Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 2 July 2009

Menanti robohnya Tambak Johor



Disunting dari ruangan Forum UM 2/7/2009


SAYA dan keluarga tinggal di Johor Bahru iaitu di kawasan Straits View. Boleh dikatakan rumah saya itu berdepan dengan Pantai Lido. Seiring dengan pembangunan Iskandar Malaysia, banyak projek yang dapat dilihat sedang dilaksanakan di sini.

Banyak jalan raya yang sedang dinaik taraf, pembinaan persimpangan bertingkat, pembinaan lebuh raya dan lain-lain lagi. Tidak lupa juga pembangunan di pesisir Pantai Lido iaitu dua projek mega, Danga Bay dan juga Lido Boulevard.

Namun bagi saya itu semua kurang bererti jika kualiti air di Pantai Lido berada di tahap yang rendah. Puncanya adalah Tambak Johor yang telah dibuka sejak tahun 1924 lagi.

Keperluan

Cadangan Kerajaan Malaysia dan Singapura yang ingin membina jambatan ketiga di timur Johor bagi saya bukanlah satu keperluan yang mendesak seperti keperluan untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor. Saya pasti ramai rakyat Malaysia dan warga Johor khususnya merasa sangat kecewa dengan pembatalan pembinaan Jambatan Indah/Bengkok ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tambak Johor perlu diganti segera kerana sekarang ia telah banyak mendatangkan keburukan. Antaranya:

n Menghalang laluan air antara Selat Melaka dan Laut China Selatan. Selat Tebrau sekarang ini ibarat menakung air sahaja dan banyak sampah-sampah terperangkap dan terapung-apung di Pantai Lido. Airnya juga kotor, berbau busuk dan tidak sesuai untuk aktiviti riadah. Teringat cerita datuk saya (berumur 86 tahun) yang memberitahu Selat Tebrau sebelum zaman merdeka dahulunya bersih dan menjadi tumpuan orang ramai mandi-manda.

Sekarang, jangankan hendak mandi, hendak cuci kaki pun geli kerana airnya yang kotor dan berminyak. Kualiti air antara Pantai Lido dan Stulang juga agak berbeza dan jika anda menggunakan Google Earth, cuba lihat perbezaan warna air antara bahagian kiri dan kanan Tambak Johor (imej satelit).

*Kesesakan lalu lintas di Tambak Johor sangat teruk. Warga Malaysia yang bekerja di Singapura mungkin sudah lali dengan kesesakan seperti itu tetapi sampai bila? Orang ramai lebih memilih untuk melalui tambak kerana tambak terletak di pusat bandar raya Johor Bahru berbanding laluan link kedua yang terletak di Gelang Patah. Dengan terbinanya jambatan baru yang lebih lebar dan selesa, jika tidak dapat menghilangkan kesesakan pun, pasti akan dapat mengurangkannya.

*Kapal-kapal dan bot-bot nelayan tidak dapat melalui Selat Tebrau. Jika dari Danga Bay hendak ke Stulang merentasi Selat Tebrau menaiki bot pun tidak boleh selagi wujudnya Tambak Johor ini.

Orang luar khususnya yang bukan warga Johor, selalunya tidak menyangka bahawa Singapura dan Johor sangat dekat jaraknya. Jika hendak dibandingkan Pulau Pinang dan Seberang Perai pun tidak sedekat itu. Rakan-rakan sekampus dari Kuala Lumpur yang pertama kali menjejakkan kaki di Johor Bahru dan berkunjung ke rumah saya pada cuti semester ini juga menyatakan perkara itu. Kesempatan yang ada saya gunakan dengan membawa mereka melancong ke Singapura. Ketika melalui Tambak Johor, spontan terkeluar perkataan dari mulut salah seorang rakan saya; “Eh, buruknya tambak ni rupa- rupanya. Air pun kotornya”.

Pencemaran

Saya terpaksa menjelaskan kepada mereka tentang sejarah Tambak Johor dan apa punca pencemaran di situ. Keadaan tambak yang usang jika hendak dibandingkan dengan kepesatan pembangunan Johor Bahru amat berbeza. Kami juga berjalan-jalan di Danga Bay. Semasa sedang duduk-duduk di tepi laut, angin bertiup dan membawa bau yang meloyakan tekak. Serta-merta kami meninggalkan tempat tersebut kerana tidak tahan bau busuk yang menusuk hidung.

Saya tidak tahu apakah halangan-halangan utama untuk membina jambatan baru itu. Adakah kita perlu meminta izin Singapura terlebih dahulu? Tindakan Singapura yang menambak tanah di negara berkenaan sehingga memberi kesan langsung terhadap kem-kem askar di perairan Johor dan pelabuhan kita tidak pula mengambil pandangan Malaysia terlebih dahulu sebelum melakukan penambakan tersebut. Kenapa selepas sahaja Tun Mahathir berhenti, tiba-tiba projek dibatalkan.

Banyak kebaikan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang dapat diperolehi daripada pembinaan jambatan baru tersebut. Antaranya:

*Mengembalikan kualiti air dan menghapuskan pencemaran bau di Selat Tebrau yang akan membolehkan hidupan akuatik membiak di situ.

*Kapal-kapal bersaiz kecil dan sederhana dapat melalui perairan Johor dari Selat Melaka ke Laut China Selatan dan sebaliknya tanpa perlu melalui selatan Singapura. Secara tidak langsung memendekkan masa perjalanan.

*Mengurangkan kesesakan di bandaraya Johor Bahru.

*Merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan.

*Menyediakan persekitaran pantai yang bersih dan siapa tahu satu hari nanti orang ramai boleh mandi-manda di Pantai Lido tanpa ragu-ragu.

*Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang yang menjadi saingan secara langsung kepada Pelabuhan Singapura akan mendapat banyak manfaat. Banyak lagi manfaat yang akan dapat dilihat kelak.

Saya amat berharap Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib dan Timbalannya yang juga warga Johor dapat merealisasikan hasrat kami untuk melihat jambatan baru dibina menggantikan Tambak Johor.

Kami lebih berharap untuk melihat jambatan ini terbina, bukannya jambatan ketiga. Jika kerajaan mahu membina jambatan ketiga, keempat, kelima atau keenam sekalipun binalah, tapi gantilah Tambak Johor terlebih dahulu.

Negeri Johor terkenal sebagai kubu kuat Barisan Nasional, tetapi semasa PRU12 tempoh hari, ada kawasan-kawasan yang jatuh ke tangan pembangkang mungkin sebagai reaksi kecewa terhadap pembatalan projek jambatan baru sebelum ini.

Sultan Johor juga pernah menitahkan “Tu causeway tu bukakan (robohkan Tambak Johor), baru negeri Johor ini maju”, semasa merasmikan projek Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) yang kini dikenali dengan nama Iskandar Malaysia, 4 November 2006 di Danga Bay. Baginda juga tidak berkenan dengan pembinaan jambatan ketiga yang dicadangkan sebelum ini. Nampaknya pandangan baginda Sultan selari dengan majoriti warga Johor.

Jika jambatan baru terbina sekalipun, janganlah sampai tergadai pasir dan ruang udara Malaysia kepada Singapura. Saya pasti Datuk Seri Najib bijak untuk mengutamakan rakyatnya selaras dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Moga kehendak rakyat Johor ini dapat dipandang serius dan berharap suatu hari nanti terbinalah tidak kira jambatan lurus ataupun bengkok bagi menggantikan Tambak Johor.

Akhir kata, saya ingin titipkan sedikit lirik lagu rakyat Johor yang terkenal iaitu lagu Tanjung Puteri yang menceritakan keindahan Selat Tebrau dan Pantai Lido:

Tambak Johor Tanjung Puteri,

Selat Tebrau airnya biru,

Di Pantai Lido tepian mandi,

Sepanjang masa di hari minggu.

Kini ia hanya tinggal sejarah.

Komen : Sebagai orang yang lahir dan dibesarkan di bandar Johor Bahru, saya memang menyokong 100% agar Tambak Johor di robohkan dan digantikan dengan jambatan yang lebih mesra alam. Apa yang penulis di atas luahkan adalah fakta yang tidak akan dapat disangkal oleh sesiapa pun melainkan oleh manusia2 yang ada kepentingan. Saya nak cerita sikit tentang Sg. Segget yang mengalir melalui Bandar Johor Bahru terus ke Selat Tebrau...airnya hitam dan penuh dengan sampah sarap, baunya meloyakan...tutup macam mana pun baunya takan hilang. Belum masuk kira tikus-tikus yang berkeliaran di sepanjang sungai tersebut...Kenapa kerajaan kita sanggup menjaga hati jiran yang semakin maju dan melukakan hati rakyat JOHOR yang ingin maju setanding Singapura...Sejarah tidak akan berubah dan dilupakan melainkan bagi orang-orang yang buta sejarah....

No comments: