Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 21 March 2016

F1 2016 : Rosberg takluk Grand Prix Australia

Lakar kemenangan dalam perlumbaan dramatik

21 Mac 2016 12:16 AM



PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg (tengah) meraikan kejayaan muncul juara Grand Prix Australia selepas menewaskan rakan sepasukan, Lewis Hamilton (dua dari kiri) dan Sebastian Vettel dari Ferrari (empat dari kanan) di Litar Melbourne, semalam. AFP

MELBOURNE - Nico Rosberg memenangi perlumbaan sulung Formula Satu (F1) 2016 yang berlangsung penuh dramatik semalam, di mana kesilapan strategi tayar merosakkan peluang Sebastian Vettel untuk muncul juara Grand Prix Australia, manakala Fernando Alonso terselamat daripada kemalangan.

Rosberg melakar kemenangan ke-15 dalam kariernya dan yang keempat berturut-turut selepas turut memenangi tiga perlumbaan terakhir musim lalu.

Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas itu mengambil kesempatan atas permulaan buruk rakan sepasukan dan juara dunia, Lewis Hamilton, yang terpaksa menamatkan saingan di tangga kedua biarpun bermula dari petak pertama.

Juara dunia empat kali, Vettel terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga walaupun mendahului sebahagian besar perlumbaan selepas strategi penggunaan tayar agresif bertukar menjadi mendatar sebaik saja saingan dihentikan akibat kemalangan yang menimpa Alonso.

“Strategi memainkan peranan penting hari ini, jadi saya amat berterima kasih kepada pasukan kerana melakukan tugas dengan amat baik.

“Kami tidak menyerlahkan keupayaan sebenar jentera hari ini...Kami perlu memberi tum­puan kepada pasukan merah (Ferrari), mereka sudah semakin hampir dan anda boleh lihat,” kata Rosberg.

Ferrari memulakan perlumbaan dengan baik, di mana Vettel berjaya memintas dua pemandu Mercedes yang berada di baris depan pada selekoh pertama, malah rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen turut bermula lancar apabila memotong Rosberg untuk berada di kedudukan kedua selepas tayar kiri Rosberg terkena sayap depan Hamilton.

Vettel bagaimanapun tidak bernasib baik apabila perlumbaan dihentikan selepas pemandu McLaren, Alonso me­langgar jentera pelumba Haas, Esteban Gutierrez dalam kelajuan tinggi memasuki selekoh ketiga pada pusi­ngan ke-18.

Ketika perlumbaan berhenti, Mercedes memilih untuk menggunakan tayar sebatian sederhana untuk kedua-dua jentera, sementara Ferrari cuba bertindak agresif kekal menggunakan tayar paling lembut yang ternyata lebih pantas tetapi memerlukan mereka melakukan satu hentian pit menuju penghujung saingan.

“Jelas sekali, bendera merah tidak membantu kami.

“Kami cuba melakukan pemanduan agresif tetapi mungkin berdasarkan pengalaman lalu, kami patut mencuba sesuatu yang lain,” kata Vettel.

Pendatang baharu, Haas, pasukan Amerika Syarikat pertama ber­aksi dalam F1 sejak 30 tahun, meraikan mata pertama selepas pemandu Perancis, Romain Grosjean menamatkan saingan di tangga keenam, di belakang Daniel Ricciardo dan Felipe Massa.

Pemandu Red Bull, Daniil Kvyat antara enam pelumba yang gagal menamatkan saingan bersama pendatang baharu dari Indonesia, Rio Haryanto yang memandu buat pasukan Manor Racing. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/rosberg-takluk-grand-prix-australia-1.202737#sthash.m9VlJzyI.dpuf

No comments: