Pilihan Malaysia tidak mahu tenggelam dalam ‘lautan merah’ di Bukit Jalil
FADHILUL IZMEL ISHAK DAN ROZAIDI ZULKIFLI | 24 Julai 2015 12:28 AM
DOLLAH SALLEH memerhatikan sesi latihan skuad Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam menjelang aksi persahabatan menentang Liverpool, malam ini. UTUSAN/IRWAN MAJID
KUALA LUMPUR - Walaupun Stadium Nasional, Bukit Jalil dijangka bertukar menjadi lautan ‘merah’ malam ini, namun Dollah Salleh tidak rela melihat Pilihan Malaysia tenggelam di tempat sendiri dan berazam untuk tidak menjadi mangsa belasahan gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool.
Dollah mengakui, berdepan Reds yang dibarisi ramai bintang antarabangsa bukan tugas mudah, tetapi dia tidak akan sesekali membiarkan skuad kendaliannya dibelasah teruk.
“Liverpool adalah pasukan yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana semua orang tahu mereka antara kelab gergasi dunia.
“Menghimpunkan beberapa pemain bertaraf antarabangsa sudah pasti mereka kuat kalau hendak dibandingkan dengan kita (Pilihan Malaysia). Mereka memang pasukan handalan.
“Bagaimanapun saya tidak mahu dalam pertemuan ini nanti kami dibelasah teruk oleh lawan.
“Saya tidak mahu kami menjadi pasukan belasahan. Apa yang penting kami mahu memberi saingan sengit kepada Liverpool kerana saya tidak mahu kami menjadi pelengkap jadual perlawanan mereka semata-mata.
“Saya lihat pemain bersemangat untuk menghadapi perlawanan ini. Semua orang tidak sabar menanti perlawanan kerana saya dapat melihatnya menerusi sesi latihan yang diadakan,” kata Dollah.
Mengulas lanjut mengenai persediaan pemain yang dilakukan dalam tempoh singkat, pengendali berusia 51 tahun itu tidak menafikan dia sedikit bimbang jika anak-anak buahnya gagal membentuk persefahaman dengan baik sewaktu perlawanan.
“Kami membentuk pasukan ini dalam tempoh yang singkat.
“Seperti yang semua sedia maklum, pemain sedang bercuti ketika saya memanggil mereka dan kami hanya sempat menjalani latihan empat hari, malah ada pemain yang berlatih bersama kami dua hari.
“Keadaan ini sudah pasti merisaukan saya sebab saya khuatir sama ada pemain dapat membentuk keserasian dengan baik sewaktu perlawanan atau tidak,” katanya lagi.
Dollah menyenaraikan skuad Pilihan Malaysia pada 19 Julai lepas bagi memulakan sesi latihan pertama mereka.
Bagaimanapun, pengendali Pilihan Malaysia itu tidak dapat membentuk pasukan terbaik kerana terdapat beberapa pemain yang enggan menyertai pasukan.
Keadaan bertambah malang lagi apabila Dollah terpaksa mencari pengganti pemain import PDRM, Dramane Traore pada saat akhir selepas penyerang Mali itu enggan beraksi atas alasan tidak berada pada tahap kecergasan terbaik.
Penyerang PKNS, Patrick Ronaldinho dipanggil menyertai Pilihan Malaysia, Selasa lalu untuk melengkapkan skuad Dollah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-jadi-8216-lauk-8217-8211-dollah-1.116207#sthash.ckI5TmJW.dpuf
No comments:
Post a Comment