
kepada fahaman Syiah, perlu dicegah segera dengan mengajar mereka
fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar berdasarkan teks-teks
muktabar. Sekiranya mereka masih berdegil tidak mahu kembali kepada
ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, tindakan memecat adalah pilihan paling
baik. Pas patut mendahuluinya dalam perkara ini.
Kita perlu bertegas dan tidak perlu melayan dengan desakan dan asakan
puak yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan. Dari satu perspektif,
dalam Islam tidak ada kebebasan mutlak. Diri kita pun bukan milik kita.
Perjalanan hidup kita pun ditentukan oleh Allah SWT seperti cara-cara
beramal dan bermuamalah. Kita tidak boleh bersolat atau berpuasa dan
lain-lain ibadat dengan cara dan kaedah ciptaan kita sendiri.
Dari satu perspektif lain, pada paras individu, kita memang ada
kebebasan, tetapi kebebasan mesti dalam lingkungan dan batas-batas
syariat. Seseorang bebas berzikir bersendirian semahu-mahunya, berinfaq
sebanyak-banyaknya dan membaca al-Quran berkali-kali khatam, tetapi
mereka perlu ingat, bahawa mereka tidak boleh menjerit membaca al-Quran
dengan kuat di tengah malam buta semasa orang lain sedang tidur, kerana
kebebasan individu tidak boleh mengatasi kebebasan masyarakat.
Maka dalam konteks perkembangan ajaran Syiah di Malaysia ini, soal
hak kebebasan beragama tidak timbul, kerana mereka menggunakan jenama
Islam untuk merosakkan Islam sama seperti ajaran Qadiyani, Khawarij,
Muktazilah, Mujassimah, Karramiyah, Nabi Melayu, Ayah Pin, pluralis
agama dan lain-lain.
Agama Islam ini adalah hak Allah SWT dan manusia hanya menjadi
pemegang amanah-Nya sahaja. Justeru, pemerintah dan setiap individu
Muslim wajib melaksanakan amanah ini dengan memelihara kesucian ajaran
Allah SWT dan menyekat aktiviti yang boleh merosakkannya seperti kita
menjaga al-Quran daripada diubah atau dihina oleh seseorang.
Justeru, Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) sebuah
organisasi dakwah Islam, mengambil inisiatif menganjurkan satu program
khusus membincangkan mengenai kesesatan ajaran Syiah dalam Seminar
Mendepani Virus Syiah. Seminar sehari ini, akan berlangsung pada 6
Oktober akan datang, bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala
Lumpur. Insya-Allah.
PENULIS ialah Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)
No comments:
Post a Comment