Perdana Menteri pertimbang ambil tindakan undang-undang
HUSSAINI AMRAN
DAN AZMAN IBRAHIM | 06 Julai 2015 1:25 AM
Najib Tun Razak melawat tapak Lingkaran Lekas-Ecohill Link semalam. Turut hadir Johan Abd Aziz (dua, kiri). Link baharu itu dijangka dibuka menjelang akhir bulan ini, menghubungkan antara Kajang dan Rinching/Beranang. – BERNAMA
KUALA LUMPUR 5 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan dakwaan kononnya beliau mengambil dana kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai amat jahat.
Perdana Menteri berkata, keputusan tentang tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap pihak-pihak yang membuat tuduhan liar itu akan diputuskan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, perkara tersebut telah dirujuk kepada peguam-peguamnya sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Mereka akan memberi nasihat kepada saya tentang tindakan undang-undang yang boleh diambil di dalam serta luar negara.
“Insya-Allah saya akan buat keputusan dalam masa beberapa hari lagi tentang tindakan selanjutnya yang akan saya ambil terhadap dakwaan yang cukup jahat ini,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis berbuka puasa bersama orang ramai di Masjid Bandar Rinching, Semenyih dekat sini hari ini.
Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.
Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun peribadi Perdana Menteri.
Kelmarin, Perdana Menteri dalam kenyataannya antara lain menegaskan beliau tidak pernah mengambil dana 1MDB atau mana-mana entiti untuk kepentingan peribadi dan menyifatkan dakwaan palsu itu sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkannya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tuduhan-wsj-liar-dan-jahat-1.111034#sthash.O3TqqNX1.dpuf
No comments:
Post a Comment