Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 18 March 2016

PARLIMEN : Siasat Ketua Menteri P. Pinang

Dakwaan beli rumah pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran

MOHD. ASRON MUSTAPHA | 18 Mac 2016 1:45 AM



INILAH rumah Lim Guan Eng yang terletak di Jalan Pinhorn, Jelutong, yang didakwa dibeli pada harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran di Pulau Pinang. UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM



KUALA LUMPUR 17 Mac - Seorang penyokong kerajaan hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bagaimana Ke­tua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh membeli sebuah rumah di Jalan Pinhorn, Georgetown, dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.

Datuk Shabuddin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mendakwa, rumah dengan keluasan tanah 10,161 kaki persegi (943.99 meter persegi) tersebut dibeli Guan Eng pada 25 Oktober tahun lalu dengan harga RM2.8 juta, sedangkan harga pasaran semasa rumah berkenaan ialah dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta.

Dakwanya, rumah beralamat Nombor 25, Jalan Pinhorn itu pada mulanya dimiliki seorang wanita, Phang Li Koon yang membelinya pada Oktober 2008 dengan harga RM2.5 juta sebelum diubah suai membabitkan kos ratusan ribu ringgit, kemudiannya disewa Guan Eng dengar kadar RM5,000 sebulan sejak Julai 2009 dan akhirnya dibeli oleh Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut.

“Jadi persoalannya, saya nak tanya Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta (JPPH) di bawah Kementerian Kewangan, apakah logik sebuah rumah yang dibeli dengan harga RM2.5 juta dan setelah diubah suai melibatkan kos ratusan ribu ringgit hanya disewa dengan kadar RM5,000 sahaja sebulan?

“Sedangkan dalam masa yang sama, sebuah rumah lagi dalam jarak empat buah rumah dari rumah nombor 25 ini, telah dinilai dengan harga yang jauh lebih tinggi, sedangkan keluasan tanahnya cuma separuh daripada keluasan rumah nombor 25 ini tadi.

“Satu lagi persoalan ialah bagaimana rumah ini setelah di­sewa selama tujuh tahun, dijual kepada Bagan (Guan Eng) dengan harga yang begitu murah iaitu cuma RM2.8 juta,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selain isu pemilikan rumah tersebut, Shabuddin juga meminta SPRM menyiasat bagaimana Guan Eng boleh memberi kelulusan kepada penjualan lot tanah di Taman Manggis Fasa 2, George Town, bagi tujuan pembinaan hospital swasta dan hotel suite, sedangkan tanah itu sudah diperuntukkan ketika zaman Barisan Nasional (BN) untuk dibina perumahan rakyat termiskin.

Menurutnya, mengikut perancangan asal kerajaan BN sebelum tampuk pimpinan negeri terlepas kepada DAP, projek perumahan rakyat termiskin tersebut selepas dibangunkan akan disewakan de­ngan kadar hanya RM100 sebulan kepada rakyat termiskin di Pulau Pinang.

“Oleh kerana isu ini isu inte­griti dan juga isu perumahan rakyat termiskin di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari segi dasarnya, maka saya bangkitkan dalam Dewan Rakyat bagi mendapat penjelasan daripada menteri berkenaan dan SPRM,” katanya.

Dakwa Shabuddin lagi, Li Koon iaitu pemilik asal rumah Nombor 25, Jalan Pinhorn itu merupakan salah seorang pemegang saham dalam syarikat Windbond Mana­gement & Consultant Sdn. Bhd. dan syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC) yang diberi kelulusan untuk membeli tanah di Taman Manggis Fasa 2.

Bagaimanapun, pendedahan ser­ta desakan yang dibangkitkan Shabuddin itu mengundang kemarahan pemimpin pembangkang terutamanya wakil DAP yang secara berterusan cuba mengganggu perbahasan Ahli Parlimen Tasek Gelugor tersebut.

Paling awal menuntut Shabuddin menarik balik ucapannya ialah Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang mendakwa kenyataan itu sebagai tidak berasas sehingga mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat tetapi segera ditenangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.

“Tarik balik, apa sumber yang digunakan oleh Tasek Gelugor, dakwaan tidak berasas, kenyataan itu tidak berasas,” jerit Siew Fook sambil beberapa wakil pembangkang lain turut membuat bising termasuk mempersoal mengapa isu berkenaan dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Gangguan itu kemudiannya segera dibalas Shabuddin dengan berkata: “Apa salahnya? Hak saya sebagai Ahli Parlimen dan juga rakyat negeri Pulau Pinang ingin mendapatkan penjelasan, kalau tidak betul biarlah orang yang ber­kenaan menjawabnya.”

Namun penjelasan itu tetap ti­dak memuaskan Siew Fook, yang berterusan mempersoal mengapa isu tersebut dibawa ke Dewan Rak­yat dan bukannya Dewan Undangan Negeri (DUN) selain membangkitkan persoalan ketika pendedahan berkenaan dibuat Guan Eng tiada di dalam dewan untuk membela diri.

“Tadi saya dengar Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh berucap sebelum Shabuddin) pun macam-macam, saya biarkan. Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga tiada dalam dewan (ketika dilemparkan de­ngan pelbagai tuduhan),” jelas Ismail bagi menenangkan Siew Fook dan beberapa wakil pembangkang.

Penjelasan Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat itu tetap tidak dipedulikan pemimpin pembangkang antaranya Teresa Kok (DAP-Seputeh), Julian Tan (DAP-Stampin), Steven Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam), P. Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan), Gobind Singh (DAP-Puchong), Khalid Abdul Samad (PAN-Shah Alam) dan Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAN-Parit Buntar) yang berterusan membuat kecoh.

Kecewa dengan tindakan pembangkang yang berterusan mengganggu ucapan serta pendedahan yang dibuat Shabuddin, Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) mempersoal mengapa DAP dan rakan pakatannya mesti bersikap hipokrit dengan menjadikan isu remeh-temeh sebagai modal dalam usaha mempertahankan Guan Eng.

“Saya nak beritahu, apa yang dibangkitkan Tasek Gelugor ini pernah berlaku kepada bekas Menteri Besar Selangor (Dr. Mohamad Khir Toyo). Isunya mula-mula ditimbulkan dalam dewan selepas itu baru disiasat SPRM, sebab itu kalau betul isu ini berlaku, jika bekas Menteri Besar Selangor boleh diambil tindakan, kita minta SPRM siasat (Guan Eng).

“Mengapa semasa di DUN Sela­ngor boleh bangkit isu terhadap bekas Menteri Besar Selangor? Inilah perangai pembangkang, bila kena batang hidung sendiri mula sebut soal Peraturan Mesyuarat. Ini semua bukti hipokrit,” katanya.

Dalam pada itu, usaha pemberita termasuk Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan Guan Eng berhubung pendedahan Shabu­ddin gagal kerana sehingga Dewan Rakyat habis bersidang, Setiausaha Agung DAP itu tidak kelihatan.

Bagaimanapun, Guan Eng menerusi laman Twitter miliknya berkata, beliau akan menjawab perkara yang ditimbulkan Shabu­ddin dalam sidang akhbar esok.

Dalam reaksi ringkas kepada dakwaan itu juga, Guan Eng menambah, rumah berusia 40 tahun berkenaan adalah hartanah terpakai, bukannya dibeli menerusi pemaju.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/siasat-ketua-menteri-p-pinang-1.201832#sthash.wVO0BJkb.dpuf


No comments: