Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 7 July 2014

WORLD CUP 2014 - Messi tidak tersenarai 10 terbaik




LIONEL Messi mungkin telah meledak empat gol, namun bintang penyerang Argentina itu gagal berada dalam senarai 10 pemain terbaik Piala Dunia 2014 setakat ini yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Keputusan tersebut agak mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia kerana kapten Argentina itu diakui memainkan peranan besar dalam membawa pasukannya melangkah ke pusingan kedua.

Messi, 27, yang meledak empat gol setakat ini sekadar menghuni tangga ke-11 kerana 10 daripada 13 rembatannya dilakukan di luar kotak penalti dan kebarangkalian untuk menjaringkan gol adalah sangat rendah.

FIFA mengumumkan senarai berkenaan yang dikenali sebagai Indeks Castrol (Castrol Index) dengan meneliti prestasi pemain serta memberi markah kepada setiap peranan yang dimainkan mereka.

Badan bola sepak dunia itu menamakan bintang tengah Colombia, James Rodriguez untuk menerajui senarai Indeks Castrol. Baru berusia 22 tahun, Rodriguez mempamer aksi cemerlang dengan meledak dua gol ketika membantu pasukannya menyingkirkan Uruguay 2-0 pada pusingan kedua untuk melangkah ke suku akhir.

Dia yang sebelum itu turut dibawa masuk sebagai gantian memainkan peranan penting ketika pasukannya membenam Jepun 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan C.

Rodriguez dinilai dari semua aspek termasuk percubaan tepat, perebutan bola dan hantaran bola tepat. Dia mengutip 9.79 mata kerana turut menjadi pencipta gerakan gol.

Beberapa keputusan lain dilihat memberi sedikit kejutan apabila pemain Croatia, Ivan Perisic (9.74) berada di tempat kedua dan tonggak pertahanan Brazil, David Luiz (9.69) di tempat ketiga.

Penyerang Perancis, Karim Benzema pada mulanya berada di kedudukan teratas, tetapi kegagalannya menjaringkan gol ketika menentang Ecuador dan Nigeria meletakkan dia di tangga keempat, manakala Arjen Robben jatuh dari tempat ketiga ke tangga kelima.

Bintang Brazil, Neymar, yang turut memiliki empat gol berada di tangga kelapan.

Kedudukan Indeks Castrol yang baharu bagaimanapun akan dikeluarkan oleh FIFA esok, iaitu sejurus tamat semua perlawanan pusingan kedua.

Messi mampu memperbaiki kedudukan jika cemerlang dalam pertemuan dengan Switzerland.




WORLD CUP 2014 - Pogba jadi hero


Singkirkan Nigeria 2-0 pada pusingan kedua di Nacional Estadio, Brasilia, pagi ini. - REUTERS

PAUL Pogba memenuhi impiannya pada Piala Dunia apabila meledak gol untuk membawa Perancis melangkah ke suku akhir dengan menyingkirkan Nigeria 2-0 di Nacional Estadio, Brasilia, pagi ini.

Bintang muda Juventus itu mengakui, dia hilang kata-kata kerana tidak menduga akan menjadi penyumbang utama kepada kejayaan Les Bleus selepas tandukannya pada minit ke-79 dan gol sendiri pemain lawan, Joseph Yobo memastikan kemenangan mereka.

“Saya hilang kata-kata.

“Apa yang saya tahu, seluruh negara kami berada di belakang menyokong pasukan.

“Berjaya menjaringkan gol yang membantu kemenangan pasukan adalah satu perasaan yang hebat, namun yang penting pasukan kami menang.

“Semua yang saya lakukan adalah untuk negara, untuk Perancis," kata pemain tengah berusia 21 tahun itu, yang turut menganggap membawa Perancis ke suku akhir Piala Dunia sebagai detik paling indah dalam hidupnya.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, kapten Les Bleus ketika muncul juara Piala Dunia 1998 telah membawa transformasi kepada pasukan itu selepas diaibkan di Afrika Selatan, empat tahun lalu ekoran kemelut dalaman serta penyingkiran di peringkat kumpulan.

“Saya amat bangga dengan pencapaian pasukan hari ini.

“Kami telah menempuh pelbagai cabaran getir untuk mendapatkan kemenangan," kata Deschamps.

Nigeria bagaimanapun tampil lebih meyakinkan di awal permainan apabila mengejutkan Perancis menerusi jaringan Emmanuel Emenike, namun gol itu tidak dikira oleh pengadil kerana ofsaid.

Bermula babak kedua, Pogba memecah kebuntuan apabila melakukan tandukan yang mengelirukan penjaga gol, Vincent Enyeama.

Jaringan itu menambah tekanan Super Eagles dan pada waktu kecederaan, berlaku kekalutan dalam kawasan mereka sehingga mendorong Yobo menjaringkan gol sendiri.

Pujian bagaimanapun wajar diberi kepada Enyeama yang menafikan banyak percubaan tepat Perancis.

Sejurus tamat perlawanan, jurulatih Nigeria, Stephen Keshi menyuarakan rasa tidak puas hati kerana pengadil gagal membela terjahan keras yang dilakukan pemain lawan ke atas Ogenyi Onazi.

“Ini adalah kali pertama saya mengkritik mutu pengadil perlawanan dan saya akui amat kecewa dengan pegawai pertandingan.

“Saya juga kecewa dengan keputusan pengadil menafikan gol yang sepatutnya kami raih dalam perlawanan ini.

“Saya ingin tahu atas alasan apa pengadil menidakkan gol tersebut," kata Keshi.




WORLD CUP 2014 - Jurulatih Mexico salahkan pengadil


Miguel Herrera

FORTALEZA - Sumpahan pusingan kedua Mexico pada Piala Dunia masih tidak dapat dipecahkan.

Bermain dalam pusingan 16 terakhir bagi kejohanan keenam berturut-turut, Mexico tampak seperti mereka akhirnya melakukan semuanya dengan betul ketika menentang Belanda semalam.

Pertahanan kebal mereka mengekang Belanda daripada bebas menjaringkan gol, penjaga gol Guillermo Ochoa membuat beberapa penyelamatan gol yang hebat dan deretan peluang babak pertama mereka menghasilkan satu gol oleh Giovani Dos Santos sejurus selepas rehat.

Itu semua terlerai pada minit ke-88.

Ochoa tidak mampu berada di setiap tempat di Arena Castelao dan Wesley Sneijder akhirnya menewaskannya dengan rembatan yang disasar rendah.

Beberapa minit kemudian, Klaas Jan Huntelaar menjaringkan gol kedua Belanda menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan untuk mereka menang 2-1, selepas Arjen Robben dijatuhkan oleh Rafael Marquez.

"Pemain amat sedih. Benar-benar menyakitkan apabila tersingkir dengan cara begini.

"Kami tersingkir kerana satu peluang yang direka. Kami akan pulang sekarang, pengadil juga patut berbuat begitu," kata jurulatih Mexico, Miguel Herrera.

Herrera berkata, Robben wajar diberikan amaran oleh pengadil Pedro Proenca bagi dua insiden cuba mendapatkan sepakan penalti sebelum itu.

Bagaimanapun dia turut mengakui bahawa pemainnya hilang tumpuan pada minit terakhir perlawanan yang dihentikan dua kali oleh pengadil untuk mmeberi peluang kepada pemain menyejukkan diri.

Mexico telah bermain lima daripada 20 Piala Dunia, mara ke suku akhir sebagai tuan rumah dalam 1970 dan 1986, tetapi tidak mampu memperbaiki rekod mereka sejak kali terakhir menjadi tuan rumah kejohanan ini 28 tahun lalu.

Mexico yang menggunakan formasi 5-3-2 hanya melepaskan satu gol sebelum perlawanan semalam dan Ochoa merupakan tonggak kepada kekebalan mereka.

Dan penjaga gol Mexico itu menjadi faktor penting lagi semalam, melakukan satu penyelamatan yang tampak mustahil pada minit ke-57 apabila menggunakan badannya untuk menghalang percubaan Stefan de Vrij.

Asakan itu mengenai penjaga gol itu dan kemudian melantun daripada tiang.

Sembilan minit kemudian, Ochoa, 28, membongkok untuk menghalang rembatan hampir gol daripada Robben yang berlari dari kanan dan melompat mengatasi Marquez.

Namun sejurus selepas jaringan Sneijder, Ochoa tersalah andaian arah sepakan penalti Huntelaar. - AFP




WORLD CUP 2014 - Robben berdepan hukuman disiplin FIFA


Arjen Robben mengaku menjatuhkan diri ketika babak pertama perlawanan menentang Mexico dan kesnya kini disiasat oleh FIFA.

FORTALEZA - Pemain sayap Belanda, Arjen Robben mungkin dikenakan tindakan disiplin oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran pengakuannya yang dia merebahkan badan sewaktu skuad Oranje menang 2-1 ke atas Mexico dalam perlawanan dramatik semalam.

Pemain Bayern Munich itu mengaku bahawa dia merebahkan badan pada babak pertama perlawanan namun menegaskan bahawa dia memang dikasari Rafael Marquez ketika perlawanan memasuki masa tambahan babak kedua perlawanan yang membuatkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Belanda yang disudahkan Klaas-Jan Huntelaar.

"Saya mesti memohon maaf. Satu (pada penghujung perlawanan) merupakan penalti, namun lagi satu pada babak pertama pertama merupakan sengaja merebahkan badan. Saya tidak patut melakukannya, itu amat teruk,'' kata Robben sebagaimana dilaporkan oleh Mail Online.

Kod disiplin FIFA menyatakan bahawa "sesiapa yang melanggar prinsip permainan bersih" mungkin berdepan hukuman, sementara artikel 96 menyatakan bahawa rakaman video dan audio adalah dibenarkan sebagai bentuk bukti.

Ini bermakna kenyataan Robben dan rakaman video dia merebahkan badan boleh dikaji.

Pada Februari lalu, Presiden FIFA, Sepp Blatter mahu mengkaji semula tindakan yang patut diambil kepada pemain yang sengaja merebahkan badan.

"Bukti video boleh digunakan bagi pelanggaran serius prinsip permainan bersih seperti pergaduhan, meludah pemain lawan, menghina secara lisan dan menghina perkauman atau secara salah menghadiahkan kad kuning atau merah.

"Dalam kes seperti ini, kami mesti menggunakan saluran yang sentiasa terbuka kepada kami dan campur tangan selepas sesuatu kejohanan sekiranya perlu.

"Dalam konteks ini, kami perlu memasukkan tindakan berpura-pura cedera, sengaja merebahkan badan atau membuang masa untuk dijadikan pertimbangan kami,'' kata Blatter. - AGENSI

Sementara itu, jurulatih Mexico, Miguel Herrera melabel Robben sebagai penipu dan mengkritik pengadil Portugal, Pedro Proenca ekoran persembahannya itu.

Katanya, daripada empat perlawanan, mereka mempunyai tiga perlawanan yang menyaksikan mutu pengadilan yang teruk dan aksi menentang Belanda merupakan yang terburuk.

``Robben melakukan tiga rebahan badan untuk mendapatkan penalti yang tidak sewajarnya. Dia patutnya diberikan amaran. Sekiranya anda melakukannya kepada pemain yang cuba menipu, kemudiannya dia tidak lagi berani untuk menipu.

``Robben patut dilayangkan kad kuning kedua. Sekiranya anda tidak berbuat apa-apa sebagai pengadil, pemain akan mengulangi perkara sama. Dia tahu dia tidak akan dibuang oleh itu dia melakukannya sekali lagi,'' kata Herrera.

Herrera berkata, perkara itu akan berlaku apabila seorang pengadil yang diperintahkan mengadili sesuatu perlawanan berasal dari gabungan yang sama.

``Pengadil memberikan penalti yang dicipta olehnya. Sekurang-kurangnya kami boleh berharap bahawa pemain itu akan pulang ke tanah airnya sama seperti kami,'' katanya. - AGENSI





WORLD CUP 2014 - Greece tersingkir, Karagounis bersara


Giorgos Karagounis

RECIFE - Ketua pasukan Greece, Giorgos Karagounis mengesahkan dia akan bersara dari arena antarabangsa selepas negaranya tersingkir daripada Piala Dunia akibat kalah kepada Costa Rica menerusi penentuan penalti semalam.

Karagounis, 37, adalah pemain paling banyak mewakili Greece, iaitu 139 kali sepanjang 15 tahun sejak 1999. Dia turut memenangi Kejohanan Eropah dengan Greece pada 2004.

Greece kalah kepada Costa Rica menerusi penentuan penalti di pusingan 16 terakhir semalam, walaupun memiliki kelebihan selama hampir sejam setelah pemain lawan, Oscar Duarte diperintah keluar padang pada minit ke-66 di Arena Pernambuco.

Ketinggalan 1-0, Greece menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan babak kedua tetapi tidak mampu mendapatkan gol kemenangan dalam masa tambahan, biarpun melancarkan serangan bertubi-tubi.

"Awak tidak selalu mendapat peluang sebegini dalam hidup," kata Karagounis. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140701/sl_05/Greece-tersingkir-Karagounis-bersara#ixzz36lP5d5ZP  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - 10 pemain Costa Rica halang kemaraan Greece


PEMAIN-pemain Costa Rica meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir selepas menumpaskan Greece 5-3 menerusi penalti penentuan di Recife semalam. - AFP

RECIFE - Penjaga gol, Keylor Navas dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas dia menghalang Greece di dalam tendangan penalti penentuan sekali gus membantu Costa Rica layak ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dan akan bertemu Belanda.

Kekurangan seorang pemain pada separuh masa kedua, Costa Rica hampir mencatat kemenangan pada masa sebenar sehinggalah pertahanan Greece, Sokratis Papastathopoulos menjaringkan gol penyamaan pada waktu kecederaan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Navas, yang menghalang percubaan bertalu-talu pihak lawan dalam perlawanan itu, meneruskan kehebatannya di dalam masa tambahan 30 minit.

Kemudian dia menolak bola keluar dengan sebelah tangan bagi menghalang tendangan penyerang Greece, Theofanis Gekas sewaktu penalti penentuan.

Costa Rica kemudian mendapat gol kemenangan penalti 5-3 dan memastikan harapan skuad dari Amerika Tengah itu dalam Piala Dunia terus menyala.

"Kepada semua anda di rumah dan juga di jalanan, kemenangan ini adalah untuk anda.

"Orang Costa Rica mencintai bola sepak dan mereka berhak untuk mendapat (kejayaan) ini. Kami amat bercita-cita tinggi, kami mahu berkembang dan membangun serta dengan izin tuhan kami berjaya ke peringkat seterusnya dalam kejohanan ini," kata pengurus Costa Rica, Jorge Luis Pinto.

Ketua pasukan, Bryan Ruiz menjaringkan gol pada minit ke-52 untuk meletakkan Costa Rica di hadapan.

Tetapi pemain pertahanannya, Duarte diarahkan keluar padang setelah dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari pemain lawan dan Greece melihat peluang mereka untuk mendapatkan gol penyamaan.

Greece mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila Papastathopoulos menerkam bola melantun setelah sepakan Gekas ditampan oleh Navas dalam minit pertama masa tambahan.

Tetapi, itu merupakan satu-satunya percubaan yang membolosi penjaga gol Costa Rica itu sepanjang perlawanan berlangsung dan dia kemudiannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Dia penjaga gol yang luar biasa, dan saya fikir dia merupakan salah seorang pemain yang berjaya menunjukkan prestasi terbaik di Piala Dunia," kata Pinto.

Jurulatih Greece, Fernando Santos turut memuji kecekapan Navas.

"Penjaga gol telah menjadikan pasukan mereka berbeza. Dia menghalang kami pada penghujung masa tambahan, dan sekali lagi ketika penalti penentuan.

"Jika bukan kerana dia, keputusan perlawanan akan menjadi berbeza," katanya.

Greece memiliki beberapa peluang untuk memenangi perlawanan dalam masa tambahan sewaktu menentang pemain-pemain Costa Rica yang kepenatan.

Peluang-peluang yang terlepas itu amat terbukti menerusi tendangan penalti para pemain Greece. - AFP




WORLD CUP 2014 - Penalti kontroversi selamatkan Belanda




FORTALEZA - Belanda bangkit di saat akhir menewaskan Mexico 2-1 selepas Arjen Robben mencetuskan kontroversi apabila memperolehi penalti pada masa kecederaan sekali gus layak ke pusingan suku akhir.

Bintang Bayern Munic, Robben kerap dituduh sengaja menjatuhkan diri di dalam kotak penalti bagi menagih simpati pengadil sepanjang karier pemain itu dan dia telah melakukan perkara yang sama selepas berasak dengan pertahanan Mexico, Rafael Marquez.

Pengadil kelahiran Portugal, Pedro Proenca menghadiahkan sepakan penalti dan Klaas-Jan Hunterlaar berjaya menyempurnakannya.

Bagaimanapun, Robben menegaskan keputusan Proenca memberikan sepakan penalti adalah tepat malah turut memberitahu syarikat penyiaran Belanda, NOS bahawa dia dikasari.

Dalam pada masa yang sama dia akui bahawa turut melakukan perkara yang sama di awal permainan bagi mendapatkan sepakan penalti.

"Saya memohon maaf kepada peminat kerana saya sengaja menjatuhkan diri pada babak pertama demi mendapatkan sepakan penalti dan saya tidak patut berbuat sedemikan," akui Robben.

"Itu tindakan bodoh namun sekiranya anda terdesak untuk mendapatkan gol anda sanggup melakukan apa saja," katanya.

Jaringan penalti itu hadir tepat pada masanya apabila Wesley Sneijder menyamakan kedudukan pada minit ke-88 selepas Giovani dos Santos meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-48.

Jurulatih Mexico, Miguel Herrera mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Belanda.

"Faktor penentu keputusan perlawanan bergantung kepada pengadil kerana dia yang mengadili perlawanan. Berdasarkan keputusan yang dibuat dia (Proenca) patut pulang awal seperti kami," kata Herrera.

Mexico kini gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir buat kali keenam berturut-turut dan kali terakhir berjaya melepasi pusingan kalah mati pada Piala Dunia 1986.

Jurulatih Belanda, Luis van Gaal memuji anak-anak buahnya tidak lemah semangat dalam mencari gol penyamaan malah turut menjaringkan gol kemenangan di saat akhir. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140701/sl_03/Penalti-kontroversi-selamatkan-Belanda#ixzz36lN5VsMC  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - Belgium sedia 'berperang' - Wilmots


PEMAIN Belgium, Dries Mertens (kanan) dan Axel Witsel menjalani sesi latihan pasukan mereka di Mogi das Cruzes semalam dalam persiapan menentang AS. - REUTERS

SALVADOR - Pengumuman Amerika Syarikat (AS) tentang hasrat mereka untuk menerapkan corak serangan, mungkin akan membangkitkan naluri Belgium yang sebelum ini lebih seronok bermain cantik tetapi tidak kalah setakat ini.

Red Devils masih lagi belum beraksi di tahap terbaik, namun sudah membuat persiapan untuk 'berperang' awal pagi esok dalam aksi 16 pasukan akhir Piala Dunia.

Belgium melangkah ke pusingan kalah mati selepas menang ke atas Algeria, Rusia dan Korea Selatan namun masih gagal memenuhi harapan tinggi yang diletakkan ke atas mereka, berikutan corak permainan menariknya serta memiliki pemain berstatus bintang.

Bagaimanapun dengan pemain seperti Eden Hazard, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku, masih ada masa untuk berubah dan wakil Eropah itu akan berdepan ujian getir daripada AS yang mengejutkan Ghana dan Portugal untuk layak ke pusingan kalah mati bersama-sama Jerman dari Kumpulan G.

Adunan organisasi dan kecergasan fizikal pasukan Stars and Stripes itu dipertingkatkan oleh fokus jurulatih, Juergen Klinsmann terhadap pergerakan hantaran-hantaran pantas yang menajamkan lagi barisan serangan mereka dan itu merupakan formula yang boleh mengancam Belgium.


SKUAD AS membuat latihan ringan sebelum menjalani sesi latihan di Sao Paulo semalam. - REUTERS

"Secara fizikal, mereka amat kuat. Kami telah bersedia untuk berperang," kata jurulatih Red Devils, Marc Wilmots kepada media.

Permulaan pantas boleh menjadi kunci kepada kemaraan AS yang mungkin sedar bahawa Belgium mengambil masa sehingga minit 70 untuk menjaringkan gol dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

"Kami akan menggunakan corak itu ke atas mereka. Kami percaya kami mempunyai keyakinan yang cukup untuk mengalahkan mereka. Kami tahu kami perlu mencapai tahap ekstrem untuk memastikan ia berlaku," kata Klinsmann.

Rekod Belgium sangat baik setakat ini apabila tidak kalah dalam kempen kelayakan sehingga meletakkan mereka selaku pasukan pilihan kelima di Brazil.

Kelebihan memiliki Thibault Courtois sebagai penjaga gawang dan pemain pertahanan tengah kental, Vincent Kompany yang hanya dibolosi satu jaringan setakat ini, iaitu penalti Algeria, mereka tidak kisah untuk meninggalkan corak permainan cantik.

"Apakah ertinya bermain dengan cantik? Setiap perlawanan digambarkan dengan taktik dan kecergasan fizikal. Apa yang penting pada akhirnya adalah keputusan, memenangi perlawanan dengan apa cara sekalipun corak permainan,'' kata Wilmots.

Belgium menang empat daripada lima perlawanan dengan AS termasuk kemenangan 4-2 di Cleveland pada Mei tahun lalu. Satu-satunya kemenangan AS ialah pada Piala Dunia 1930.

Mengesahkan kedudukan 16 pasukan akhir selepas dua perlawanan di peringkat kumpulan, Wilmots meletakkan kesebelasan utama yang berbeza semasa pertemuan menentang Korea Selatan.

Ini bermakna mereka memiliki pemain yang cergas untuk pertemuan menentang AS, dan senarai pasukan mereka mungkin sama dengan kesebelasan yang menentang Rusia. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140701/sl_02/Belgium-sedia-berperang---Wilmots#ixzz36lLzKF8X  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - 'Messi Swiss' lawan Messi Argentina


PEMAIN-pemain Argentina memanaskan badan sebelum menjalani sesi latihan di Belo Horizonte untuk persiapan menentang Switzerland esok. - AFP

SAO PAULO - 'Lionel Messi' Switzerland, Xherdan Shaqiri masih lagi segar daripada jaringan hatrik yang dilakukannya ketika menentang Honduras dalam perlawanan sebelum ini dan pertemuan dengan Messi sebenar adalah medan buat pasukan Eropah itu untuk melakukan kejutan dalam pertemuan menentang Argentina (12 tengah malam waktu Malaysia) di pusingan kedua Piala Dunia.

Shaqiri, yang sama tinggi dengan Messi dan mempunyai persamaan dari segi pusat graviti yang rendah, mempunyai cara tersendiri untuk disamakan dengan kehebatan penyerang prolifik Argentina itu. Pemain berusia 22 tahun tersebut telah membolehkan Switzerland menghasilkan ancaman sebenar di barisan hadapan skuad Schweizer Nati itu.

Pemain tengah Argentina, Javier Mascherano berkata, pasukannya akan memastikan mereka memberikan perhatian yang lebih terhadap pemain tengah Bayern Munich itu.

"Switzerland adalah sebuah pasukan yang tersusun yang gemar bermain cantik dan mempunyai beberapa pemain bertaraf bintang. Shaqiri dan penyerang, Haris Seferovic kini berada pada prestasi terbaik dan sudah tentu kami akan lebih berhati-hati,'' kata Mascherano kepada stesen televisyen Argentina, TyC Sports.

Jurulatih Switzerland, Ottmar Hitzfeld yang akan meletak jawatan selepas temasya di Brazil percaya bahawa dengan mengekalkan corak pasukannya yang tersusun mampu membuatkan mereka melangkah ke suku akhir buat pertama kali sejak mereka menjadi tuan rumah temasya itu 60 tahun lalu.

Switzerland tidak pernah menumpaskan Argentina, seri dua kali dan kalah empat kali.


PEMAIN Switzerland, Xherdan Shaqiri (kanan) mengawal bola sewaktu menjalani sesi latihan di Porto Seguro semalam. - REUTERS

"Kami bukan pasukan pilihan namun kami tidak perlu risau kerana kami tidak akan rugi dan banyak manfaat yang kami akan perolehi.

"Kami boleh mencipta sejarah awal esok pagi. Dalam perlawanan, apa-apapun boleh berlaku,'' kata jurulatih kelahiran Jerman itu kepada laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Switzerland.

Switzerland pada masa sama mengharapkan penyokong-penyokong Brazil di Stadium Corinthians di Sao Paulo akan memberi sokongan kepada mereka terutamanya dalam perlawanan menentang musuh tradisi negara itu, Argentina.

"Saya berpendapat, kami sudah tentu akan mendapat sokongan daripada penyokong Brazil di stadium. Awak boleh merasakan permusuhan antara Brazil dan Argentina di sini,'' kata penjaga gol, Diego Benaglio di kem latihan Switzerland di Porto Seguro.

Benaglio menambah, pasukannya turut mendapat motivasi tambahan selepas kehilangan rakan sepasukan, Steve von Bergen yang cedera dalam pertemuan dengan Perancis dan penyerang yang tidak digunakan, Mario Gavranovic yang mengalami kecederaan ligamen lutut Sabtu lalu.

Sementara pertahanan Argentina berharap mereka dapat mengawal pergerakan Shaqiri, barisan belakang Switzerland turut mempunyai tugas sukar bagi merantai Messi daripada bergerak ekoran prestasi memberangsangkan penyerang Barcelona itu selepas dia menjaringkan empat gol keseluruhan setakat ini.

"Kami membuat persediaan sama seperti yang kami lakukan untuk perlawanan lain namun sudah pasti sukar untuk memastikan Messi tidak dapat bermain. Awak boleh lihat daripada kebanyakan klip-klip video tentang kemampuan Messi melakukan sesuatu kejutan pada saat-saat genting,'' kata Benaglio.

- REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140701/sl_01/Messi-Swiss-lawan-Messi-Argentina#ixzz36lIVkC6I  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Sultan Nazrin tunaikan wasiat Almarhum Sultan Azlan Shah


Sultan Nazrin Shah sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan titah ucapan pada majlis perasmian Masjid Toh Puan Besar Hatijah dan majlis berbuka puasa di Batu Gajah, Perak, semalam. - BERNAMA

BATU GAJAH 30 Jun - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menjunjung wasiat arwah ayahandanya, Almarhum Sultan Azlan Shah untuk merasmikan sebuah masjid bernilai RM21 juta di sini yang dibina semula serta diperkenankan untuk dinamakan sempena nenda baginda, Toh Puan Besar Hatijah sebagai pewakaf tanah tersebut pada 1930-an.

Bangunan pertama yang dirasmikan Sultan Nazrin selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 itu siap dibina semula pada tahun lalu dan telah diwasiatkan oleh Almarhum untuk dirasmikan pada bulan Ramadan tahun ini selain diadakan majlis berbuka puasa pertama Sultan bersama rakyat.

"Almarhum tidak sempat bersolat di masjid yang telah dibina semula ini. Sepanjang hayat, Almarhum terlibat secara langsung dan tidak langsung menasihati, mengawasi dan memantau pelbagai projek membina bangunan merangkumi istana, mahkamah, stadium, institusi pendidikan, galeri dan rumah kediaman.

"Projek pembinaan masjid ini merupakan pembinaan terakhir yang Almarhum telah berikan tumpuan dan terlibat secara langsung," titah baginda sempena perasmian masjid tersebut dan majlis berbuka puasa di sini.

Terdahulu, Sultan Nazrin bersama adinda baginda, Raja Datuk Seri Azureen dan Raja Datuk Seri Eleena serta kerabat diraja yang lain menziarahi makam Toh Puan Besar Hatijah di Tanah Perkuburan Segedup berhampiran masjid tersebut.

Masjid yang asalnya diperbuat daripada kayu telah dirobohkan sebelum diganti dengan binaan berasaskan batu-bata pada 1970-an.

Pada akhir tahun 2006, Almarhum Sultan Azlan Shah menitahkan agar masjid tersebut dibina semula dan pembinaannya telah dimulakan pada 9 Oktober 2008.

Almarhum memberikan sepenuh perhatian apabila memantau dan mengawasi kerja-kerja pembinaan semula masjid itu dengan mengadakan lawatan tapak malah baginda turut memberikan sentuhan peribadi terhadap reka bentuk, hiasan dalaman dan komposisi kompleks masjid tersebut.

Rumah Allah yang diperkenankan Almarhum untuk dinamakan sebagai Masjid Toh Puan Besar Hatijah melambangkan satu pengabadian penghargaan seorang putera kepada seorang bonda selain peringatan kasih sayang baginda terhadap seorang kakanda berikutan dewan serba gunanya turut dinamakan sebagai Dewan Raja Baharum Baha'uddin Shah.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, walau sejauh mana merantau serta mencapai kejayaan, Almarhum sentiasa mencari masa untuk kembali memijakkan kaki di bumi Batu Gajah yang menjadi menjadi tempat baginda diputerakan.

Menurut Sultan Nazrin, baginda juga sentiasa menghargai dan terus mendampingi rakan-rakan sepermainan dan sepersekolahannya di Batu Gajah yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, agama dan kaum.

"Demikian dalamnya ingatan Almarhum kepada bumi dan alam persekitaran Batu Gajah. Rumah Allah ini adalah hadiah kenangan daripada Almarhum kepada masyarakat Batu Gajah yang sangat nostalgik dalam ingatan baginda.

"Semoga usaha Almarhum membangunkan kemudahan fizikal ini akan disambut dan dilengkapi oleh ahli-ahli qariah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti agar masjid ini menjadi masjid yang hidup, diimarahkan setiap masa dan sepanjang waktu," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, masjid berfungsi sebagai institusi asas lagi utama untuk mendukung peranan mengembangkan syiar Islam selain berperanan sebagai tapak semaian mencanai minda berilmu dan membina sahsiah insan.

"Masjid tidak sekadar pusat untuk melakukan ibadah solat malah telah dan hendaklah terus berfungsi sebagai pusat perkembangan ilmu, perkembangan budaya dan turut berperanan sebagai pusat membangunkan masyarakat," titah baginda.




WORLD CUP 2014 - Mimpi Umana jadi kenyataan



KETIKA pemain-pemain Costa Rica meraikan kejayaan melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia, pemain Greece pula berduka selepas tumpas menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 di Arena Pernambuco, Recife, pagi ini. - REUTERS

“MALAM semalam saya bermimpi tentang perkara ini (mengambil sepakan penalti) tetapi saya rasa ia tidak benar.

“Saya tenang kerana sudah bermimpi mengenainya tetapi saya tidak beritahu sesiapa. Saya rasa sangat yakin ketika mengambil sepakan ini."

Itu kata-kata tonggak pertahanan Costa Rica, Michael Umana selepas menyempurnakan sepakan penalti terakhir yang membawa pasukannya melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dengan mengecewakan juara Eropah 2004, Greece 5-3.

Pertarungan diheret ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan di Arena Pernambuco, Recife awal pagi ini, meskipun Costa Rica mengharungi sebahagian besar perlawanan dengan 10 pemain.

Penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas cemerlang apabila menyelamatkan sepakan penalti keempat Greece yang diambil oleh Theofanis Gekas sebelum Umana menjaringkan gol kemenangan The Ticos, sekali gus membawa mereka menempah pertemuan dengan Belanda di Salvador, Ahad ini.

“Kejayaan ini adalah untuk keluarga saya.

“Ia juga untuk rakan-rakan sepasukan yang mengalami kecederaan sebelum datang ke sini. Mereka tidak bersama kami tetapi memberikan sokongan kepada kami," kata Umana lagi.

Selepas saingan berlangsung hambar pada babak pertama, Bryan Ruiz menghidupkan perlawanan dengan menjaringkan gol pembukaan Costa Rica pada minit ke-52 menerusi rembatan rendah kaki kiri dari jarak 15 meter.

Costa Rica kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan mereka, Oscar Duarte diarah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua pada minit ke-66 selepas melakukan kekasaran ke atas Jose Holebas.

Greece yang sebelum ini menumpaskan Ivory Coast dalam perlawanan dramatik untuk mara ke pusingan kedua, berjaya menyamakan kedudukan, seminit memasuki waktu kecederaan menerusi rembatan Gekas.

Mereka hampir meraih gol kedua sejurus selepas itu, namun tandukan Kostas Mitroglou melewati palang dan seterusnya gagal mencari gol kemenangan pada masa tambahan.

Penentuan sepakan penalti berlangsung baik apabila tujuh sepakan berjaya disempurnakan sehinggalah Navas menafikan tendangan Gekas, sebelum jaringan Umana menceriakan 41,000 penyokong Costa Rica di Recife.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140630/sl_16/Mimpi-Umana-jadi-kenyataan#ixzz36lCztsqO  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Trio Nigeria, cuaca ancaman Les Bleus


KARIM Benzema sempat membetulkan rambut Antoine Griezmann, sambil dilihat oleh Hugo Lloris pada sesi latihan Perancis di Botafogo, Sao Paulo, Brazil semalam. - REUTERS

Trio penggempur Nigeria, Ahmed Musa, Emmanuel Emenike dan Peter Odemwingie bukan satu-satunya perkara yang membimbangkan Perancis dalam saingan pusingan kedua, pagi esok.

Sebaliknya cuaca panas di Brasilia yang dijangka mencecah 30 darjah Celsius dikhuatiri akan menyekat juara 1998 itu daripada menampilkan aksi terbaik.

Pada kejohanan yang didominasi oleh Amerika Selatan, pengendali Les Bleus, Didier Deschamps khuatir pemainnya gagal bertahan dalam cuaca panas.

“Ya, cuaca amat merisaukan saya.

“Secara semula jadi, pemain Nigeria lebih mudah menyesuaikan diri dengan cuaca panas.

“Perlawanan mungkin berlangsung pada jam 4 petang (waktu Brazil), jadi kami perlu menangani situasi ini dengan sebaiknya," ujar Deschamps.

Selain masalah cuaca, kepantasan jentera Super Eagles satu lagi faktor yang merisaukan gergasi Eropah itu.

Ahmed, Emenike serta Odemwingie perlu dikawal ketat kerana memiliki larian deras dan mampu menghukum lawan andai dibiarkan bergerak bebas.

Mereka memainkan watak utama dalam dua gol yang dicipta Nigeria ketika tewas 2-3 kepada Argentina.

Ahmed sangat lincah di sayap, Emenike pula penyerang bertenaga, manakala Odemwingie mampu menyusup ke kubu lawan serta memiliki penyudah tajam.

“Nigeria sebuah pasukan yang sangat bagus. Mereka memberikan kesukaran kepada Argentina.

“Pasukan itu cukup bertenaga, pantas di bahagian serangan, selain memiliki pemain tengah yang rajin," kata pemain tengah Perancis, Yohan Cabaye.

Bacary Sagna dan Mathieu Debuchy merebut posisi bek kanan Perancis, manakala Mamadou Sakho yang bergelut dengan masalah hamstring mungkin diganti oleh Laurent Koscielny jika gagal pulih.

Olivier Giroud dan Antoine Griezmann pula bersaing untuk berganding dengan Karim Benzema serta Mathieu Valbuena di jentera serangan, manakala Paul Pogba dan Moussa Sissoko berebut tempat di bahagian tengah.

Sementara itu Nigeria sedia untuk beraksi pada perlawanan kalah mati pertama mereka sejak 1998 selepas selesai isu pembayaran bonus.

Pemain Super Eagles tidak hadir sesi latihan Khamis lalu kerana masalah bonus, namun kembali menjalani latihan semalam selepas perkara itu diselesaikan oleh Presiden, Goodluck Jonathan dalam pertemuan dengan jurulatih Stephen Keshi dan kapten, Joseph Yobo.

“Mental kami perlu kuat. Kami turun dengan misi mencari kemenangan.

“Tidak kira pasukan mana yang kami tentang, Sepanyol atau siapa saja... Dan tidak kisah dalam kejohanan apa kami bermain, kami mahu menang," kata Keshi.

Nigeria merupakan salah satu daripada dua wakil Afrika yang berjaya ke peringkat kalah mati di Brazil, selain Algeria.




WORLD CUP 2014 - Dendam 32 tahun


PEMAIN Jerman (dari kiri) Benedikt Hoewedes, Mesut Ozil, Manuel Neuer dan Mario Goetze menjalani latihan di Santo Andre , semalam. - AFP

JIKA Jerman turun dengan reputasi gah selaku juara tiga kali, Algeria pula membawa misi untuk mengubati luka lama selepas diaibkan dalam peristiwa “The Shame of Gijon" 1982.

Latar belakang dua pasukan ini ibarat langit dan bumi, namun kerana dendam lama dan peningkatan hebat yang ditunjukkan skuad Desert Fox membuatkan pengendali Jerman, Joachim Loew memberi peringatan kepada anak-anak buahnya.

“Kami mesti kekal fokus dan berpijak di bumi nyata. Jika kami memandang rendah keupayaan lawan, kami akan dihukum.

“Semalam, saya mengambil masa sejam untuk mengenali Algeria. Saya tahu, kami akan berdepan lawan yang agresif dan memiliki permainan padu.

“Seluruh negara mereka sedang berpesta dengan sejarah yang baru dicipta, jadi kita bakal menentang lawan yang kuat," ujar Loew.

Pertemuan ini juga mengimbau memori 32 tahun lalu, di mana Jerman Barat dihadiahkan kemenangan 1-0 oleh jiran mereka, Austria pada Piala Dunia 1982 untuk menyingkirkan Algeria di peringkat kumpulan.

Pada kejohanan di Sepanyol itu, Algeria mengejutkan Jerman Barat 2-1 pada perlawanan sulung dalam kumpulan yang turut dibarisi Austria dan Chile.

Algeria hampir meraih tiket ke pusingan kedua, namun disebabkan Jerman Barat dan Austria berkomplot dalam perlawanan terakhir kumpulan menyebabkan mereka tersingkir.

Perlawanan itu berlangsung di El Molinon, Gijon. Seluruh dunia boleh menyaksikan bagaimanapun Austria dengan jelas enggan mengancam ke kubu lawan sebelum akhirnya tewas 0-1 bagi membolehkan kedua-dua mereka ke pusingan kedua.

Apa yang berlaku bukan saja memalukan bola sepak, tetapi juga mengecewakan Algeria dan ia digelar peristiwa “The Shame of Gijon"

Penyerang Algeria, Islam Slimani mencabar rakan-rakan sepasukannya agar menyerap semangat Gijon 1982 untuk menumpaskan Jerman di Porto Alegre, esok.

“Kita semua tahu tentang kemenangan yang diraih Jerman pada 1982.

“Ketika itu kita memiliki pemain hebat seperti (Rabah) Madjer, (Salah) Assad dan (Lakhdar) Belloumi. Jadi, apa kata kita teruskan impian mereka di Brazil dan jadikan ia satu kenyataan.

“Kita tidak boleh merubah apa yang sudah berlaku tetapi kita boleh melakar sejarah baharu, jadi mari kita lakukannya," ujar penyerang Sporting Lisbon itu.

Jurulatih Algeria, Vahid Halilhodzic pula berkata, pasukannya turun untuk mencari kemenangan, biarpun sedar Jerman yang ditentang kali ini jauh lebih hebat berbanding dulu.

Halilhodzic memberi gambaran mungkin menggunakan taktikal yang sama ketika mengikat Rusia 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan H.

“Sebagai jurulatih saya suka dengan cara pasukan ini bermain terutama ketika mereka melakukan serangan.

“Jerman adalah pasukan yang amat digeruni dan dianggap cukup lengkap apabila menentang pasukan kerdil seperti kami," katanya.

Jerman merupakan juara 1954, 1974 dan 1990, manakala Algeria hanya melayakkan diri ke peringkat kalah mati buat kali pertama.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140630/sl_14/Dendam-32-tahun#ixzz36kx5JXxm  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - Kemenangan penuh dramatik


KLAAS-Jan Huntelaar dikerumuni rakan-rakan sepasukan selepas menyempurnakan sepakan penalti untuk membawa Belanda ke suku akhir Piala Dunia selepas menewaskan Mexico 2-1 di Stadium Castelao, Fortaleza, pagi ini. - AFP

Dua gol dalam tempoh enam minit terakhir memusnahkan Mexico dan membawa Belanda melangkah ke suku akhir Piala Dunia menerusi kemenangan 2-1 di Fortaleza, pagi ini.

Ketika Mexico sudah menghampiri suku akhir, Wesley Sneijder mengejutkan skuad El Tri apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-88, sebelum pemain gantian, Klaas-Jan Huntelaar mengesahkan kemenangan dengan menyempurnakan sepakan penalti kontroversi, empat minit masuk waktu kecederaan.

Tidak lama selepas menghancurkan hati jutaan rakyat Mexico, penyerang Belanda, Arjen Robben memohon maaf dan mengakui, sengaja merebahkan badan untuk mendapatkan penalti.

Bagaimanapun Robben berkata, dia memohon maaf atas perbuatannya di babak pertama, bukan ketika Belanda dihadiahkan penalti di hujung permainan.

“Saya benar-benar perlu memberitahu perkara ini dan dalam masa sama meminta maaf. Pada separuh masa pertama, saya telah merebahkan badan dan saya tidak patut melakukan perkara itu.

“Ia perbuatan yang sangat..sangat bodoh, tetapi saya tidak sangka mereka (pemain Mexico) akan benar-benar menolak kaki saya di hujung permainan," kata Robben kepada televisyen Belanda, NOS.

Jurulatih Mexico, Miguel Herrera melancarkan serangan terhadap pengadil dari Portugal, Pedro Proenca kerana menghadiahkan penalti yang membawa kemenangan Oranje.

Namun Robben menegaskan, Proenca membuat keputusan betul apabila memberi penalti kepada pasukannya.

“Saya benar-benar dikasari (oleh Rafael Marquez)," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Castelao, Mexico lebih banyak menguasai permainan dan membuka jaringan menerusi Giovani Dos Santos pada minit ke-48.

Beberapa percubaan Belanda pula dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol, Guillermo Ochoa.

Bagaimanapun gol penyamaan Sneijder dari luar kotak penalti mula mengucar-kacirkan Mexico hingga mudah melakukan kesilapan.

“Pada saya, sebab utama (kami kalah) adalah pengadil, lelaki yang membawa wisel. Dia punca kami tersingkir daripada Piala Dunia.

“Apabila pengadil mula menghukum atas kesalahan yang tidak dilakukan, maka nasib anda pada Piala Dunia bukan di tangan sendiri.

“Kami harap, jawatankuasa pengadil memandang serius hal ini dan menghantar lelaki ini pulang, sama seperti yang dilakukan kepada kami," kata Herrera.

Perlawanan pagi ini turut menyaksikan buat kali pertama, pemain diberi rehat tambahan tiga minit untuk minum kerana cuaca panas.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140630/sl_13/Kemenangan-penuh-dramatik#ixzz36ku8bwyk  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - Dia macam Maradona - Tabarez




RIO DE JANEIRO - Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez membandingkan James Rodriguez dengan Diego Maradona selepas sepakan volinya yang menakjubkan membantu Colombia menang 2-0 dalam perlawanan pusingan kedua Piala Dunia semalam.

“Bagi saya, bakat istimewa ialah mereka yang melakukan perkara yang sememangnya luar biasa," kata Tabarez yang pasukannya ditewaskan dengan dua gol Rodriguez di Stadium Maracana.

“Maradona, Messi, Suarez, James Rodriguez, mereka melakukan sesuatu kerana mereka ada anugerah yang menjadikan mereka istimewa. Saya percaya daripada apa yang saya lihat dia adalah pemain terbaik dalam Piala Dunia," Tabarez memuji Rodriguez.

Rodriguez, 22, membuka jaringan pada minit ke-28 dengan satu gol hebat, mendada bola dan membuat sepakan voli yang menerjah jaring selepas terlebih dahulu terkena bawah palang gol dari jarak 25 ela.

Dia menggandakan jaringannya pada awal babak kedua, menolak masuk tandukan ke bawah Juan Cuadrado untuk kini mendahului senarai penjaring dengan lima gol.

“Saya percaya dialah pemain terbaik pada Piala Dunia.

“Saya tidak fikir saya membesar-besarkan cerita. Dia seorang pemain muda. Kami cuba mengehadkan pengaruhnya tetapi dia terus mara dan menjadikan kehadirannya dirasai.

“Harap-harapnya dia akan terus mara, kerana dia amat muda. Bola sepak memerlukan pemain dengan perwatakan ini," tambah Tabarez.

Colombia akan menghadapi tuan rumah Brazil dalam suku akhir di Fortaleza pada 4 Julai.

Rodriguez yang menyertai Monaco dari Porto tahun lalu dengan harga 45 juta euro (RM197 juta), berkata bahawa dia gembira dapat membantu membimbing Colombia ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama.

“Kami amat gembira, kerana kami mencipta sejarah.

“Ketika saya kecil, saya sentiasa mahu berada di sini (Piala Dunia). Itu satu impian besar saya dan kami harap kami boleh menjadikannya lebih besar. Kami ialah sebuah pasukan yang benar-benar mahu menang," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140630/sl_09/Dia-macam-Maradona---Tabarez#ixzz36krQp9lZ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - Rodriguez muncul hero Colombia


Penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera gagal menyelamatkan jaringan kedua pemain tengah Colombia, James Rodriguez dalam aksi pusingan kedua antara pasukan masing-masing di Stadium Maracana, semalam. - AFP

RIO DE JANEIRO - Persembahan memukau James Rodriguez menyaksikan Colombia melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah semalam selepas pemain tengah itu menjaringkan dua gol untuk membantu Los Cafeteros mengalahkan Uruguay 2-0 di Stadium Maracana semalam.

Gol-gol Rodriguez pada masa sama menjadikan pemain yang beraksi untuk Monaco itu muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan lima gol.

Dan berdasarkan kepada persembahan mereka dengan Brazil dalam peringkat kedua semalam, Colombia pasti berasakan peluang mereka apabila bertemu pasukan tuan rumah di suku akhir kelak sangat cerah.

Rodriguez, yang akan berusia 23 tahun pada 12 Julai ini, adalah puncak kepada persembahan hebat dan berkeyakinan Colombia ketika menentang Uruguay, yang menghadapi kesukaran selepas kehilangan penyerang berbisa mereka, Luis Suarez yang digantung kerana menggigit pemain Itali Giorgio Chiellini.

Dan sementara nama Suarez mungkin masih menjadi sebutan peminat sebelum perlawanan itu ekoran hukuman penggantungannya selama empat bulan, Rodriguez muncul sebagai tajuk perbualan ramai sejurus perlawanan tamat.

Pengurus Colombia, Jose Pekerman turut memujinya.

“Pada usianya, dia tidak menghadapi masalah untuk memikul tanggungjawab dan melakukan perkara-perkara yang pemain bola sepak mengambil masa bertahun-tahun untuk faham.

“Pemain-pemain bola sepak perlu mengawal banyak perkara dan kita menyaksikan seorang pemain, dengan teknik, yang memiliki semua ciri yang diperlukan oleh seorang pemain bertaraf dunia," katanya.

Rodriguez berjaya mencuri tumpuan selepas jaringan pembukaannya yang memukau pada minit ke-28 perlawanan dan jaringannya pada minit ke-50 meletakkannya sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol dalam empat perlawanan setakat ini.

Gol pertama Rodriguez dihasilkan menerusi kemahiran individu yang dimilikinya manakala gol keduanya terhasil daripada kerja berpasukan yang cantik.

Pekerman berkata, Los Cafeteros berhak berada di suku akhir Piala Dunia sebagai ganjaran kepada persembahan cemerlang mereka sepanjang temasya ini berlangsung.

“Kami tahu siapa lawan kami, Uruguay merupakan pasukan yang sukar untuk ditentang dan mereka juga mempunyai jurulatih yang hebat.

“Agak penting untuk tahu siapa lawan anda, semua hasil usaha anda telah membuahkan hasil. Tahniah kepada rakyat Colombia kerana Colombia berhak menang dan saya amat gembira untuk berada di sini,’’ kata jurulatih kelahiran Argentina itu sejurus tamat perlawanan.

Tanpa kelibat Suarez, Uruguay gagal untuk menyaingi Colombia walaupun mereka cuba mengejar defisit dengan beberapa percubaan namun penjaga gol Colombia, David Ospina tangkas menyelamatkan gawangnya daripada dibocori skuad Los Charruas.

“Agak jelas bahawa Luis merupakan rujukan utama kami, pemain utama yang kami ada dan itulah rasanya. Tetapi itu bukanlah sebab utama kami tewas

“Kumpulan ini meninggalkan temasya ini dengan persembahan hebat. Bila kami memberikan segala-galanya, jiwa anda, hati anda dan anda memberikan diri anda untuk menyarung jersi itu, orang ramai akan berterima kasih dan rakyat Uruguay sentiasa berterima kasih,’’ kata ketua pasukan Uruguay, Dieogo Godin. - AGENSI




WORLD CUP 2014 - Algeria ingat dendam 1982


Jurulatih Algeria, Vahid Halilhodzic (tengah) mengambil bahagian dalam sesi latihan bersama pasukannya menjelang perlawanan menentang Jerman pada saingan kalah mati, awal pagi ini.

PORTO ALEGRE - Jika balas dendam ialah sebiji pinggan yang paling bagus disediakan ketika sejuk, Algeria akan berharap untuk menhidangkannya kepada Jerman dalam pertemuan mereka di peringkat 16 pasukan terakhir esok, 32 tahun selepas berlakunya perlawanan paling memalukan dalam sejarah kejohanan ini.

Bagaimanapun, Jerman kekal sebagai pasukan pilihan untuk menghentikan kemaraan skuad Desert Foxes itu. Tetapi ia mungkin tidak mudah untuk dilakukan.

Jerman, juara pada 1954, 1974 dan 1990, tiba di Brazil sebagai salah sebuah pasukan pilihan. Mereka telah membuktikan kemampuan mereka dengan membelasah Portugal 4-0 dalam perlawanan pembukaan tetapi hanya seri 2-2 dengan Ghana.

Mereka kemudian menundukkan Amerika Syarikat dalam perlawanan sengit yang menunjukkan mereka masih perlu diperbaiki di beberapa bahagian, walaupun Thomas Mueller sekali lagi membuktikan bahawa dia ialah penjaring yang hebat.

Algeria, yang dibimbing oleh Vahid Halilhodzic, jurulatih keturunan Bosnia dari Perancis, dan membawa harapan dunia Arab, telah meraih tumpuan menerusi corak permainan pantas dan kemahiran menggelecek.

Halilhodzic bagaimanapun berkata, semangat Algeria akan dipacu oleh ingatan mereka kepada kekecohan yang berlaku ketika Piala Dunia 1982.

Ketika itu, kemenangan kontroversi Jerman Barat ke atas Austria telah membuatkan Algeria tersingkir di peringkat kumpulan.

“Kami takkan lupa. Semua orang mengungkit cerita Algeria dan Jerman pada tahun 1982," kata Halilhodzic.

Algeria layak ke saingan Piala Dunia buat pertama kali di Sepanyol pada 1982, dan pernah menumpaskan Jerman Barat 2-1 ketika perlawanan pembukaan kumpulan mereka.

Skuad Desert Foxes menang dua dan kalah satu daripada tiga perlawanan, dan terpaksa bergantung kepada keputusan Jerman Barat dan Austria yang bertemu dalam perlawanan terakhir di peringkat kumpulan untuk memastikan mereka mara ke pusingan kedua.

Bagaimanapun, Jerman Barat menang 1-0 ke atas Austria sekali gus kedua-dua pasukan itu mara dan mengorbankan Algeria.

Pegawai Algeria melancarkan protes dengan mendakwa perlawanan itu telah dirancang, namun tuduhan itu tidak pernah dibuktikan.

Sehubungan itu, Algeria mahu membalas dendam ke atas Jerman esok.

“Tempoh 32 tahun memang lama. Saya sangat berbangga dengan pencapaian yang kami peroleh dan kami patut berada di sini.

“Saya rasa Algeria beraksi sebagai wira dan melayakkan kami ke peringkat kedua. Itu hak kami," katanya lagi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140630/sl_05/Algeria-ingat-dendam-1982#ixzz36kcotXrA  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - Cesar penyelamat Brazil


Penjaga gol Brazil, Julio Cesar (atas kanan) meraikan kemenangan bersama rakan sepasukannya dalam aksi penentuan sepakan penalti ketika menentang Chile pada pusingan kalah mati di Stadium Mineirao, Belo Horizonte, semalam. - REUTERS

BELO HORIZONTE - Penjaga gol, Julio Cesar memastikan harapan tuan rumah terus bersinar setelah menyelamatkan dua sepakan ketika penentuan penalti untuk membantu Brazil menang 3-2 ke atas Chile dan mara ke suku akhir untuk bertemu Colombia.

Penalti penentuan terpaksa dilaksanakan setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar dan tambahan.

Empat tahun lalu, Brazil menyingkirkan Chile dalam pusingan kalah mati, dan mengulanginya kali ini selepas Gonzalo Jara gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir setelah Cesar terlebih dahulu menafikan dua percubaan Chile sebelum itu.

Cesar, yang kemudian dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan itu, dikritik teruk ketika Piala Dunia 2010 selepas menjadi punca kekalahan kepada Belanda. Bagaimanapun semalam dia menyelamatkan gawangnya daripada asakan bertubi-tubi Chile.

David Luiz meletakkan Brazil di hadapan pada minit ke-18 namun Alexis Sanchez berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama dan pasukan tuan rumah di ambang penyingkiran selepas Willian dan Hulk masing-masing gagal menyempurnakan sepakan penalti setelah perlawanan dalam masa tambahan juga gagal memutuskan pemenang.

Namun nasib menyebelahi Brazil apabila Cesar menyelamatkan sepakan penalti oleh Mauricio Pinilla dan Alexis Sanchez sebelum Jara turut gagal menyempurnakannya.

“Sangat rumit kerana tekanan yang dirasai bermain di laman sendiri cukup besar. Kami beraksi dengan cemerlang pada babak pertama namun selepas Chile menyamakan kedudukan, mereka mengambil alih perlawanan.

“Rakan sepasukan sentiasa memberi sokongan dan kekuatan kepada saya kerana impian saya adalah untuk melihat Brazil berjaya menjulang trofi Piala Dunia di laman sendiri," kata Cesar, selepas berjaya mengelak kekalahan pertama Brazil di laman sendiri sejak 1975.

Bagi Chile, ini merupakan pengalaman pahit yang terpaksa ditelan walaupun mendapat petanda positif selepas berjaya menewaskan juara bertahan, Sepanyol pada peringkat kumpulan. Namun mereka gagal mengatasi sumpahan Brazil setelah tewas pada pasukan yang sama pada Piala Dunia 1998 dan 2010 di peringkat kalah mati.

Chile kelihatan tidak bermaya apabila membiarkan sepakan sudut oleh Neymar pada minit ke-18 ditanduk oleh Thiago Silva sebelum Jara cuba menyelamatkan gawangnya tetapi sepakannya kurang tepat dan bola mengenai Luiz dan melantun masuk.

Juara lima kali itu terus mengasak dan Neymar sepatutnya menambah gol kedua apabila meluru untuk melepasi kawalan tetapi sepakannya kemudian terkeluar.

Chile, bagaimanapun, menyamakan kedudukan 14 minit kemudian selepas mengambil peluang daripada kecelaruan antara Hulk dengan Marcelo dan Alexis yang mendapat umpanan di dalam kawasan gol dengan tenang menyudahkan peluangnya untuk membuatkan penyokong Brazil terpaku seketika.

Chile hampir memenangi perlawanan pada penghujung perlawanan apabila Pinilla menyaksikan percubaannya mengegarkan palang.

“Percubaan yang hampir masuk itu benar-benar menyakitkan kami. Jika kami membuat jaringan, kami akan mencipta sejarah. Kami begitu hampir dengan kemenangan," kata jurulatih Chile, Jorge Sampaoli kepada wartawan.

Luiz, Marcelo dan Neymar menyempurnakan sepakan penalti masing-masing dan walaupun Willian tersasar dan tendangan Hulk diselamatkan, Cesar menyelamatkan sepakan Pinilla dan Alexis.

Sepakan terakhir Chile yang dilakukan oleh Jara kemudiannya mengenai tiang, membuatkan stadium bergemuruh. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140630/sl_02/Cesar-penyelamat-Brazil#ixzz36kbr99oe  © Utusan Melayu (M) Bhd