Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 25 August 2015

MERDEKA : Tidak sehati sejiwa dalam sebuah negara



HASSAN MOHD. NOOR | 24 Ogos 2015 1:18 AM

BERBAKI satu minggu sahaja lagi untuk kita menyambut Hari Kebangsaan. Bagaimana agaknya rakyat Malaysia turut serta untuk menyemarakkan lagi sambutan tahun ini? Seperti tahun-tahun sebelumnya, kempen kibar Jalur Gemilang mengisi salah satu program. Setakat ini sejauh mana sam­butan yang diberikan? Pelbagai pendapat dilontarkan mengenai kibaran Jalur Gemilang semasa sambutan Hari Kebangsaan ini. Ada yang berpendapat semangat patriotik boleh ditunjukkan melalui kibaran Jalur Gemilang di premis masing-masing sama ada di kediaman atau pejabat. Begitu juga di kenderaan. Biar apa pun pandangan - patriotik atau tidak - bukan satu kesalahan bagi seseorang itu mengambil inisiatif meraikan sambutan ini dengan sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang. Tidak perlu menunggu Jalur Gemilang percuma. Bagi yang sudah saban tahun mengibarkan Jalur Gemilang, tidak perlu membeli yang baharu walaupun harga bendera itu tidak semahal sekotak rokok. Asalkan tidak koyak rabak atau terlalu lusuh, kibarlah Jalur Gemilang.

Selagi kibaran itu tidak mengganggu sambutan yang bertemakan Sehati Sejiwa (#sehatisejiwa), rakyat Malaysia digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang. Malangnya dalam ke­sibukan kerajaan Persekutuan mengadakan persiapan untuk sambutan kali ini, ada pihak yang seolah-olah melakukan provokasi yang mungkin boleh menjejaskan semangat perpaduan dan bersatu padu yang perlu ditunjukkan pada Hari Kebangsaan. Pertamanya melibatkan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP dan kedua, hasrat mengadakan perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini. DAP yang begitu bijak merangka slogan setiap kali pilihan raya umum (PRU) kali ini `meminjam’ slogan kempen/manifesto Barisan Nasional (BN) pada PRU 1982 iaitu Bersih Cekap Amanah (BCA). Pelik juga DAP yang pernah ‘menentang’ gagasan BCA melalui PRU kini meminjam slogan berkenaan. Tidakkah BN harus berbangga dengan pendirian DAP memilih slogan BN itu? Cuma dalam konteks menyambut Hari Kebangsaan ini, adalah lebih elok semua negeri memilih tema yang sama sebagai sebuah negara Malaysia bukannya meletakkan negeri sebagai sebuah negara. Jika mahu diadakan juga tema sendiri kenapa DAP tidak ambil sahaja prinsip urus tadbir kerajaan negeri itu iaitu Cekap Akauntabili, Telus (CAT) sebagai slogan? Burukkah slogan CAT? Pada masa yang sama, apa salah atau cacatnya Sehati Sejiwa? Tidak dinafikan bukanlah perkara baharu, DAP tidak ‘sehati sejiwa’ dengan beberapa sambutan yang diadakan di peringkat kebangsaan. Cuba selak kembali apa yang berlaku semasa sambutan Maulidur Rasul pada tahun 2010. Ketika itu timbul isu perarakan sempena sambutan itu. Sekejap batal, sekejap ada. Baru-baru ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyatakan, sejak menguasai Pulau Pinang, tema sambutan kemerdekaan tidak sama dengan kerajaan Pusat.

Tahun lalu, ketika kerajaan Pusat memperkenalkan tema Malaysia, Di sini Lahirnya Sebuah Cinta, DAP memilih Bersatu dan Maju. Tahun 2013 di Pulau Pinang memilih Negaraku: Selamat, Bersih, Hijau, Sihat sedangkankan di peringkat kebangsaan bertemakan Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku. Pada tahun 2012, negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang iaitu Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang, pada mulanya mempunyai tema yang berbeza tetapi akhirnya setuju dengan Sebangsa, Senegara, Sejiwa. Hanya Kedah kekal dengan 55 Tahun Merdeka Terus Berbakti dengan alasan pelbagai persiapan berkaitan tema sudah dibuat lebih awal. Mungkin ketika itu, pakatan pembangkang bimbang dengan tema kerajaan Pusat iaitu 55 tahun Merdeka: Janji Ditepati. DAP pada asalnya memilih Budaya Bersih Merdekakan Rakyat sebelum dipersetujui Sebangsa, Senegara, Sejiwa. Pada 2011 tema di Pulau Pinang, Kerajaan Berjiwa Rakyat Memartabatkan Rakyat berbanding di peringkat pusat 1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera; dan pada 2010 tema pilihan DAP ialah Merdeka berbanding 1Malaysia: Menjana Transformasi. Pada tahun 2008 dan 2009, kerajaan DAP bersama kerajaan Pusat memilih tema Perpaduan Teras Kejayaan dan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Amat malang jika Bersih yang menjadi tema Hari Kebangsaan DAP kali ini mempunyai maksud tersendiri ibarat sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Se­perti ada udang di sebalik batu. Benarkah pada peringkat awal temanya sekadar Bersih? Adakah ia tidak ada kaitan dengan perhimpun­an Bersih 4.0 yang akan diadakan serentak menjelang Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu? Amat malang apabila Jabatan Pendidikan Pulau Pinang mengarahkan pelajar-pelajar di negeri itu tidak mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kebangsaan disebabkan tema itu. Khabarnya pelajar-pelajar dari 17 buah sekolah terlibat dalam perarakan kali ini yang terpaksa akur de­ngan keputusan jabatan itu. Kasihan para pelajar yang sudah bersiap sedia mahu menyertai perarakan itu. Bagaimana jika ada sekolah yang enggan mematuhi arahan Jabatan Pendidikan Negeri itu? Apakah tindakan yang boleh diambil?

Kenapa dalam isu ini - tema Hari Kebangsaan - rakyat Malaysia perlu bertelagah? Pelik sangatkah Sehati Sejiwa yang menggambarkan keada­an hubungan yang sangat bulat dan sepakat? Tema ini mencerminkan roh ke­sepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rak­yat negara ini. Bagaimana kita mahu menunjukkan kepada rakyat erti perpaduan sebenar dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini sedangkan tema sambutan yang tidak sama itu menjadi isu? Satu perkara lagi kenapa tiba-tiba muncul idea mengadakan Bersih 4.0 selepas Bersih 1.0 (10 November 2007) Bersih 2.0 (9 Julai 2011) dan Bersih 3.0 (28 April 2012). Inilah yang menyebabkan keikhlasan kerajaan DAP memi­lih BCA menimbulkan keraguan.

Berbalik kepada Bersih 4,0, ia kononnya kesinambungan mani­festasi kesungguhan rakyat selamatkan Malaysia. Adakah kerajaan yang dibentuk hasil demokrasi sekarang tidak selamat? Selamatkah Malaysia jika puak-puak yang menganjurkan siri Bersih ini mendapat kuasa? Tindakan menganjurkan Bersih selama dua hari ini jelas boleh ‘mengganggu’ persiapan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka. Kenapa tidak dipilih sahaja tarikh lain atau pada hari yang sama tetapi di lokasi lain? Sambutan Hari Kebangsaan sudah pun bermula dengan kempen Kibar Jalur Gemilang. Pada tahun ini, di Dataran Merdeka, perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan akan menampilkan beberapa kelainan dan pembaharuan.

Salah satu pembaharuan ialah menyediakan 10,000 tempat duduk khas di Dataran Merdeka bagi ke­selesaan orang ramai. Sebelum ini, tempat duduk khas itu hanya untuk tetamu jemputan. Sudah tentu persiapan ke arah itu telah bermula begitu lama. Ibarat orang mahu mengadakan kerja kahwin di luar dewan. Sehari dua sebelum majlis berlangsung, perlulah memasang khemah dengan hiasannya serta menyusun kerusi meja untuk ke­selesaan jemputan. Bagaimana jika pada waktu malam menjelang hari bersejarah itu, tiba-tiba khemah yang dipasang dipukul ribut, habis kerusi meja melayang? Apakah perasaan tuan rumah yang mengendalikan majlis itu? Begitu juga dengan persiapan di Dataran Merdeka yang pasti akan terjejas. Menyelak kembali beberapa siri perhimpunan atau demonstrasi haram sebelum ini, banyak kerosakan harta benda awam berlaku. Perniagaan juga terjejas pada hari berkenaan apabila pemilik kedai di kawasan terlibat menutup premis perniagaan mereka lebih awal.

Apakah jaminan keselamatan yang boleh diberikan dalam tempoh dua hari itu? Terjaminkah segala ‘harta awam’ dan persiapan yang dilakukan di Dataran Merdeka tidak terusik walau sedikit pun sekiranya berlaku perhimpunan Bersih 4.0? Sekali lagi selaklah apa yang berlaku sebelum ini. Hormat dan hargailah penat lelah orang lain yang mahu menjayakan sambutan Hari Kebangsaan ini. Memang benar, perhimpunan itu tidak akan diadakan pada 31 Ogos tetapi seperti yang dinyatakan, lokasinya adalah di tempat yang sama sambutan Hari Kebangsaan akan berlangsung. Pengalaman lalu jelas menunjukkan perhimpunan seumpama itu tidak terkawal. Jika ini berlaku, sambutan yang boleh dijadikan salah satu produk pelancongan ini akan mendapat imej yang buruk di mata para pelancong. Hasilnya, adakah baik untuk negara? Ingatlah memang sukar untuk mendapat kemerdekaan tetapi amat mudah untuk meruntuhkan kemerdekaan. Rakyat Malaysia perlu sehati sejiwa menjaga kemerdekaan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/tidak-sehati-sejiwa-dalam-sebuah-negara-1.127835#sthash.hmHrm65x.dpuf


No comments: