DUA belas hari lagi, Malaysia akan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan
ke-56 yang bertemakan Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku.
Sambutan kali ini berlangsung dalam suasana umat Islam masih meraikan
Hari Raya Aidilfitri, hari ke-24 dalam bulan Syawal. Adakah kemeriahan
Aidilfitri akan menenggelamkan semangat mengingati sambutan kemerdekaan
negara? Setiap kali menjelang kemerdekaan, kerajaan akan mengadakan
program untuk menggalakkan rakyat mengibarkan bendera kita, Jalur
Gemilang. Kenapa rakyat perlu diperingatkan tentang kibaran bendera
setiap kali negara mahu menyambut Hari Kemerdekaan?
Tentulah, kebanyakan
orang sering lupa untuk mengibarkan bendera ini. Cuba lihat sekeliling.
Lihat rumah anda sendiri, rumah jiran, bangunan pejabat, kediaman,
bangunan perniagaan termasuk hotel, kenderaan sama ada lori, kereta,
bas, teksi atau motosikal. Bolehkah anda melihat sehelai kain berjalur
merah putih berkibar megah di bangunan atau kenderaan? Jika ada, bagus
tetapi bagaimana kalau tidak ada? Suasana tentu berubah jika setiap
bangunan kediaman, pejabat serta kenderaan awam dan persendirian
mengibarkan bendera. Bayangkan jika 1.4 juta kakitangan awam memasang
Jalur Gemilang. Khabarnya, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di
Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman telah meminta penjawat
awam memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing sebagai lambang
semangat cintakan negara.
Langkah itu menurut beliau sebagai penghargaan kepada kerajaan yang
sering menambah baik sektor perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif
dan insentif.
Kata Omar: Saya selalu dapat aduan menyatakan penjawat awam kalau
hal hendak naik gaji, bonus atau elaun semua bersemangat tapi bila
hendak meriahkan sambutan hari kemerdekaan setahun sekali pasang bendera
susah. Baru-baru ini kerajaan dah bagi bonus RM500 untuk penjawat awam
dan RM250 untuk pesara, takkan hendak beli bendera sebatang pun tak
boleh,
Benar kata Omar. Bukan senang untuk membeli sebatang bendera. Kalau
boleh hendak percuma. Menjelang hari raya, orang ramai boleh berbelanja
besar untuk menghias rumah dengan lampu hiasan berwarna warni atau
pelita minyak tanah. Mereka mampu berbelanja untuk membeli kain berwarna
warni bagi menggantikan langsir yang masih elok. Begitu juga dengan
alas meja. Alangkah eloknya menjelang hari raya lalu, keghairahan
membeli-belah itu memasukkan juga senarai membeli Jalur Gemilang.
Bagaimanapun ada juga pemimpin yang mengambil kesempatan mengedarkan
Jalur Gemilang semasa rumah terbuka Aidilfitri seperti ditunjukkan oleh
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob di kawasan
Parlimennya, Bera.
Apalah ada pada Jalur Gemilang? Memang benar, ramai yang tidak tahu
nilai secebis kain berjalur merah putih itu. Jalur Gemilang bukan
sekadar sehelai kain berwarna dan bercorak yang dinamakan bendera,
tetapi lambang kedaulatan dan identiti negara. Seperti kata Perdana
Menteri, Najib Tun Razak, mengibarkan Jalur Gemilang dengan pengertian
sepenuhnya menunjukkan semangat patriotik serta melambangkan kedaulatan
dan jati diri negara. Janganlah kita mengibar bendera kebanggaan negara
sejak 1950 itu sebagai ikut-ikutan. Kibarlah bendera dengan rasa megah
bahawa bendera adalah identiti jati diri rakyat, lambang rakyat Malaysia
yang bersyukur atas kejayaan negara.
Bendera amat bermakna kepada sesebuah negara. Cuba selak kembali,
apakah reaksi kita apabila Jalur Gemilang dibakar oleh penunjuk perasaan
yang tidak berpuas hati terhadap negara? Selak juga tindakan penunjuk
perasaan di mana-mana sahaja di dunia yang akan memijak, mengoyak atau
membakar bendera sebagai tanda protes. Kenapa mereka melepaskan geram
kepada bendera? Jika bendera tidak ada nilainya, sudah tentu tindakan
pijak dan bakar tidak memberi sebarang kesan.
Malang sekali, di negara kita, ada pihak yang cuba memperkecilkan
Jalur Gemilang ini. Disebabkan politik kepartian, Jalur Gemilang
diperlekehkan. Sejarah negara telah mencatatkan peristiwa memperkecilkan
bendera ini. Selak teringat pada tahun 2011 bagaimana ketika itu, Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan mahu Jalur
Gemilang ditukar kepada bendera baru jika mereka memerintah. Beliau
memperkecilkan bendera Malaysia kononnya ia ditiru daripada bendera
Amerika Syarikat dan terlalu melambangkan Barisan Nasional (BN). Dia
dilaporkan enggan mengibarkan bendera kebangsaan itu sebaliknya
mengedarkan bendera DAP di kawasannya.
Tahun lalu, timbul pula isu berkibarnya bendera yang dinamakan Sang
Saka Malaya yang diadaptasi daripada bendera Indonesia dan Singapura.
Bendera itu dikibar di beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor serta pada
Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka. Bendera ini juga didakwa akan
menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa. Begitulah nasib
Jalur Gemilang, bendera kebanggaan kita. Sepatutnya parti-parti politik
turut memainkan peranan untuk menggalakkan rakyat Malaysia tanpa mengira
fahaman politik turut sama mengibarkan Jalur Gemilang. Semangat
mengibarkan bendera menjelang pilihan raya umum (PRU) perlu dihidupkan
dalam suasana menyambut kemerdekaan ini.
Lihat sahaja semasa kempen PRU
lalu, bermacam-macam saiz bendera parti politik dapat dilihat. Lebih
hebat, ada bendera parti yang dijulang sehingga ke pucuk pokok, di
lereng bukit dan pelbagai lagi yang menampakkan kesungguhan untuk
menonjolkan simbol parti masing-masing.
Eloklah dalam suasana menyambut kemerdekaan ini, parti-parti politik
turut mempunyai semangat yang sama iaitu di samping membekalkan bendera,
kali ini Jalur Gemilang, pasanglah seberapa banyak yang mungkin dengan
kreativiti masing-masing. Mungkin juga di bawah bendera Malaysia itu,
tertera nama parti politik atau lambang parti bersaiz kecil sebagai
tanda sumbangan mereka.
Mungkin Pas yang benderanya boleh kelihatan di
sana sini walaupun di luar musim PRU dapat mempelopori langkah ini.
Siapa tahu, di setiap kenderaan berkibar Jalur Gemilang beserta lambang
bulan yang secara tidak langsung akan mempromosi parti berkenaan. Bukan
setakat bendera, pelekat kereta juga boleh dikeluarkan. Berbaki 12 hari
lagi, pemasangan Jalur Gemilang diharap dapat disemarakkan lagi. Semoga
rakyat Malaysia tidak segan atau malu mengibarkan Jalur Gemilang.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-56. Semoga Malaysia, negara tanah
tumpah darah kita ini terus bermaruah dan berdaulat.
No comments:
Post a Comment