KUMPULAN Utusan bermula dengan penubuhan Utusan Melayu Press Limited yang

diperba­dan­kan di Singapura pa­da 1938. Akhbar sulungnya, Utusan Melayu, diterbitkan dalam tulisan Jawi dilancarkan pada 29 Mei 1939. Akhbar Utusan Melayu diterbitkan, tidak sekadar untuk memenuhi ke­perluan masyarakat Melayu yang ketika itu, majoritinya lebih celik tu­lisan Jawi, tetapi Utusan Melayu telah memainkan peranan yang jauh lebih besar lagi signifikan, berperanan sebagai pencanai minda serta jurubicara yang menyuarakan pendirian dan tuntutan bangsa.

Akhbar Utusan Melayu, berpera­nan penting sebagai medium yang telah mencetuskan kesedaran bang­sa, meniupkan semangat kebangkitan bangsa dan menggemakan suara bangsa hingga sampai ke cuping te­linga pihak berkuasa Inggeris. Utusan Melayu turut berperanan sebagai tapak semaian yang telah menunaskan daya pemikiran kritis di kalangan anak bangsa hingga berjaya menghasilkan angkatan pemikir, cendekia­wan dan inteligensia Melayu. Utusan Melayu juga adalah tempat yang turut menyalakan puntung-puntung perjuangan, lalu membara keberanian bangsa untuk bangkit menuntut kemerdekaan watan.

Amatlah pilu di hati, amatlah terhiris jantung bangsa, apabila akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi, terpaksa dihentikan penerbitannya atas timbangan yang diletak­kan di dacing perniagaan. Huruf dan tu­li­san Jawi, bersumberkan huruf yang terkandung di dalam kitab al-Quran, huruf dan tulisan Jawi telah lama berakar di bumi ini dan adalah sebahagian daripada budaya dan identiti bahasa Melayu, huruf dan tulisan Jawi mendapat tempat utama dalam persuratan Melayu, berperanan sebagai huruf yang digunakan dalam urusan surat-menyurat utama dan watikah penting Raja-raja Melayu dan kekal digunakan di istana sehingga hari ini. 

Amat menghibakan apabila huruf dan tulisan Jawi menghadapi nasib malang, terkubur tanpa nisan dengan pemberhentian penerbitan akhbar Utusan Melayu. Lebih meng­hibakan, apabila hayatnya di­tamatkan, bukan ketika negara diperintah oleh kuasa penjajah, tetapi akhbar Utusan Melayu dikuburkan tanpa talkin dalam sebuah negara merdeka, pada waktu bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, ketika orang Melayu masih memiliki kuasa politik dan pada waktu anak-anak Melayu yang terpelajar masih diberikan amanah menerajui pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang berjaya menunjukkan keuntungan besar kewangan. 

Nasib malang akhbar Utusan Melayu yang berakhir di liang lahad, adalah manifestasi yang membuktikan betapa lemahnya semangat jati diri Melayu untuk mempertahankan satu warisan bangsa dan manifestasi yang menunjukkan betapa tipisnya semangat nasiona­lisme yang menga­lir dalam darah bangsa. Utusan Melayu tidak hanya sebuah akhbar; akhbar Utusan Melayu ialah sebuah institusi bersejarah milik bangsa yang amat berjasa dalam memperjuangkan martabat bangsa. 

Begitu mudah bangsa melupakan jasa dan perjuangan sebuah institusi bersejarah, betapa mudahnya sikap kacang lupakan kulit berlaku hanya selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, dalam kalangan mereka yang sudah mendapat nikmat hasil daripada perjuangan akhbar Utusan Melayu. Bangsa begitu cepat lupa, bahawa kejayaan sebahagian besar daripada mereka pada hari ini, menjadi kapten pelbagai konglomerat, industri dan syarikat perniagaan, telah dijaguhkan oleh suara perjuangan yang digemakan oleh akhbar bertulisan Jawi itu. 

Ketika menghadapi hari-hari terakhir hayatnya, beta disembah maklumkan Utusan Melayu ketika memohon dan merayu untuk mendapatkan sokongan, telah dilayani bagaikan pengemis jalanan oleh cerdik pandai Melayu yang menjadi kapten pelbagai konglomerat, industri dan syarikat perniagaan, yang tidak langsung menunjukkan semangat mahu membantu, memberikan talian hayat untuk penerusan satu warisan bangsa yang amat berharga. 

Malah akhbar bertulisan Jawi itu, diperlekeh kerana dianggap tidak ada nilai komersial. Terkuburnya satu warisan bangsa, tanpa diberikan pembelaan, tanpa ditangisi, tanpa disedari malah tanpa dihiraukan dan dipedulikan, adalah satu tamparan yang sepatutnya menyedar dan menginsafkan bang­sa, betapa rapuhnya semangat daya tahan dan betapa tipisnya jati diri bangsa hingga tergamak membenarkan anak di riba mati tak makan.

Sejak ditubuhkan 78 tahun lalu, Kumpulan Utusan telah mengharungi perjalanan yang panjang dan telah mencipta pelbagai sejarah. Pada pagi ini, Kumpulan Utusan merintis inisiatif baru dalam hasrat dan usaha mahu melangkah ke hadapan dengan memperke­nalkan Anugerah Bisnes Utusan. Anugerah ini adalah satu lagi usaha berterusan Kumpulan Utusan untuk sama-sama mendukung wa­wasan negara ke arah membentuk sebuah komuniti idaman yang makmur lagi sejahtera.

Anugerah mengiktiraf penca­paian syarikat-syarikat perniagaan telah banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak dengan pelbagai tujuan. Penganjuran Anugerah Bisnes Utusan ini sekali gus menandakan ‘gergasi’ yang senantiasa wujud dalam Kumpulan Utusan Melayu kini kembali bangkit. Anugerah ini juga menandakan Kumpulan Utusan Me­­layu kini turut melangkah untuk melebarkan penglibatan Kumpulan dalam segmen perniagaan berpres­tasi tinggi, di samping tetap berusaha mengekalkan peranan sebagai penerbit akhbar berbahasa Melayu yang berwibawa dan berwawasan, yang akan terus memastikan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kekal terjamin dan tidak tergugat.

Berasaskan konsep, keanggotaan panel penilai, kriteria pemilihan dan senarai penerima ulung Anugerah ini, Kumpulan Utusan telah membuktikan bahawa ia adalah sebuah organisasi yang menghayati semangat satu Malaysia dan bukannya sebuah organisasi yang mengamalkan fahaman rasis. Kelantangan Utusan menyuarakan isu-isu berkaitan Melayu selama hari ini bukan perkara baru; kelantangan tersebut adalah satu penerusan dasar yang menjadi asas pegangan sejak penubuhannya. Peranan tersebut tidak bermakna dan sama sekali tidak boleh disimpulkan bahawa Utusan bersikap memusuhi dan membenci kaum-kaum lain. 

Semasa menzahirkan titah, bertemakan ‘Permuafakatan dan Perpaduan Nasional’ di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia pada 8 Julai 2013, Beta telah memetik contoh rencana tulisan Zaini Hassan membela Melissa Gooi yang dilaporkan, ditahan oleh pihak keselamatan untuk membantu siasatan kerana dikatakan menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam Facebook. Episod Melissa Gooi dan pembelaan Utusan Malaysia, meningkatkan keyakinan beta bahawa majoriti rakyat di negara ini tidak bersifat rasis; di sebaliknya mereka adalah insan-insan berjiwa rasional - berfikiran waras.

Susulan penahanan Melissa Gooi, Zaini Hassan telah menulis rencana yang diterbitkan di muka surat 11, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5 Jun 2013, bertajuk “Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah.” Zaini Hassan antara lain telah menyentuh perkara-perkara berikut; 

Petikan:

“Saya tidak salahkan Melissa Gooi yang mencetuskan kisah menghina Yang di-Pertuan Agong dalam Facebooknya. Sebenarnya Melissa dan rakan-rakan Facebooknya, Shuh Chien Loo, Hun Kiet Wong, Carol Tay yang berbicara mengenai titah Yang di-Pertuan Agong itu mungkin tidak kenal pun siapa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak tahu pun fungsi-fungsi Baginda...

...Kisah Melissa Gooi seharusnya menjadi satu teladan oleh kita semua, juga oleh Kerajaan BN yang diberikan mandat baru ...

...Bukan masa lagi mahu menongkat dagu memandang ke langit. Sesuatu harus dilakukan terhadap orang seperti Melissa yang semakin hari, semakin tahun, semakin dekad, semakin generasi, semakin bertambah...
...Ia memperlihatkan berlakunya fenomena kejahilan atau ignorant mengenai sistem kebudayaan kita, sistem kenegaraan kita yang menjalar kepada sistem Perlembagaan Negara kita...

Zaini Hassan selanjutnya menya­rankan:

Petikan:

Oleh itu, saya syorkan Kemente­rian Pendidikan mula memikirkan soal ini. Ia bukan soal hari ini sahaja, atau untuk penggal ini sahaja, tetapi untuk generasi rakyat Malaysia. Jika subjek Asas Perlembagaan, tidak diperkenalkan...maka selama itulah orang kita akan terus menerus mempertikai Perlembagaan Negara.

Saya berharap Kementerian Pendidikan dapat memikirkan perkara ini supaya tidak lagi melahirkan Melissa Gooi dan rakan-rakannya. Ajar subjek Asas Perlembagaan di semua aliran sekolah...”

Melissa Gooi ialah rakyat Malaysia berketurunan Cina; sementara Zaini Hassan, wartawan kanan, bukan sahaja berketurunan Melayu, berwajah Melayu, berdarah Melayu malah bertugas dengan akhbar Utusan Malaysia yang dilabelkan oleh sesetengah pihak sebagai akhbar yang meniup api perkauman. Zaini Hassan telah mencerminkan jiwa besar dan contoh semangat seorang Malaysian, secara tegas melahirkan pandangan kritis atas prinsip kebenaran, meskipun beta percaya, Zaini juga tidak kenal Melissa Gooi. Apa jua jenama negatif yang dilabelkan terhadap Utusan Malaysia, akhbar tersebut tidak melakukan diskriminasi untuk tidak menyiarkan rencana yang bernada membela situasi seorang anak gadis keturunan Cina. 

Kumpulan Utusan dan akhbar utama penerbitannya Utusan Malaysia kini semakin dijenamakan sebagai rasis; sengaja digembar-gemburkan oleh kalangan yang tidak senang dan oleh kalangan yang mempunyai agenda terancang, mahu menghapuskan persetujuan kontrak sosial yang telah dicapai oleh pendukung-pendukung utama ketika memformulasikan dasar-dasar utama untuk membentuk sebuah negara merdeka. 

Mereka semakin vokal mempersoalkan status pribumi negara ini dan turut melakukan pelbagai aktiviti subversif mahu menghapuskan kedudukan istimewa pribumi yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Mereka sebenarnya sedang menjolok sarang tebuan; mereka sedang menghasut warga untuk bermain api.

Anugerah Bisnes Utusan, diper­kenalkan dalam persekitaran dunia perniagaan dan keusahawanan yang kini bukan sahaja semakin kompleks dan mencabar tetapi tidak kurang juga semakin dicemarkan oleh pelbagai skandal salah laku urus niaga, menyentuh penipuan, pecah ama­nah, rasuah, penyeludupan, percukaian, ketirisan dan pelbagai lagi.

Oleh itu, Anugerah Bisnes Utusan hendaklah memiliki falsafah, mempunyai identiti dan mengan­dungi makna tersendiri; meletakkan statusnya sebagai anugerah yang dilandaskan kepada nilai-nilai murni, menghayati roh yang terkandung dalam ayat 85 Surah Al-Araaf yang antaranya bermaksud;

“Sesungguhnya telah datang kepada mu bukti yang nyata daripada Tuhan mu. Kerana itu sempurnakanlah takaran dan timbangannya, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang dan timbangannya, dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya...” 

Kriteria penilaian anugerah ini hendaklah memberikan penekanan kepada aspek-aspek amalan yang menghormati prinsip dan etika urus niaga yang murni, pada setiap masa menghormati undang-undang dan tidak meraih keuntungan besar secara menipu. Walaupun dinamakan Anugerah Bisnes, penganjur jangan kabur penglihatan, tenggelam dalam arus perniagaan hingga anugerah ini boleh dihanyutkan oleh matlamat komersial semata-mata. 

Di sebaliknya, anugerah ini hendaklah berperanan sebagai penanda aras, mendorong dan menggalakkan syarikat-syarikat menjunjung prinsip perniagaan yang beretika dan bermoral tinggi dengan mengamalkan budaya niaga secara tulus, telus, jujur dan benar serta mengamalkan budaya yang memberi perhatian (caring) kepada alam sekitar, kebajikan pekerja, kemajuan kerjaya dan latihan, serta program-program tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. 

Adalah penting untuk dipastikan, anugerah ini secara langsung atau secara tidak langsung, pada akhirnya akan berperanan sebagai penggerak membentuk nilai, moral, budaya dan etika yang berjaya mengimbangi kepentingan perniagaan untuk me­raih keuntungan dengan kepentingan memenuhi tanggungjawab sosial untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup masyarakat dan persekitaran secara lestari.

Negara ini adalah antara negara di rantau ini yang berjaya mencipta nama yang harum kerana kejayaannya merangka dan melaksanakan dasar secara bijak di samping menggubal dan menguatkuasakan undang-undang secara adil lagi telus. Dasar yang bijak dan udang-undang yang adil lagi telus telah membina keyakinan pelabur dan peniaga baik dari luar dan dalam negara untuk menjalankan urus niaga di bumi ini. 

Malaysia lalu diiktiraf di peringkat antarabangsa, dihormati sebagai sebuah negara contoh, menjadi negara pilihan di rantau ini untuk pelabur kerana sifat mesra pelaburnya. Berdasarkan laporan Bank Dunia 2016, daripada 189 buah negara yang dinilai, Malaysia berada di tangga ke-18 dari segi ranking kemudahan menjalankan perniagaan. Laporan yang sama turut mengiktiraf Malaysia kekal berada dalam kelompok 20 buah negara yang mesra menjalankan perniagaan.

Namun panas sehari boleh terhapus bila turunnya hujan pada se­­belah petang. Pada lazimnya, usaha membina nama baik dan usaha membina keyakinan, memakan masa yang panjang; sementara perbuatan yang merosakkan nama baik dan meruntuh keyakinan boleh berlaku dalam tempoh sekelip mata, hanya disebabkan tersilap perhitung­an atau tersalah perkiraan. Indeks Persepsi Rasuah 2015 oleh Transparency International, meletak­kan negara hanya mencapai skor 50 daripada 100 markah dan negara berada pada ranking ke-54 daripada 168 buah negara yang dinilai.
 
Rasuah adalah isu penting yang wajib ditangani dengan segala ke­sungguhan melalui langkah-langkah tegas oleh pelbagai agensi yang bertanggungjawab, tanpa gentar – tanpa pilih kasih. Kebenaran yang berpaksikan undang-undang wajib ditegakkan, tanggungjawab kepada Allah SWT dan tanggungjawab kepada negara hendaklah berada di atas tanggungjawab terhadap mana-mana kumpulan atau individu. 

Rasuah adalah barah yang dikatakan sedang merebak dalam batang tubuh negara; rasuah bagaikan anai-anai yang sedang membusut besar dan semakin mereputkan tonggak-tonggak utama negara. Masakan po­kok semakin bergoyang, jika tiada angin yang meniupnya. Kegagalan memerangi dan kegagalan memban­teras rasuah secara serius, secara bersungguh, secara berkesan, secara komited, dibimbangkan berpotensi melumpuhkan negara dan rakyat ke­seluruhannya, terpaksa membayar dengan penderitaan dan keseng­saraan seperti yang dialami oleh rak­yat di kebanyakan negara mundur. 

Kumpulan Utusan melalui bahan-bahan penerbitannya hendaklah berperanan aktif membantu membina sebuah pentadbiran dan sebuah negara bangsa yang sifar rasuah. Salah laku rasuah hendaklah dilaporkan tanpa memihak, tanpa gentar – tanpa berat sebelah, kerana rasuah ialah rasuah walau siapa juga yang melakukannya. Warga perlu diasuh dengan budaya yang benci rasuah dan menolak pemimpin yang me­lakukan rasuah. Warga perlu dididik untuk memandang rasuah dengan rasa amat jijik. Ruangan yang me­ningkatkan kesedaran tentang ra­suah hendaklah disediakan. 

Contoh tokoh-tokoh yang bersih rasuah boleh dijadikan teladan sementara kisah-kisah pemimpin yang melakukan rasuah boleh dijadikan sempadan. Memerangi rasuah hendaklah dijadikan satu perjuangan – satu jihad. Adalah menjadi tanggungjawab fardu kifayah dan tanggungjawab kenegaraan untuk setiap warga berperanan aktif memelihara negara daripada terjerumus ke lembah kehinaan.

Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada mereka yang telah diperakukan layak menerima anugerah pada pagi ini. Beta menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur yang telah merintis inisiatif ini, begitu juga apresiasi beta kepada panel penilai yang telah memenuhi tugas masing-masing.

Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, beta mengisytiharkan pelancaran Anugerah Bisnes Utusan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/menjunjung-urusniaga-beretika-1.196117#sthash.37xLrSDT.dpuf