KUALA LUMPUR 28 Ogos - Majlis Tindakan Ekonomi
Melayu (MTEM) hari ini menyerahkan memorandum bantahan berhubung
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Memorandum yang mengandungi kira-kira 70 garis merah atau kepentingan
tidak boleh ditolak ansur itu adalah hasil persidangan meja bulat TPPA
bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berakhir
semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd. Nizam Mahshar berkata, pihaknya
tetap bertegas bahawa TPPA bakal menggugat ekonomi, kesejahteraan
sosial, kedaulatan negara selain memberi impak besar kepada
sektor-sektor utama antaranya industri kecil dan sederhana,
peluang-peluang perolehan, harta intelek dan pertanian.
''Setelah mengadakan persidangan meja bulat TPPA bersama Tun Dr.
Mahathir dua hari lalu, MTEM bersama-sama Badan Bertindak Bantah TPPA
sebulat suara membantah perjanjian itu dan menyaran kepada kerajaan
untuk tidak menandatangani TPPA.
''Sekiranya pada 2007 dahulu kerajaan menolak perjanjian itu kerana
ada 58 garis merah yang diputuskan Kabinet, saya amat berharap perkara
tersebut masih dipertahankan hari ini,'' katanya ketika ditemui selepas
menyerahkan memorandum bantahan TPPA kepada Najib pada majlis Sepetang
di Aidilfitri 2013 bersama Perdana Menteri anjuran MTEM di Institut
Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh; Timbalan Pengerusi
Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ahli Pemegang
Amanah MTEM, Rizal Faris Mohidden Abd. Kader.
Dalam pada itu, Mohd. Nizam berkata, antara kebimbangan utama MTEM terhadap pelaksanaan TTPA ialah dalam bahagian pelaburan.
''Perjanjian itu memberi kelebihan dan kepentingan kepada syarikat
asing berbanding syarikat tempatan serta tidak membenarkan polisi
afirmatif sebagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB).
''Dalam perjanjian itu juga akan ada bahagian Penyelesaian Pertikaian
Pelabur-Negara (ISDS) yang membabitkan kedaulatan negara kerana
syarikat asing boleh membawa kerajaan Malaysia ke mahkamah negara asing
sekiranya terma perjanjian tidak dipatuhi,'' katanya.
Menjawab satu soalan, beliau berkata, MTEM berharap dapat terlibat
secara langsung dalam jawatankuasa yang membuat analisis kos-faedah
(CBA) terhadap perjanjian tersebut.
No comments:
Post a Comment