MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 14 Julai 2015 1:51 AM
PENYERANG Selangor, Ahmad Hazwan Bakri (kiri) cuba melepasi halangan pemain JDT, Mahali Jasuli dalam aksi Liga Perdana di Larkin, semalam. – UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menghambat pendahulu Liga Super, Pahang selepas menumpaskan Selangor 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, semalam.
Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Selatan mengutip 31 mata selepas 15 perlawanan, dua mata di belakang Tok Gajah.
Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan bermula garang seawal sepak mula dan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi bekas bintang penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah.
Gol pertama dihasilkan menerusi gerakan satu dua antara Amri dan Luciano Figueroa, sebelum Amri mudah menewaskan penjaga gawang Red Giants, Mohd. Hamsani Ahmad.
Skuad kendalian Mario Gomez hampir menambah jaringan 10 minit berselang, namun kapten mereka Safiq Rahim gagal memanfaatkan lorongan cantik yang dilakukan Amri dari sayap kanan.
Perlawanan yang disaksikan 11,340 penonton berubah menjadi tegang apabila pengadil tidak memberikan sepakan penalti kepada JDT apabila Figueroa dikasari Mohd. Hamsani dalam kotak penalti.
Keadaan bertambah buruk apabila pengadil Samsudin Ibrahim melayang kad kuning kepada Jasazrin Jamaludin kerana melakukan terjahan keras pada minit ke-30 dan Safiq yang menjatuhkan diri dalam kotak penalti tiga minit kemudian.
Red Giants memperoleh gol penyamaan pada minit ke-45 menerusi sepakan percuma jarak jauh yang diambil Andik Vermansah, yang memperdayakan penjaga gol lawan, Mohd. Farizal Marlias.
Sebelum babak pertama berakhir, Figueroa meletakkan Harimau Selatan di depan selepas memanfaatkan hantaran lintang S. Kunanlan dengan melakukan tandukan deras menerjah gawang lawan pada masa kecederaan.
Bersambung babak kedua, perlawanan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan mengasak kubu lawan masing-masing.
Serangan bertali arus yang dilakukan Harimau Selatan berjaya membuahkan hasil apabila Figueroa menjaringkan gol keduanya menerusi sepakan percuma pada minit ke-77 menewaskan penjaga gol gantian, Muhd. Syamim Othman.
Figueroa hampir melengkapkan hatrik, namun tandukan pada minit ke-81 berjaya ditepis Syamim dan keputusan kekal ke wisel penamat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/selangor-tumbang-di-johor-1.113941#sthash.6WcUHls6.dpuf
No comments:
Post a Comment