KUALA LUMPUR 17 Ogos - Proton Suprima S, model kereta terbaharu yang
dilancarkan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton)
dilihat sebagai kereta keluaran negara terbaik yang bertaraf dunia pada
harga mampu milik.
Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, model
'hatchback' terbaharu itu yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk
dari segi keselamatan terkini dilihat mampu menarik lebih ramai golongan
muda untuk memiliki Proton Suprima S.
Malah beliau memberitahu, model kereta itu yang akan dieksport dalam
tempoh terdekat dilihat mampu menembusi pasaran antarabangsa dan
seterusnya dapat melonjakkan syarikat automotif negara itu ke satu tahap
baharu.
"Model terbaharu ini memenuhi cita rasa pelanggan tempatan dan global
yang seterusnya akan menjadikan Proton sebagai pengeluar kereta
berkualiti antarabangsa pada harga berpatutan.
"Saya juga berharap orang ramai akan terus menyokong kereta keluaran
Proton dengan membeli model Suprima S ini yang dilengkapi pelbagai
teknologi terkini pada harga mampu milik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan model kereta
terbaharu keluaran Proton, Suprima S 'hatchback' di dewan Perbadanan
Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil
Jamil; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri
Syed Hamid Albar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman
Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman.
Harga jualan atas jalan bagi varian Suprima S Eksekutif diumumkan
RM76,338 seunit manakala varian Premium pula pada harga RM79,638 seunit.
Dalam masa sama, Dr. Mahathir melahirkan melahirkan rasa bangga
dengan kelengkapan canggih serta kejuruteraan Suprima S yang semakin
menunjukkan peningkatan ketara.
Kata beliau, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh
pakar-pakar dalam kalangan anak tempatan itu menjadikan model Suprima S
itu sebagai kereta terbaik keluaran Proton yang dapat memenuhi kehendak
pasaran termasuk antarabangsa.
"Saya harap persepsi Proton merupakan pengeluar kereta murah dengan
berkualiti rendah dapat ditamatkan kerana syarikat ini telah berjaya
mengeluarkan kereta setanding dengan pengeluar kereta berjenama terkenal
lain," ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Khamil pula memberitahu, model Suprima S
itu akan mula dieksport dalam tempoh terdekat bermula di ASEAN dan
seterusnya ke negara lain seperti Australia.
Menurutnya, Proton telah memberi perhatian dalam meningkatkan semua aspek Suprima S khususnya ciri-ciri keselamatan.
"Proton Suprima S ini merupakan model yang didatangkan dengan
standard keselamatan terbaik termasuk Australian New Car Assesment
Program (ANCAP).
"Ini adalah masa depan kita membayangkan untuk semua produk dan
perkhidmatan kami serta tanda aras kepada standard kualiti yang ingin
diberikan kepada pelanggan," katanya.
No comments:
Post a Comment