KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kongres Perdana Pendidikan
Kebangsaan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Dewan Merdeka,
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini dalam resolusinya
memberi peringatan kepada kerajaan agar berhenti daripada menjadi mangsa
peras ugut pihak tertentu.
Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr.
Abdul Latiff Abu Bakar ketika membentangkan resolusi itu menegaskan,
kerajaan juga perlu berhenti melayan tuntutan yang tidak munasabah dan
bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta perundangan berkaitan.
Menurut beliau, kongres turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak dan Kementerian Pendidikan supaya bersikap tegas dengan
mewujudkan sistem pendidikan tunggal di negara ini.
"Kerajaan tidak seharusnya meluluskan penubuhan sekolah menengah
jenis kebangsaan Cina dan mengiktiraf sekolah swasta Cina yang tidak
mengikut Kurikulum Pendidikan Kebangsaan serta menggunakan bahasa Melayu
sebagai pengantar utama dalam usaha mewujudkan jati diri dan perpaduan
kebangsaan.
"Tiada negara lain, contohnya Singapura, Indonesia dan Thailand yang
mempunyai sekolah vernakular," katanya yang juga Pengarah Pra-Kongres
dan Resolusi program berkenaan.
Tambah Abdul Latiff, kerajaan tidak boleh membiarkan golongan
tertentu bermain dengan 'bom jangka bersiri' yang memporak-perandakan
perpaduan nasional dan keutuhan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, segala ketidakpatuhan yang berlaku sejak sekian lama
itu hendaklah diperbetulkan agar tiada kekeliruan dalam pelaksanaan
peruntukan perundangan dan dasar negara.
"Kita perlu tegas dan akur dalam mempertahankan perundangan serta
Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996
(Akta 550)," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Latiff memberitahu, kongres berkenaan menyokong
usaha kerajaan membina negara bangsa yang bersatu padu dengan
memperkasa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang menggunakan satu
kurikulum serta menganjurkan peperiksaan dalam bahasa Melayu di samping
memberi pelajar-pelajar peluang mempelajari bahasa-bahasa asing.
"Kongres turut mendesak Kementerian Pendidikan menjadikan bahasa
Melayu sebagai pengantar utama di institusi pengajian tinggi awam dan
swasta manakala pemberian dana penyelidikan serta syarat-syarat kenaikan
pangkat perlu mengutamakan penyelidikan dan karya ilmiah dalam bahasa
Melayu," jelasnya.
Resolusi yang mengandungi 10 perkara itu merupakan rumusan daripada
usul-usul yang dibentangkan berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 dalam lima sidang selari yang dianjurkan sempena
kongres tersebut pada 21 Ogos lalu dan hari ini.
Selain Abdul Latiff, tokoh-tokoh yang menjadi moderator sidang selari
itu ialah bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri
Dr. Ibrahim Abu Shah; bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof.
Datuk Dr. Hashim Yaacob; Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia
(DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan bekas Pengerusi Malaysia
Airlines System Bhd. (MAS), Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman.
Sidang selari tersebut yang membincangkan lima topik berbeza tentang
dasar pendidikan negara dianggotai 77 pakar pelbagai bidang termasuk
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah; bekas Ketua Polis
Negara, Tun Mohammed Hanif Omar; Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita
UMNO, Tan Sri Napsiah Omar; veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid; bekas
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (Bersara) Tan Sri Ghazali Mohd. Seth
dan dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Kongres bertemakan Memartabatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015
itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan
turut dihadiri Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad; Pengerusi kongres,
Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar serta Penolong Ketua Pengarang 1
Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.
Sementara itu, Hasan dalam sidang akhbar selepas kongres tersebut
berkata, resolusi tersebut akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos ini.
"Kami berharap kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan
mempertimbangkan resolusi itu dan melihatnya sebagai suara rakyat yang
tidak mahu kerajaan berkompromi dalam melaksanakan dasar pendidikan
negara," ujarnya.
Beliau turut menegaskan, kerajaan tidak perlu melayan sebarang
tuntutan daripada Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus
Sekolah Cina (Dong Zong) yang dipercayai lebih menjaga kepentingan
individu-individu tertentu di dalam pertubuhan berkenaan.
"Dong Zong bersikap anti-nasional dengan mempersoal niat baik
kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu dalam semua sistem pendidikan Malaysia.
"Sepatutnya Dong Zong wajib mendidik anak-anak Cina agar cinta dan
taat setia kepada negara dengan menyokong satu sistem pendidikan
kebangsaan yang dapat memantapkan perpaduan dengan memperkukuhkan jati
diri kebangsaan yang berteraskan kepada Perlembagaan, Rukun Negara,
sejarah dan peradaban Malaysia," ujarnya.
No comments:
Post a Comment