Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 30 August 2013

Mahkamah tak berhak adili akidah

DARI BERITA HARIAN


 Juhaidi Yean Abdullah 
Keputusan kehakiman minggu lalu membenarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan tindakan rayuan di mahkamah untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh sebuah gereja dalam penerbitannya diterima lega oleh majoriti umat Islam negara ini.

Dalam suasana agama Islam dihina bertubi-tubi dan umat Islam menahan kemarahan sejak lima tahun lalu, keputusan Mahkamah Rayuan itu meredakan sedikit suhu yang boleh meledak menjadi konflik agama jika tidak berhati-hati.
Walaupun Islam dan Kristian mempunyai akar bersama, yakni apa yang dipanggil agama Samawi Nabi Ibrahim, justeru mempunyai banyak persamaan dalam kitab agama masing-masing, namun ada perbezaan ketara yang tidak mudah dikompromi atau didamaikan. Nabi Isa sebagai anak Tuhan dan kematiannya di batang salib, konsep Tritunggal dan kalimah Allah adalah antara perkara yang tidak boleh diterima oleh umat Islam di Malaysia kerana ia membabitkan soal tauhid dan akidah. Ini perkara asas.

Walaupun ada hujah bahawa penggunaan kalimah Allah sudah lama berlaku di Indonesia, termasuk penerbitan al-kitab dan dalam kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, ia tidak boleh dijadikan sandaran untuk menuntut perkara yang sama di Malaysia. Latar belakang masyarakat, sejarah dan tahap penerimaan adalah berbeza. Apa yang sudah berlaku di Indonesia atau Sabah puluhan tahun lalu, tidak boleh buat apa-apa lagi. Waktu itu, proses Kristianisasi di wilayah berkenaan boleh dilakukan dengan bebas dan mudah oleh penyebar agama Kristian kerana masyarakat yang disasar masih simple dan hampir tiada halangan peraturan atau perundangan.

Kedudukan istimewa kepada Islam

Kita faham tugas penyebar ajaran Kristian dan proses Kristianisasi. Menjadi amalan mereka untuk mengkristiankan seberapa ramai orang tempatan menggunakan bahasa dan adat budaya lokal (Lihat The Willowbank Report: Consultation on Gospel and Culture oleh Committee for World Evangelisation, 1978). Justeru, kalimah Allah juga mahu direbut tetapi hari ini, keadaan sangat berbeza terutama dalam masyarakat kompleks dan majmuk yang menuntut mereka yang beragama agar bersikap harmoni, saling menghormati dan memahami. 
Negara ini ada Perlembagaan yang memberi kedudukan istimewa kepada Islam dan undang-undang tertentu yang mesti dipatuhi ter-utama berkaitan penyebaran agama lain dalam kalangan orang Islam. Kita ada peraturan yang menetapkan bahawa selain kalimah Allah, ada lagi beberapa istilah yang khusus kepada Islam yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Perkara ini mesti dihormati, dan jangan dicabar lagi.

Seingat penulis ketika dijinak-jinakkan dengan ajaran Kristian di Gereja Seventh Day Adventist, Kota Bharu ketika masih belajar di Tingkatan Enam di Maktab Sultan Ismail sekitar 1978-79, paderi tidak penggunaan kalimah Allah; yang disebut hanya God, Lord, Son of God, Father dan sebagainya. Bible dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Cina juga tidak ada kalimah Allah, justeru kenapa dalam versi bahasa Melayu saja yang mahu dimasukkan kalimah Allah?
Tingkatkan kefahaman

Beberapa pihak menggalakkan diskusi antara agama dan dialog peradaban-kebudayaan untuk tingkatkan persefahaman. Ini perkara yang baik, dan sudah lama diusahakan oleh institusi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan universiti. Ia masih berterusan. TV Al-Hijrah misalnya, menayangkan Dialog Harmoni yang menampilkan tajuk universal yang dikupas tokoh pelbagai agama. Yang menjadi isu bukan kurangnya dialog agama, tetapi apa yang dilihat sebagai usaha mencabul kesucian agama dan hak umat Islam, termasuk mengadili akidah Islam di mahkamah. Ini yang sukar diterima, apatah lagi jika dilakukan secara arogan.

Majoriti orang Islam negara ini tersentak apabila sebuah gereja berani menyaman kerajaan pada 2009 bagi menuntut hak menggunakan kalimah Allah. Jiwa Muslim bertambah berang apabila pemimpin pembangkang tidak dilihat mempertahan kedaulatan agama. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Nasaruddin Hassan adalah antara pemimpin pembangkang yang menyokong gesaan Setiausaha Agung, DAP Lim Guan Eng pada 25 Disember 2012 lalu agar orang bukan Islam dibenarkan mengguna kalimah Allah. Untuk seketika, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga sependirian sehinggalah mereka disekolahkan oleh mufti dan tokoh agama, termasuk ulama PAS, Datuk Dr Haron Din dan Datuk Harun Taib. Itupun mereka ditempelak Azmin Ali yang berkata Majlis Syura cuma organisasi kecil dalam PAS, justeru tidak mencerminkan pendirian pakatan pembangkang.

Mungkin itulah sebabnya hampir tiada pemimpin PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berada di Mahkamah Rayuan untuk mendengar keputusan hakim minggu lalu. Yang ramai adalah ahli NGO Islam dan aktivis persatuan yang prihatin. Suasana ini berbeza dengan ketika kes liwat Anwar, yang mana ramai pemimpin PAS fanatik dan penyokong PKR liberalis-pluralis yang datang memberi sokongan. Maknanya antara sokongan dalam kes yang mendaulatkan agama dengan kes liwat, orang PAS dan PKR lebih pentingkan politik daripada menegakkan syiar Islam. 

No comments: