Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 9 July 2009

Rakyat sengsara bila pemerintah tidak adil



DR. SAPORA SIPON
Universiti Sains Islam Malaysia


BENAR, bukannya senang menjadi pemimpin. Buktinya, banyak isu rakyat yang perlu mendapat perhatian pemimpin gagal diselesaikan oleh pihak yang digelar pemimpin untuk rakyat. Menuding jari kepada pihak lain dan mengharapkan pihak lain untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul adalah satu perbuatan yang tidak dapat diterima oleh rakyat.

Dalam menangani sebarang isu atau konflik, pemimpin yang bijak dan adil akan mencari jalan penyelesaian yang membawa kepada situasi menang-menang. Dalam situasi ini hanya yang ikhlas berjuang dan mencari jalan akan mencapai kejayaan.

Apa yang sering berlaku ialah pihak di atas, yang memegang tampuk kuasa adalah pihak yang akan menang. Pihak di bawah, sama ada rakyat biasa atau pekerja akan ditekan dengan pelbagai alasan yang dihalalkan serta munasabah oleh pihak yang berkuasa.

Kuasa seolah-olah satu magic yang membenarkan segala ketidakadilan berlaku. Kuasa menyebabkan pemimpin lupa akan keadilan yang perlu diamalkan.

Kuasa juga membenarkan orang yang disayangi mendapat segala keistimewaan. Kerana kuasa jugalah, pemimpin mendapat segala keistimewaan yang terlalu banyak sehingga melupakan penderitaan dan kesengsaraan rakyat/pekerja.

Undang-undang atau peraturan yang ada ditafsirkan mengikut jalan yang boleh memberi kemenangan kepada orang yang memegang tampuk kekuasaan. Segala masalah atau isu dilihat berpunca daripada rakyat, bukannya pemimpin.

Apakah kesan ketidakadilan pemimpin kepada rakyat jelata? Tentunya penderitaan dan kesengsaraan. Rakyat yang miskin, pekerja yang di bawah yang terpaksa menyerah seluruh kehidupan bekerja untuk mencari sesuap nasi semakin ditekan dan ditindas. Semakin menderita. Semakin tertekan.

Sering kali rakyat memikirkan, bilakah semua penderitaan dan ketidakadilan ini akan berakhir? Bilakah kepura-puraan pemimpin akan menemui titik noktahnya? Bolehkah pemimpin merasa empati dengan penderitaan rakyat?

Sukar untuk dijawab kecuali jika pemimpin sanggup muhasabah diri. Bolehkah pemimpin yang berkuasa melakukan itu semua? Tepuk dada, tanyalah selera.

Apabila selalu sangat ketidakadilan berlaku, rakyat atau pekerja merasa begitu tertekan, marah, benci sehingga akhirnya membentuk satu pegangan/kepercayaan bahawa hidup ini sememangnya ditakdirkan untuk menderita. Lalu, bagaimanakah rakyat yang ditindas ini dapat melalui kehidupan-kehidupan yang sukar?

Ramai yang mencadangkan supaya kita sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Segala cabaran dan dugaan hidup adalah ujian Pencipta untuk umat-Nya. Ada yang menggunakan kaedah berdaya tindak seperti mencari hobi untuk menghilangkan segala kemarahan.

Tetapi yang bahaya ialah apabila individu hilang akan kepercayaan tentang wujudnya konsep keadilan dalam kehidupan ini kerana sudah terlalu banyak menjadi mangsa ketidakadilan.

Bagi seorang pengundi, jawapannya mudah sahaja. Dia tidak akan mengundi pemimpin yang gagal bersifat adil dan melaksanakan tugas sebagai pemimpin dengan baik. Kerana itulah, wakil rakyat atau pemimpin yang dipilih perlu sentiasa mengotakan kata-katanya dan jangan alpa untuk bersifat adil.

Bagi seorang pekerja, apakah yang boleh dilakukan apabila ketuanya tidak bersifat adil atau berat sebelah? Selalu yang dilakukan ialah menderita dalam senyap kerana takut kesan buruk apabila bersuara. Mungkin dirinya menganggap selagi mana mampu untuk menderita dalam senyap, selagi itulah yang akan dilakukan. Jalan ini mungkin bukan yang terbaik boleh dilakukan.

Bila kita berada di atas, kita selalu lupa untuk melihat orang di bawah. Kita hanya memberi perhatian kepada orang yang pangkatnya berada di atas atau yang sama tahap dengan kita.

Pemimpin yang berkuasa selalu lupa untuk mendengar luahan orang di bawahnya. Mungkin pemimpin memikirkan mengapa mesti memikirkan mengenai nasib rakyat jelata atau pekerja bawahannya sedangkan mereka tidak akan menyumbang apa-apa kebaikan kepada kita?

Tidak dinafikan, ada pemimpin yang ikhlas dan adil bila bekerja. Diri mereka akan sentiasa berada di hati rakyat.

Buktikanlah bahawa sebagai pemimpin, memang benar-benar memahami denyutan nadi rakyat. Dengan memahami denyutan nadi rakyat/pekerja dan merasa keperitan dan penderitaan kehidupan mereka, pemimpin akan mengetahui bagaimana deritanya menjadi mangsa ketidakadilan pemimpin.

No comments: