PULAU PINANG 19 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan
lebih 200 penjenayah yang terlibat dalam pelbagai kesalahan dalam Ops
Cantas Khas yang dilancarkan di seluruh negara sejak kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua mereka
ditahan selepas polis melakukan pemeriksaan mengejut di premis hiburan,
sekatan jalan raya, pemeriksaan di restoran 24 jam serta lokasi-lokasi
yang disyaki menjadi tempat penjenayah berkumpul.
Beliau berkata, polis tidak pernah berdiam diri apabila berlaku kes
pembunuhan dan tembak menembak serta sentiasa menjalankan operasi
memburu mereka yang terlibat dalam jenayah.
"Kebanyakan daripada mereka yang ditahan setakat ini didapati
terlibat dalam kes jenayah berat seperti kongsi gelap dan pengedaran
dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
negeri hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua Polis negeri, Datuk
Abdul Rahim Hanafi.
PDRM mengambil langkah proaktif menubuhkan satu pasukan khas untuk
menggerakkan operasi pencegahan jenayah di seluruh negara dengan
melancarkan Ops Cantas Khas sejak kelmarin.
Melalui kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi PDRM
semalam, operasi itu bakal diadakan di seluruh negara dan pada peringkat
awal pelaksanaannya, kontinjen Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri
Sembilan merupakan perintis kepada operasi tersebut.
Khalid berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Akta Pencegahan
Jenayah dan siasatan lengkap akan dilakukan sebelum mengemukakan
pendakwaan.
Katanya, menerusi akta ini, polis mempunyai kuasa untuk menahan
mereka sehingga 72 hari bagi menjalankan siasatan dan pada masa sama,
pihaknya sedang berunding dengan Jabatan Peguam Negara untuk memasang
alat elektronik kepada penjenayah.
Tambah Khalid, bagi kebanyakan kes tembakan yang berlaku, siasatan
polis mendapati kejadian ini berpunca daripada faktor balas dendam
selain faktor menerima upah untuk melakukan jenayah berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai Ops Cantas Khas, Khalid berkata, pihaknya
akan memperhebatkan operasi berkenaan di seluruh negara bagi memastikan
operasi itu mencapai matlamat.
KOMEN : BIARKAN AJE PUAK YANG NAK MENYALAK MACAM ANJING SALAKAN BUKIT, TAPI BUKIT TAK AKAN RUNTUH... RAKYAT DAH LAMA MENANTI SAAT-SAAT INI... KITA TENGUK PULAK ESOK SIAPA YANG AKAN JADI PEGUAM BELA PARA PENJENAYAH INI....
No comments:
Post a Comment