Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 4 June 2009

Pegawai kanan UiTM 'bina semangat'








Kakitangan pengurusan tertinggi UiTM mendengar taklimat mengenai 'survival' dalam hutan daripada pegawai Kem 4 Rejimen Renjer Diraja, Oran, Perlis.

Oleh marzita abdullah

Buat julung kalinya, kakitangan pengurusan tertinggi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari seluruh negara dihimpunkan untuk menjalani program bina semangat iaitu Program Setiakawan Pengurusan Tertinggi UiTM di Wang Burma, Perlis, baru-baru ini.

Selama empat hari tiga malam, kira-kira 42 kakitangan tertinggi yang terdiri daripada dekan-dekan fakulti, pengarah cawangan dan ketua-ketua bahagian UiTM berkumpul di Taman Negeri Perlis itu.

Walaupun kebanyakan mereka pernah melalui pengalaman seperti ini namun pengalaman kali ini memberi kesan yang amat mendalam kepada para peserta.

Pengalaman selama kira-kira 20 minit dalam keadaan gelap gelita tanpa sejalur pun cahaya di dalam Gua Wang Burma disulami dengan tazkirah tentang kematian amat menyentuh hati setiap mereka yang mengikuti ekspedisi ini.

Ketua Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM, Mazlan Salleh berkata, program kali ini memberi pengisian rohani yang sangat berkesan.

"Apabila semua lampu yang dibawa dipadamkan di dalam gua itu, keadaan terlalu gelap sampaikan saya tidak nampak tangan sendiri dan selama 20 minit kami merasakan seperti berada di alam kubur," katanya.

Dengan suara jerkahan pegawai agama UiTM yang memimpin tazkirah, suasana semakin menakutkan malah ada yang menangis mengingatkan kematian.

"Masing-masing teringat kalau waktu itu memang kami sudah mati, memang tidak sempat hendak berbuat baik kepada kawan mahupun kepada organisasi ini sekali gus membuatkan kami merasa takut dan berazam untuk tidak berbuat salah apabila bertugas nanti," katanya.

Sebagai orang yang pertama dalam kumpulannya yang memasuki gua itu, beliau juga perlu membantu rakan-rakan yang menghadapi kesulitan untuk membolosi ruang gua yang kecil serta membantu mereka yang pada mulanya merasa takut.

Selama empat hari bersama-sama dengan semua kakitangan pengurusan itu Mazlan berkata, hubungan mereka semakin rapat.

"Walaupun saya sudah bertugas selama 24 tahun di universiti ini tidak semestinya saya mengenali secara dekat semua kakitangan tetapi kali ini kami dapat menjalin hubungan yang lebih mesra dan mengetahui lebih banyak tentang latar belakang diri dan keluarga masing-masing," ujarnya.

Beliau juga mencadangkan agar semua kakitangan UiTM mengikuti program ini terutama kepada mereka yang pertama kali menyertai program sedemikian.

Namun beliau berharap kakitangan yang akan menyertai program sedemikian menjalani latihan kecergasan agar fizikal masing-masing tidak merasa 'terkejut' dengan rutin ekspedisi ini.

"Yang penting mereka kena menanamkan rasa percaya bahawa mereka boleh buat apa sahaja yang belum pernah dibuat selama ini dengan teknik yang betul," katanya.

Pengarah Jaminan Kualiti Akademik, Prof. Madya Roziah Mohd. Janor berkata, memasuki gua adalah pengalaman pertamanya dan beliau mengakui tidak membuat persediaan fizikal, menyebabkan beliau hampir patah semangat untuk meneruskan ekspedisi ini.

"Melalui jalan di dalam gua yang sempit saya cuba meloloskan diri dengan bantuan rakan-rakan akhirnya bila lepas sahaja, saya melihat kekuasaan Tuhan yang sungguh menakjubkan dalam gua itu," katanya.

Menurut beliau, pengalaman ini boleh dikaitkan dengan kerja sehariannya bahawa manusia hanya merangka strategi tetapi hasilnya belum pasti dan walaupun seseorang itu hanya orang biasa tetapi apabila berkumpul dan bersatu akan menghasilkan kejayaan.

"Semasa berada di kem tentera banyak maklumat tentang kemahiran hidup dalam hutan dikumpul dan sebenarnya banyak hasil dalam hutan boleh dimakan.

"Malah kita tidak akan mati sebab tidak makan bila berada di dalam hutan," katanya.

Walaupun keputusannya menyertai program ini dibuat pada saat-saat akhir namun Roziah merasakan pengalaman ini sangat berbaloi.

Dalam pada itu, sejurus ekspedisi ke Gua Wang Burma, keesokan harinya para peserta menyertai pertandingan menembak di lapang sasar Genting Kabu, Sg. Batu Pahat.

Mereka kemudian dibawa untuk mengalami sendiri kemahiran survival dalam hutan di Kem 4 Rejimen Renjer Diraja, Oran, Perlis. Sebelah malamnya mengikuti ceramah oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai Keselamatan Negara dan Ancaman-Ancamannya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, setiakawan amat penting dalam pengurusan universiti terutama melalui semangat kekitaan.

"Jatuh bangun kita perlu bersama-sama namun masih banyak yang perlu diperbetulkan untuk menjadikan UiTM sebagai universiti penyelidikan dan universiti bertaraf dunia," katanya.

Untuk itu kata beliau, semua warga UiTM perlu memahami sepenuhnya wawasan UiTM apatah lagi universiti ini mempunyai bilangan kampus yang banyak di seluruh negara.

"Justeru, saya memberi sepenuh kepercayaan kepada semua Pengarah kampus dan dekan untuk menguruskan kampus masing-masing," katanya.

Namun beliau menegaskan bahawa kakitangan UiTM belum memberi 100 peratus tenaga, kekuatan dan komitmen malah katanya masih ada lagi kekuatan yang disimpan dan tidak ditonjolkan.

Menurut beliau, budaya lama Institut Teknologi Mara (ITM) perlu dihapuskan kerana pada masa ini UiTM sebagai sebuah universiti perlu memfokuskan kepada usaha-usaha penyelidikan.

Ibrahim percaya seramai 8,000 kakitangan akademik dapat melakukan yang lebih lagi untuk UiTM di samping menghasilkan pelbagai penerbitan dan jurnal.

No comments: