Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 30 June 2009

1Malaysia penyelesai isu rakyat, bukan debat



Surat kiriman Pembaca dari Berita Harian


ORANG tua sering mengingatkan kita melalui pepatah, 'terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata buruk padahnya'. Inilah yang terjadi kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, apabila mengaitkan Umno dengan komunis dan ajaran sesat pada ceramah politik pada 21 Jun lalu di Kampung Laloh, kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kuala Krai.

Beliau menyamakan perjuangan Umno seperti ajaran sesat Ayah Pin dan mempunyai ideologi sosialis kerana menolak agama dan prinsip ketuhanan. Meskipun kenyataannya satu kiasan atau perumpamaan tetapi kenyataan itu mengelirukan pemikiran rakyat terutama pengundi di pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini.

Hal demikian ini tidak wajar kerana beliau juga pernah bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Kelantan pada 1967 dan 1974 ketika Pas bersama BN dulu apatah lagi Pas pun parti politik seperti Umno.

Tuduhan beliau keterlaluan dan tidak wajar diucapkannya selepas 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan. Apalagi usianya yang lanjut seharusnya menjadi teladan kepada pemimpin pelapis membawa imej warak dan pemimpin besar yang mengutamakan rukun negara kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Tok guru yang hebat mengajar agama dan pemain politik lincah yang tidak percaya kepada pengertian kebangsaan, malah menafikan pelbagai rupa bangsa di alam maya baik Melayu, Arab, Eropah, Cina dan sebagainya untuk saling mengenal kecuali yang beriman dan bertakwa mendapat kemuliaan di sisi Allah. Sekali gus menolak watak Melayu yang dicatat dengan tinta emas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Idea gagasan perpaduan yang dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disokong Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa membangkitkan kemarahannya dan beliau amat emosional hingga mengusir dan memaksa Timbalan Presiden parti agar meletakkan jawatan dan masuk Umno.

Beliau mungkin menyedari kesilapan lalu selepas Pemuda Umno negeri membuat aduan polis kerana didakwa wujud unsur hasutan dan mencetuskan ketegangan dan perbalahan sesama sendiri.

Menyedari hakikat itu beliau mengalih fokus dengan menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno untuk mengadakan debat terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama antara Umno-Pas.

Namun, cadangan beliau tidak membantu meleraikan kekusutan, malah reaksi dan persepsi orang ramai bahawa beliau sudah melepasi tempoh bersara daripada medan politik.

Elok kalau Najib tidak melayan ajakan Nik Aziz kerana muzakarah, muqabalah dan mujadalah adalah istilah Arab yang sukar difahami umat Melayu. Perdamaian antara Umno dan Pas dicetus sekian lama melalui muzakarah. Idea yang dicadangkan Pas, iaitu perundingan bagi mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua parti itu untuk kebaikan negara dan rakyat.

Namun, usaha itu digagalkan segelintir pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am sendiri yang dianggap ulama paling tinggi dalam parti. Malahan kewujudan Umno dan Pas suatu kelainan politik yang sepatutnya terarah kepada pembinaan umat Melayu Islam yang maju dan makmur di bumi Malaysia ini.

Kelantangan Nik Aziz membantah sehingga beliau mencadangkan muqabalah yakni perbincangan tanpa syarat dengan Umno. Kini atas kapasitinya sendiri mendesak Perdana Menteri mengadakan debat pula.

Lantaran itu, debat tidak wajar kerana pemainnya akan membidas dan menggodam lawan habis-habisan dengan memanipulasi baik bahasa Quran dan hadis mahupun bahasa Urdu dan Sanskrit, malah bahasa politik macam 'menegak benang basah' yang sukar difahami orang kebanyakan.

Sebaliknya tetapkan matlamat menyelesaikan masalah umat dan rakyat melalui 1Malaysia bermaksud sebuah kewarganegaraan, satu impian dan satu negara. Justeru, khalayak tidak mudah tertipu dengan mainan politik melampau dan retorik yang mengelirukan dan merugikan pengikut parti dan negara.

ZULKEFLEE YAACOB,
Kota Bharu, Kelantan
.

No comments: