Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 11 August 2014

PALESTIN : Israel lancar serangan semula ke Genting Gaza


Kanak-kanak Palestin, Ibrahim al-Dawawsa, 10, menjadi korban kekejaman Israel pada hari pertama serangan rejim itu di kawasan perumahan Sheikh Radwan di utara Gaza City, semalam, selepas tiga hari gencatan senjata dilaksanakan. - AFP

GAZA CITY 8 Ogos - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terbunuh, manakala enam yang lain cedera selepas tentera rejim Israel melancarkan serangan udara ke Sheikh Radwan, utara Gaza sejurus selepas gencatan senjata selama 72 jam tamat hari ini.

Kementerian Dalam Negeri Palestin melaporkan, pesawat pejuang tentera Israel menyasarkan bandar Jabaliya, Gaza City dan bahagian tengah wilayah berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan beribu-ribu penduduk Palestin bertindak meninggalkan kediaman masing-masing di Gaza City ekoran bimbang menjadi mangsa bedilan selepas gencatan senjata berakhir pada pukul 8 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia hari ini).

Terdahulu, kumpulan pejuang Hamas menyambung semula serangan balas ke atas wilayah jajahan Israel, selepas rundingan damai antara wakil Palestin dan rejim Zionis di Mesir gagal mencapai persetujuan untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata.

Hamas melaporkan telah melancarkan 18 roket ke arah selatan Israel, namun dua daripadanya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome milik rejim itu.

Sumber keselamatan Israel berkata, serangan terbabit menyebabkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Ben-Gurion, Tel Aviv terpaksa ditangguhkan selama 45 minit.

Tiada kematian dan kemusnahan dilaporkan oleh media Israel akibat serangan itu.

Hamas meneruskan serangan balas itu sebagai membela kematian 1,873 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sepanjang 29 hari operasi Israel selain mempertahankan maruah bumi Palestin yang dijajah oleh rejim Zionis sejak 1967.

Wakil Hamas ke Mesir, Izzat Risyq mengulangi pendirian bahawa gencatan senjata tidak akan dite-ruskan jika syarat yang dituntut tidak dipenuhi oleh Israel, tetapi beliau menegaskan pergerakan Pa-lestin itu sedia meneruskan rundingan di Kaherah.

Media Israel pula melaporkan, wakil rejim Zionis telah meninggalkan meja rundingan di Mesir dan pulang ke Tel Aviv selepas perbincangan selama tiga hari untuk menamatkan konflik di Gaza gagal menemukan jalan penyelesaian.

Bagaimanapun wakil kerajaan Mesir yang menjadi orang tengah dalam isu itu, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kegagalan mendamaikan pertelagahan antara Hamas dan Israel. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140809/lu_03/Israel-lancar-serangan-semula-ke-Genting-Gaza#ixzz3A2l9kZ6h  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Jadikan sekolah vernakular satu aliran - NGO


KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kira-kira 400 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan agar kerajaan menjenamakan semula sekolah vernakular di negara ini kepada Sekolah Kebangsaan 1Malaysia.

Penjenamaan semula itu menurut mereka akan dapat memperkukuhkan perpaduan antara kaum di Malaysia berpandukan kepada peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Negara melalui sistem pendidikan yang mantap demi masa depan semua.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kesemua NGO berkenaan juga mencadangkan agar satu jawatankuasa Kabinet ditubuhkan segera bagi membolehkan kerajaan menjalankan kajian mendalam dan terperinci mengenai saranan menjenamakan semula sekolah vernakular.

"Cadangan kami ini juga adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menekankan aspek pendidikan yang perlu bermula dari sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

"Dalam konteks ini, kesatuan dalam sistem pendidikan haruslah bermula di peringkat prasekolah agar PPPM 2015/2025 menjadi realiti," katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah wakil beberapa NGO iaitu Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin, Presiden Suara Guru Masyarakat Malaysia, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari dan Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib.

Nadzim berkata, kerajaan perlu memandang serius persepsi rakyat yang melihat kewujudan sekolah vernakular di Malaysia sebagai sesuatu yang sudah tidak relevan dan lapuk di samping menjadi batu penghalang utama kepada penyatuan sistem pendidikan kebangsaan.

"Ia juga dianggap sebagai ancaman kepada perpaduan kaum yang menjadi tonggak terpenting kepada kestabilan dan keharmonian negara.

Sementara itu, Abdul Raof yang juga merupakan bekas pendidik serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran berkata, soal perpaduan antara kaum berdepan dengan cabaran sekiranya sekolah vernakular terus wujud di negara ini.

Katanya, usaha beberapa pihak yang mahukan sekolah vernakular diganti dengan sekolah kebangsaan adalah langkah murni dengan satu matlamat iaitu meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang dilihat semakin menjurang pada masa kini.

"PPPM yang dirangka sudah cantik. Namun masih ada kumpulan yang tidak bersetuju dengan matlamatnya yang tidak lain adalah demi mengeratkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum kita.

"Desakan kita ini juga sebenarnya bukan mahu berkonfrontasi tetapi lebih kepada mencari penyelesaian secara baik terutama melalui perbincangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran berbanding menambah bilangan sekolah vernakular," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nor Izzat yang merupakan seorang guru berkata, pelaksanaan sekolah satu aliran sebenarnya akan dapat membantu pelajar menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik.

"Adalah diakui bahawa penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar sekolah vernakular lemah," katanya.

Dzulkarnain dalam pada itu berkata, pihak NGO terlibat akan menubuhkan satu sekretariat bagi menilai semula sistem sekolah vernakular itu.

Katanya, sekreteriat yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat itu akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk bertemu dengan pihak kerajaan untuk mencadangkan berhubung perkara tersebut.

"Kami akan berjuang habis-habisan melalui cara yang sederhana dalam isu ini. Sistem persekolahan vernakular pada hari ini perlu dikaji dan dinilai semula dengan penuh teliti," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140809/dn_15/Jadikan-sekolah-vernakular-satu-aliran---NGO#ixzz3A2UXJMcE  © Utusan Melayu (M) Bhd 

Elak terlibat agenda mana-mana parti politik


TUANKU Sharafuddin Idris Shah bersama Addul Khalid Ibrahim (lima dari kiri), Ahmad Zaharin Mohd. Saad (lima dari kanan) bergambar bersama pegawai kanan JAIS sempena Majlis Ramah Mesra Sultan Selangor Bersama Warga Kerja Jabatan Agama Islam Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM 8 Ogos - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diminta mengelak daripada terlibat dalam mana-mana parti politik bagi memastikan tumpuan serta fungsi kedua-dua institusi itu dalam memartabatkan agama Islam di negeri ini tidak dicemari dengan agenda pihak tertentu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ketika ini terdapat segelintir ahli politik yang mahu mengambil kesempatan untuk mempergunakan MAIS dan JAIS untuk mencapai agenda politik mereka.

"Beta tidak mahu perkara ini berlaku di Selangor. Beta mahu agar semua pihak di MAIS dan JAIS mengelakkan diri dari terlibat dalam agenda politik mana-mana parti sekalipun.

"Beta mahu JAIS dan MAIS kekal sebagai institusi yang berkecuali dan menumpukan fungsinya dalam memartabatkan agama Islam di Selangor yang beta kasihi ini," titah baginda pada Majlis Mengadap Sultan Selangor oleh Kakitangan JAIS di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Yang turut hadir mengiringi baginda pada majlis itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi; Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dan Pengarah JAIS, Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Terdahulu, dalam titah berkenan, baginda turut mengingatkan JAIS supaya mempunyai satu prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dan kemas bagi memastikan hanya mereka yang melakukan kesalahan di bawa ke muka pengadilan selain tidak bertindak secara kasar serta keterlaluan termasuk mengenepikan hak seseorang individu di bawah undang-undang.

"Prosedur yang teratur ini penting bagi memelihara nama baik JAIS kerana terdapat golongan tertentu yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mempertikaikan setiap tindakan dan kredibiliti JAIS dalam menjalankan tugas," titah baginda.

Selain itu, Sultan Sharafuddin juga mahu JAIS bertindak dalam lingkungan tugas yang melibatkan kesalahan terhadap isu agama Islam sahaja tanpa menganggu tugas serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti penguatkuasaan terhadap rumah-rumah urut dan sebagainya bagi mengelak tohmahan terhadap jabatan itu.

"Beta menasihatkan supaya JAIS memberi penekanan yang lebih kepada penguatkuasaan kes yang lebih berat dan penting seperti kes melibatkan ajaran agama Islam, isu murtad, ceramah tanpa tauliah dan ceramah politik di masjid dan surau yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam dan merosakkan akidah serta menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.

"JAIS juga perlu memberi penekanan kepada orang ramai mengenai fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan teras aliran kepercayaan orang Islam di negara kita," titah baginda.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140809/dn_14/Elak-terlibat-agenda-mana-mana-parti-politik#ixzz3A2SAfrFB  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : KALAU NAK BERPOLITIK SANGAT BERHENTI KERJALAH...

Urus jenazah MH17 ke persemadian

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my

MOHD. Shafie Apdal (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jenazah Mangsa MH17 di Putrajaya, semalam. Turut sama Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) dan Ibrahim Muhamad (kiri). - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 8 Ogos - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menyelaraskan penghantaran jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke tempat pengebumian atau persemadian terakhir masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya akan menguruskan proses penghantaran itu ke beberapa kawasan yang telah dikenal pasti antaranya di Selangor, Putrajaya, Perak, Kedah, Sarawak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, semua mayat tersebut kemudian akan diberi penghormatan oleh pemimpin tempatan dan kerajaan negeri selepas tiba di kawasan pengebumian masing-masing.

"Kementerian ini akan membantu proses pengebumian di peringkat negeri misalnya di Sarawak, Kedah, Perak dan sebagainya dengan baik dan penuh penghormatan seperti yang dikehendaki oleh keluarga mereka.

"Sekiranya jenazah atau mayat terbabit hendak dihantar terus ke Kuching atau Miri, Sarawak selepas tiba di KLIA kita juga akan bertindak sebagai penyelaras bagi proses tersebut.

"Jika ada mayat bukan Islam yang anggota keluarganya inginkan upacara persendirian dan hendak ia dihantar terus ke Taman Peringatan Nirvana, sampai di KLIA kita akan laksanakan permintaan tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jenazah Mangsa MH17 di pejabatnya di sini hari ini.

Mesyuarat itu adalah susulan mesyuarat pertama Jawatankuasa Koordinasi Persediaan Pelaksanaan Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad.

Bagaimanapun, kata Mohd Shafie, urusan berkenaan bergantung kepada permintaan keluarga ke mana jenazah tersebut ingin dibawa.

Pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara (SAM) di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu dan mengorbankan 298 nyawa dengan 43 daripadanya merupakan penumpang serta anak kapal warga Malaysia.

Menurut Mohd Shafie lagi, pihaknya telah mengenalpasti pengangkutan yang akan digunakan bagi proses penghantaran tersebut dan bertolak sejurus jenazah tersebut tiba di tanah air.

Dalam masa sama, katanya, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan semua proses tersebut berjalan lancar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140809/dn_07/Urus-jenazah-MH17-ke-persemadian#ixzz3A2QwDlx0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Boikot: Elak terpesong matlamat asal

Oleh ZAAIN ZIN
utusankelantan@utusan.com.my

Asyraf Wajdi Dusuki

KOTA BHARU 8 Ogos - Tindakan memboikot produk atau jenama yang dikaitkan dengan Israel secara keterlaluan mengikut emosi dikhuatiri memecahbelahkan rakyat, khususnya umat Islam sehingga terpesong daripada matlamat asal.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kempen boikot itu merupakan satu manifestasi kemarahan serta kekecewaan terhadap Israel yang terus menzalimi rakyat Palestin dan beliau sendiri menyokong usaha itu.

Bagaimanapun, katanya, segelintir pihak yang emosional bukan sahaja memboikot malah bertindak melampau apabila memarahi individu yang tidak menyertai usaha mereka selain menghukum dan mencerca pekerja syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

"Kita tidak boleh lari daripada menjadi emosional melihat anak-anak kecil terbunuh dalam keadaan menyedihkan. Cuma dalam membuat satu tindakan yang baik, cara pun mesti baik. Jangan sampai emosi itu melangkau nilai akhlak dan prinsip yang dianjurkan Islam.

"Sekarang ini kita sudah mula melabel serta menghukum saudara seagama Islam yang pada akhirnya menyebabkan kita bergaduh pula sesama sendiri. Sedangkan isu sebenarnya adalah kita mahu tindakan ini memberi kesan kepada ekonomi Israel," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Simposium Antarabangsa Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh (FRSIS) 2014 yang dihadiri 272 peserta termasuk dari Brunei dan Filipina di Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra di sini hari ini.

Kempen boikot produk, jenama dan perkhidmatan syarikat yang dikaitkan dengan Israel semakin mendapat sambutan di seluruh negara namun pada masa sama, dicemari beberapa insiden tidak diingini seperti tindakan orang awam mengganggu premis McDonalds dan menakut-nakutkan pekerjanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menasihatkan umat Islam supaya memboikot sesuatu produk, jenama atau perkhidmatan secara bijak berasaskan ilmu pengetahuan di samping terus mengekalkan adab dan akhlak seiring dengan ajaran Islam.

"Dari segi hukum, belum ada satu fatwa pun termasuk dari negeri-negeri yang mengharamkan secara tuntas produk-produk terbabit kerana secara prinsipnya, transaksi atau perniagaan dengan orang Yahudi ini adalah diharuskan dalam Islam.

"Hadis nabi ada sebut 'aku membeli makanan daripada orang Yahudi dengan cara mencagarkan baju besi aku'. Dalam konteks yang disebutkan hadis ini, secara hukum asal tidak ada masalah (berurusan) selagi pendekatan atau kaedah transaksi itu bertepatan dengan prinsip syariah," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140809/dn_06/Boikot-Elak-terpesong-matlamat-asal#ixzz3A2O1QB51  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Friday, 8 August 2014

PALESTIN : PBB sedia bina semula Gaza buat kali terakhir


BEBERAPA orang kanak-kanak Palestin duduk di atas sisa runtuhan rumah mereka sekembalinya mereka ke bandar Beit Hanun yang ranap dalam serangan tentera Israel di utara Gaza pada 5 Ogos lalu.

WASHINGTON 7 Ogos - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia membangunkan semula Gaza, namun ia adalah buat kali yang terakhir, kata Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon, semalam.

Selepas tiga perang di Gaza dalam tempoh enam tahun, beliau memberi amaran bahawa kesabaran dunia de­ngan kedua-dua belah pihak sedang diuji.

"Adakah kita perlu terus begini .... bina, musnah dan bina dan musnah? Kami akan membangunkannya (semula) (Gaza), tetapi ni mestilah buat kali terakhir. Perkara ini mesti dihentikan,'' tegas Ki-moon.

Ketika merasmikan mesyuarat khas Perhimpunan Agung PBB di sini, beliau merayu untuk keamanan yang berkekalan di Gaza, ketika gencatan senjata selama 72 jam antara Israel dan pergerakan Hamas memasuki hari kedua, hari ini.

"Kitaran penderitaan di Gaza dan Tebing Barat begitu juga di Israel mesti dihentikan,'' katanya kepada 193 negara yang menghadiri mesyuarat khas itu.

Dalam perang sebelah pihak selama sebulan di Gaza, sebanyak 1,875 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan Israel di wilayah Palestin itu, manakala di pihak Israel 67 orang terkorban termasuk tiga penduduk awam Israel, dan separuh daripada 1.8 juta penduduk Gaza terpaksa menjadi pelarian bagi menyelamatkan diri.

Berpuluh sekolah dan hospital serta beratus-ratus kediaman penduduk musnah teruk di Gaza dengan Utusan PBB ke Asia Barat, Robert Serry berkata, pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin itu adalah lebih teruk berbanding perang yang berlaku pada 2008-2009 di Gaza.

Ki-moon turut menggesa gencatat senjata di Gaza dilanjutkan dan menegaskan bahawa sebarang perjanjian perlu, bukan sekadar untuk menamatkan perang malah perlu menangani isu `pokok' dalam konflik tersebut.

"Mimpi ngeri selama empat minggu lalu (di Gaza) merupakan satu peringatan dahsyat bahawa hanya satu penyelesaian rundingan politik boleh membawa keselamatan dan keamanan kepada Israel dan Palestin bersama-sama,'' katanya pada perhimpunan khas itu, yang diadakan atas permintaan negara-negara Arab. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_04/PBB-sedia-bina-semula-Gaza-buat-kali-terakhir#ixzz39lO38gw6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



JDT tak minat ambil Samuel Eto'o


TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (kiri) meninjau keadaan padang Stadium Larkin sambil diperhatikan oleh Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya selepas mengadakan sesi perjumpaan dengan media dan kelab penyokong JDT di Johor Bahru, semalam. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Biarpun bintang penyerang Cameroon, Samuel Eto'o ada menyuarakan minat untuk menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT), namun disebabkan faktor usia, skuad Harimau Selatan tidak akan mengikat bekas bintang Chelsea itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, usia pemain tersebut antara sebab PBNJ tidak meneruskan hasrat mengambil Eto'o.

Sambil menyifatkan Eto'o, yang pernah menyarung jersi Barcelona dan Inter Milan sebagai seorang penyerang yang bagus, Tunku Mahkota Johor berkata, jika pemain berusia 33 tahun itu diambil ia tidak selari dengan polisi PBNJ.

Menurut Tunku Ismail, sejak memegang jawatan Presiden PBNJ, beliau sudah membuat satu polisi baharu iaitu mahukan pemain import dalam kalangan pemain muda.

"Kami memang ada berbincang dan dia (Eto'o) juga ada tunjuk minat datang ke Johor tetapi ia bercanggah dengan polisi baharu PBNJ dan disebabkan usia dia pun saya rasa dah tinggi, kita tak jadi ambil dia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status Eto'o yang sebelum ini banyak diperkatakan di media sosial bahawa pemain berkenaan akan menjadi sebahagian keluarga JDT bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Tunku Ismail berkata, pihaknya sentiasa merancang untuk mengambil pemain lebih muda dan dalam polisi PBNJ mengenai pemain import juga menyatakan bahawa mereka akan membawa masuk pemain berprofil tinggi dan pemain muda.

Pada masa sama, Tunku Mahkota Johor itu turut memaklumkan buat masa ini, JDT bercadang untuk mengekalkan pemain import mereka iaitu Luciano Figueroa yang masih ada kontrak setahun dan juga Jorge Preyra Diaz.

"Apabila kita tidak jadi ambil Eto'o, saya cadang untuk gunakan bajet tersebut untuk membeli pemain muda dan memperkukuh sekali gus menyediakan sebuah pasukan yang mantap dan terbaik menjelang tahun 2016," katanya.

Eto'o, yang mengetuai kempen Cameroon pada Piala Dunia di Brazil bulan lalu kini turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Perdana Inggeris, Sunderland.

Sementara itu, ditanya mengenai Paulo Rangel, beliau secara berterus-terang memberitahu, pemain itu kekal bersama Selangor kerana JDT tidak meneruskan hasrat untuk memikat penyerang Red Giants tersebut.

Tunku Ismail berkata, Rangel memang seorang pemain yang bagus, namun hasrat mengikatnya tidak dapat diteruskan kerana cara permainan pemain itu berbeza dengan yang dipraktikkan oleh jurulatih JDT.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, PBNJ sudah mengenal pasti empat pemain muda dari skuad Piala Presiden mereka untuk dipinjamkan ke kelab luar negara di Itali atau di Sepanyol tidak lama lagi.

"Ia adalah sebahagian perancangan PBNJ untuk memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada mereka dengan bermain di luar negara.

"Ini diharap dapat menyumbang kepada pembangunan bola sepak di negeri ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140808/su_03/JDT-tak-minat-ambil-Samuel-Etoo#ixzz39lLt4nls  © Utusan Melayu (M) Bhd 



AFF - Tiada istilah 'Kumpulan Maut'

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

AFANDI HAMZAH

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan, tiada istilah 'Kumpulan Maut' buat skuad Harimau Malaysia selepas diundi bersama penyandang gelaran yang juga juara empat kali, Singapura serta juara tiga kali, Thailand dalam Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, semua pasukan yang diundi dalam Kumpulan B mempunyai kekuatan seimbang dan mampu melakukan kejutan pada kejohanan 22 November hingga 20 Disember itu.

"Walaupun kita diundi bersama Singapura dan Thailand, namun pada saya tiada istilah 'Kumpulan Maut'. Semua pasukan ada kelebihan masing-masing.

"Bagaimanapun kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan lawan, apa yang penting kita fokus dan memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan," kata Afandi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Awam (PPSPA) Negeri Kelantan bersama warga emas di Rumah Seri Kenangan, Pengakalan Chepa di sini semalam.

Selain bakal berdepan Singapura dan Thailand, slot terakhir Kumpulan B akan diisi oleh juara daripada pusingan kelayakan, di mana Myanmar dilihat sebagai calon utama untuk mengisi kedudukan itu.

Menurut Afandi lagi, biarpun Harimau Malaya turun dengan status underdog dalam Piala AFF kali ini, namun mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada lawan.

Beliau menaruh keyakinan tinggi skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Dollah Salleh mampu melakukan sesuatu pada kejohanan itu.

"Dengan ada ramuan pemain lama dan baharu dalam pasukan, Dollah dijangka mampu membentuk gandingan mantap menjelang kejohanan.

"Pertemuan dengan Tajikistan (aksi persahabatan, hari ini) menjadi ujian pertama Dollah dan barisan pemain. Tempoh yang ada sebelum Piala AFF bermula perlu digunakan sebaik mungkin untuk memperkasakan pasukan," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Afandi menyokong penuh pelantikan Datuk Mohamad Norza Zakaria sebagai Bendahari baharu badan induk bola sepak negara itu.

Katanya, pelantikan itu adalah keputusan tepat berdasarkan profil Mohamad Norza yang merupakan akauntan bertauliah serta pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN) dan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Saya yakin dan percaya pengalaman yang dimiliki oleh beliau mampu memperkasakan lagi pengurusan kewangan FAM," tegasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140808/su_02/Tiada-istilah-Kumpulan-Maut#ixzz39lKK5nPp  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Dollah tagih bisa barisan penyerang

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

SAFEE SALI (dua dari kiri) akan menjadi tonggak bahagian serangan dengan dibantu oleh Norshahrul Idlan Talaha apabila Harimau Malaya menentang Tajikistan di Dushanbe hari ini.

KUALA LUMPUR - Aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Tajikistan di Dushanbe, ibu negara bekas anggota Kesatuan Soviet itu hari ini bakal menjadi ujian terutama buat jentera serangan dalam persiapan menghadapi cabaran Kejohanan AFF hujung tahun ini.

Ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Dollah Salleh memberitahu sandaran pada jentera serangan akan diletakkan kepada dua penyerang Johor Darul Ta'zim, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang diharap mampu mempamerkan kecemerlangan menentang pasukan ranking ke-124 dunia itu.

Tambah Dollah, keserasian dalam pasukan juga telah bertambah baik sekali gus membolehkannya membuat percaturan dengan teliti biarpun perlawanan itu hanya aksi persahabatan.

"Bagi saya perlawanan ini amat penting dan saya percaya mana-mana jurulatih pun akan anggap aksi menentang Tajikistan sesuatu yang perlu menjadi tumpuan utama.

"Kemenangan dalam perlawanan ini adalah antara yang kami cari tambahan pula pasukan ketika ini dalam persiapan menghadapi Kejohanan AFF," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Pasukan negara kini berada di kedudukan ke-151 dunia dan perlawanan ini merupakan aksi sulung buat Dollah yang mula menjadi jurulatih skuad Harimau Malaya pada Jun lalu, menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tidak disambung kontraknya hujung tahun lepas.

Malah aksi persahabatan ini juga dianggap sebagai perlawanan yang kompetitif buat skuad kebangsaan kerana berdepan dengan pasukan di ranking lebih baik berbanding Malaysia.

Dollah yang sebelum ini memberitahu aksi menentang Tajikistan bukan satu eksperimen buat pasukannya berjanji melakukan yang terbaik dalam aksi sulung pasukan kebangsaan di bawah bimbingannya.

"Semua persiapan pemain untuk menghadapi perlawanan menentang Tajikistan berada dalam keadaan baik dan tiada apa-apa masalah ketika ini.

"Kami juga akan memberikan yang terbaik selain mahu memastikan persembahan pasukan berada di tahap memuaskan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140808/su_01/Dollah-tagih-bisa-barisan-penyerang#ixzz39lIfLX42  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH17 - Pasukan penyiasat PDRM dipindah


KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pasukan penyiasat khas tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang turut membabitkan pasukan dari Belanda dan Australia mengambil keputusan meninggalkan Forward Operating Based (FOB) di Soledar berikutan keadaan keselamatan yang semakin membimbangkan di timur Ukraine.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua 18 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di pangkalan itu telah dipindahkan keluar secara berperingkat sejak 10.15 pagi ini (waktu tempatan) dan dijangka tamat sehingga pukul 12 tengah malam ini.

"Semua aktiviti pencarian mayat, bukti dan maklumat terbaharu di lokasi kejadian akan dihentikan seketika sehingga kami mendapat arahan selanjutnya.

"Kesemua pegawai dan anggota yang berada di situ (pangkalan) sempat mengadakan upacara bertafakur moment of silent yang diketuai oleh Komander FOB," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Khalid, anggota pasukannya yang menjadi petugas MH17 di Kharkiv juga berada dalam keadaan berjaga-jaga.

"Sekiranya keadaan tidak selamat, mereka juga akan segera dipindahkan ke Kiev, Ukraine atau terus ke Amsterdam, Belanda," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas perkembangan pencarian bukti dan barangan milik mangsa MH17 semalam, Khalid memberitahu, semalam dua anggotanya bersama salah satu pasukan penyiasat MH 17 mengedarkan risalah kepada penduduk Kampung Grobove berhampiran sebuah bangunan kelab yang terletak berdekatan dengan kawasan nahas pesawat MH 17.

"Risalah dalam bahasa tempatan itu diedarkan bagi menyeru penduduk kampung berkenaan supaya menyerahkan kembali barang-barang milik mangsa nahas yang telah diambil oleh mereka," katanya.

"Terdapat juga beberapa orang penduduk tampil memberi kerjasama dengan memulangkan kembali dua barang kemas milik mangsa di bangunan kelab berkenaan," jelasnya lagi.

Operasi pencarian di kawasan nahas itu melibatkan seramai 40 petugas MH17 yang diwakili PDRM, Australia dan Belanda dengan 14 buah kenderaan yang terdiri daripada sebuah kenderaan polis untuk tugas pengiring, dua buah bas mini, dua kenderaan perubatan, sebuah van Unit Anjing Pengesan (K9) dan sebuah lori sejuk beku bagi membawa pulang mayat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140808/dn_04/Pasukan-penyiasat-PDRM-dipindah#ixzz39lHBR8xe  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH17 - Misi pencarian digantung


THE HAGUE 7 Ogos - Pasukan pakar antarabangsa dari Belanda, Malaysia dan Australia menggantung misi pencarian mayat penumpang dan serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, hari ini ekoran situasi keselamatan yang semakin buruk di timur Ukraine.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dalam sidang akhbarnya di sini memberitahu, pertempuran antara tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia semakin meningkat di sekitar lokasi nahas menyebabkan usaha mencari mayat penumpang MH17 berada dalam keadaan bahaya.

Rutte berkata, risiko yang perlu ditanggung oleh pasukan pakar dari Belanda, Malaysia dan Australia sangat tinggi untuk meneruskan tugas di kawasan nahas.

"Situasi di timur Ukraine dan lokasi pesawat MH17 terhempas semakin buruk, sekali gus menyukarkan pasukan pakar melaksanakan tugas mereka.

"Kami telah melakukan segala usaha yang termampu mengikut situasi semasa di timur Ukraine," katanya.

Rutte turut mengumumkan bahawa sejumlah besar barangan mangsa nahas termasuk album gambar, barangan kemas, kamera, buku nota, pasport dan alat permainan dijangka tiba di Belanda dalam tempoh terdekat.

Awal pagi semalam, pasukan penyiasat dari Belanda, Malaysia dan Australia menyebarkan risalah kepada penduduk tempatan di kampung kecil Rozsypne untuk meminta pertolongan mereka mencari sisa mayat dan barangan milik mangsa pesawat MH17, selain melaporkan maklumat tentang nahas tersebut.

Pegawai polis Belanda yang mengetuai misi di Ukraine, Pieter-Jaap Aalbersberg turut menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan pasukan penyiasat yang hampir terkena tembakan akibat pertempuran antara tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia.

Jelasnya, keselamatan pasukan penyiasat merupakan perkara paling utama dan mereka terpaksa berpindah ke tempat yang selamat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang membantu misi ini tetapi saya berasa kecewa kerana gagal melaksanakan tugas penting di lokasi nahas.

"Bagaimanapun, kami berasa lega kerana berjaya membawa pulang beberapa cebisan mayat dan barangan mangsa nahas MH17," katanya.

Menteri Luar Belanda, Frans Timmermans dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui laman sosial Facebook berkata, misi penyiasatan dan pencarian akan diteruskan sebaik-baik sahaja situasi di lokasi nahas mengizinkan. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140808/dn_01/Misi-pencarian-digantung#ixzz39lFe0OWF  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Pengurusan mayat mangsa MH17 tumpu tiga aspek


HISHAMMUDDIN Tun Hussein melihat skrin raptai istiadat tentera semasa mempengerusikan mesyuarat Persiapan Menyambut Jenazah mangsa tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Ahmad Shabery Cheek, Liow Tiong Lai dan Rohani Karim. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Jawatankuasa Koordinasi Persediaan Pelaksanaan Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi Pesawat MH17 akan memberi tumpuan kepada tiga aspek berkaitan nahas pesawat berkenaan mengikut lokasi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, aspek pertama memberi penekanan kepada pencarian mayat atau cebisan anggota badan yang masih belum ditemui di kawasan nahas di timur Ukraine.

Menurut beliau, aspek kedua melibatkan pengurusan pengecaman mayat di Amsterdam, Belanda manakala aspek ketiga pula membabitkan pengurusan penerimaan mayat rakyat Malaysia di negara ini.

"Bagi persiapan upacara menerima mayat di Malaysia, mesyuarat telah memutuskan agihan tugas bagi setiap kementerian yang terlibat," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Seri Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Jawatankuasa yang dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dianggotai oleh 10 menteri dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Perdana Menteri.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara (SAM) di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.

Tragedi itu mengorbankan 298 nyawa dan 43 orang merupakan penumpang serta anak kapal warga Malaysia.

Hishammuddin menambah, proses membawa pulang mayat warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17 dari Amsterdam mungkin dilakukan secara berperingkat di atas faktor siasatan dan permintaan keluarga.

Jelas beliau, permintaan keluarga mangsa sentiasa diberi keutamaan dan kerajaan akan membuat keputusan tentang proses membawa pulang mayat setelah identiti semua mangsa dikenal pasti.

"Dalam hal ini, kerajaan memahami kesedihan anggota keluarga mangsa. Kita akur dan fahami perasaan itu kerana ada di antara mereka tidak mahu terdedah kepada liputan meluas mengenainya," ujarnya.

Menurut Hishammuddin, pengurusan mayat mangsa tragedi MH17 turut mengambil kira faktor kaum, agama, budaya dan latar belakang mereka.

Beliau berkata, MAS diberi tanggungjawab untuk membawa pulang mayat warga Malaysia dari Amsterdam ke Kuala Lumpur manakala pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarahkan bersiap sedia sekiranya diperlukan bagi menghantar mayat mangsa ke lokasi-lokasi lain di negara ini.

Berhubung prosedur memberi penghormatan khas oleh rakyat kepada semua mangsa yang dibawa pulang, Hishammuddin berkata, perkara itu ada dibincangkan, namun keputusan mengenai bagaimana rakyat akan dilibatkan hanya akan diputuskan kerajaan pada mesyuarat Kabinet Rabu depan.

"Segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan dalam mesyuarat ini akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum diperhalusi dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan beliau pada minggu hadapan," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, setakat ini, kerajaan tidak berhasrat untuk menghantar tentera bagi menyertai pasukan penyiasat khas nahas MH17 walaupun situasi keselamatan di timur Ukraine semakin meruncing.

"Kita tahu situasi di timur Ukraine akan berubah sebaik sahaja ia menjadi konflik ketenteraan dan kerajaan akan memantau apa yang bakal berlaku seterusnya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140808/dn_03/Pengurusan-mayat-mangsa-MH17-tumpu-tiga-aspek#ixzz39lELPLzS  © Utusan Melayu (M) Bhd


Malaysia tetap sokong Palestin


Oleh Norliza Abd. Rahman
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 7 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan pendirian dan komitmen berterusan Malaysia yang tidak pernah berubah mengenai isu Palestin kepada Senator Bob Corker dari Amerika Syarikat (AS).

Corker yang merupakan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Senat Amerika Syarikat (AS) merangkap Ahli Republikan Tennessee dimaklumkan mengenai pendirian Malaysia itu ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Muhyiddin di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, kerajaan dan rakyat negara ini menentang, mengutuk serangan dan segala bentuk kezaliman, penindasan serta diskriminasi yang dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Malaysia katanya, mahu masyarakat antarabangsa memainkan peranan yang lebih berani bagi melindungi dan mempertahankan hak rakyat Palestin dalam menamatkan pertumpahan darah di Gaza.

''Malaysia juga menggesa supaya Israel menghentikan kekejamannya ke atas rakyat Palestin di Gaza serta meminta AS agar memainkan peranan lebih penting dalam memastikan kestabilan dan keamanan yang berterusan di Gaza,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia telah menuntut agar Israel menghentikan segera pembunuhan kejam beramai-ramai dan perbuatan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk awam yang tidak bersenjata di Gaza.

''Pendirian Malaysia untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin tidak pernah luntur,'' katanya.

Semasa pertemuan itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh isu-isu berkenaan tragedi pesawat MH370 dan MH17, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), perkembangan di Laut China Selatan dan susulan lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140808/dn_02/Malaysia-tetap-sokong-Palestin#ixzz39l6AwCVk  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Rundingan Hamas-Palestin buntu


BEBERAPA orang penduduk Palestin beratur di pusat pengagihan bantuan PBB di kem pelarian Shati di Gaza City untuk mengambil bantuan makanan, kelmarin. - AP

KAHERAH 7 Ogos - Pasukan perunding Mesir berhadapan jalan buntu dan kesuntukan masa untuk mencapai perjanjian gencatan senjata yang lebih lama di Gaza antara pergerakan Hamas dan Israel, ketika gencatan selam tiga hari, yang dikuatkuasakan semalam akan tamat dalam tempoh 24 jam.

Dalam perbincangan tidak langsung antara wakil Palestin dan Israel melalui perunding Mesir, kedua-dua pihak bertelagah itu masih bercanggah pendapat untuk mengakhiri konflik di Gaza apabila Hamas bertegas mahu sekatan ke atas wilayah Gaza ditarik balik, namun rejim Zionis Israel enggan memenuhi tuntutan Hamas itu.

Terdahulu, pegawai kanan Hamas yang menghadiri rundingan itu memberi amaran untuk menarik diri daripada perbincangan jika tuntutan membatalkan se­katan ke atas Gaza dan membebaskan tahanan Palestin oleh Israel tidak dipenuhi.


SEORANG budak lelaki, Mohammed Ali Wahdan, 2, menerima rawatan akibat kecederaan serangan tentera Israel di Hospital al-Shifa di Gaza City, semalam. - AFP

Sumber kerajaan Mesir memaklumkan bahawa pasukan perunding berharap perjanjian antara Hamas dan Israel dapat dicapai, hari ini sebelum gencatan senjata selama 72 jam, tamat dalam tempoh 24 jam.

"Mesir mahu gencatan senjata dilanjutkan atas persetujuan kedua-dua belah pihak sebelum rundingan untuk melaksanakan satu perjanjian gencatan senjata yang kekal dan mengurangkan sekatan di sempadan Gaza," kata sumber itu.

Awal hari ini, Israel dilapor bersetuju melanjutkan tempoh genca­tan senjata tetapi pemimpin politik Hamas, Moussa Abu Marzouk menafikan laporan itu dengan berkata, tiada persetujuan dicapai antara kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun beberapa jam kemudian, rejim Zionis Israel memberi amaran untuk bertindak balas terhadap ancaman roket Hamas dari Gaza, sebaik-baik sahaja gencatan senjata berakhir, sekali gus Israel merancang menyambung semula operasi ketenteraan ke atas wilayah Palestin itu.

Hamas turut memberi amaran yang sama untuk meneruskan pertempuran jika tuntutan mereka tidak dipenuhi. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_03/Rundingan-Hamas-Palestin-buntu#ixzz39l1z2tNg  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : Kit Siang akui kemelut MB Selangor paling buruk


LIM KIT SIANG

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui kemelut jawatan Menteri Besar Selangor yang berlaku sekarang merupakan krisis paling buruk pernah terjadi dalam sejarah kewujudan pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Menurutnya, krisis yang berlarutan sejak dua minggu lalu iaitu selepas mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang pada 23 Julai lalu, telah menghakis keyakinan orang ramai terhadap masa depan pakatan pembangkang.

Katanya, Ahad ini merupakan hari penentu bagi masa depan pakatan pembangkang apabila satu mesyuarat kepimpinan pakatan pembangkang termasuk untuk mendengar keputusan daripada Pas, diadakan pada hari itu.

"Ahad ini, 10 Ogos bukan hari penentu (D-Day) untuk Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, tetapi adalah hari penentu kepada pakatan pembangkang yang berusia enam tahun," katanya dalam blog http://blog.limkitsiang.com hari ini.

Kit Siang berkata, sama ada pakatan pembangkang boleh mengatasi krisis keyakinan dalam kalangan masyarakat yang terburuk itu adalah bergantung kepada komitmen semua pemimpinnya dalam membawa aspirasi asal penubuhan pakatan berkenaan.

Pakatan pembangkang kini berhadapan dengan krisis ekoran tekanan oleh kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Abdul Khalid agar melepaskan jawatannya bagi membolehkan mereka melantik Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Kepincangan dalam pakatan pembangkang menjadi semakin meruncing apabila Pas menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid agar terus mengekalkan jawatannya itu berdasarkan reputasnya mentadbir Selangor selama ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140808/po_04/Kit-Siang-akui-kemelut-MB-Selangor-paling-buruk#ixzz39l0u0qWa  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK - Pemuda Pas Dungun desak pecat Hanipa Maidin, Khalid Samad


KUALA TERENGGANU 7 Ogos - Dewan Pemuda Pas Dungun menggesa tindakan tegas diambil termasuk memecat beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang didakwa mengeji kepemimpinan parti berhubung krisis kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketuanya, Syeikh Muhammad Hanafi Abdul Aziz berkata, antara yang perlu dikenakan tindakan tegas tersebut ialah Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selain beberapa lagi rakan mereka kerana telah menunjukkan sikap biadab dengan pendirian songsang bersekongkol bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pecat mereka atau biarkan mereka 'tidur' bersama PKR. Jangan biarkan mereka berbuat songsang di dalam Pas. Kami menaruh harapan tinggi kepada Jawatankuasa Badan Disiplin Pas agar mengambil perjalanan yang tegas berpandukan sejarah Ikhwan Muslimin yang berani memecat pimpinan mereka.

"Mereka bukan dipecat kerana tidak memberikan khidmat yang cemerlang kepada gerakan Ikhwan, tetapi mereka tidak boleh patuh kepada disiplin jemaah. Maka, tidak sesuai lagi mereka duduk bersama jemaah,'' ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sheikh Muhammad Hanafi, pihaknya tampil untuk menyatakan pendirian dan ketegasan berhubung apa yang disifatkan sebagai 'isu politik busuk yang terancang' sehingga memalitkan parti dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamed Hanipa ketika berucap dalam forum 'Krisis Selangor: Pakatan Rakyat Berpecah' semalam dipetik sebagai berkata, tindakan Pas mencadangkan tokoh dari luar pakatan pembangkang sebagai bakal Perdana Menteri sebagai satu yang tidak beretika dan Islamik.

Mengulas lanjut, Sheikh Muhammad Hanafi berkata, krisis politik di Selangor yang bermula seawal Ramadan lalu tercetus akibat akhlak dan nafsu pemimpin PKR yang terlalu gilakan harta dan pangkat.

"Keinginan menjadikan jawatan Menteri Besar Selangor sebagai hak eksklusif parti mereka seolah-olah mereka lupa jumlah kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diperoleh oleh rakan mereka dalam pakatan rakyat," katanya.

Kata beliau, sikap buruk PKR yang tergesa-gesa memilih dan mencalonkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu tanpa mendapat nasihat dan persetujuan rakan, menyebabkan kaedah songsang itu tidak dipersetujui Pas pusat.

Menurutnya, ketegasan Abdul Hadi jelas mempunyai hikmah apabila tindakan itu menyebabkan AJK Pas Pusat yang 'mengagungkan' PKR kini seperti orang yang mabuk ketum dan meracau.

"AJK Pas Pusat tersebut mula menzahirkan wajah sebenar di sebalik topeng dengan terbocornya rahsia sulit perbincangan AJK Pas Pusat. Lebih menjijikkan lagi, mereka menyerang serta memfitnah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki tanpa menyalahkan pengkhianat yang membocorkan rahsia.

"Episod serangan gila mereka berterusan terhadap Presiden Pas. Mereka bersekongkol tanpa maruah, melondeh, mengeji dan menghina kerana mereka lebih sayangkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim),'' ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140808/po_03/Pemuda-Pas-Dungun-desak-pecat-Hanipa-Maidin-Khalid-Samad#ixzz39kzaOlQO  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK - PKR kurang bijak - Mohd. Amar




KOTA BHARU 7 Ogos - Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat mengamalkan politik kotor dengan mendedahkan kelemahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mencapai cita-cita mereka untuk menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor terus menerima kritikan daripada pemimpin-pemimpin kanan Pas.

Terbaharu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (gambar) menyifatkan, pendedahan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkaitan Abdul Khalid bakal memburukkan lagi krisis yang melanda pakatan pembangkang.

"Adalah kurang bijak untuk PKR mengambil langkah tersebut dalam usaha mereka untuk menggantikan Menteri Besar Selangor yang setakat ini belum disabitkan dengan sebarang salah laku termasuk amalan rasuah.

"Ingin saya tekankan di sini, Pas bukan mahu campur tangan dalam pertelingkahan dalaman PKR, cuma ingin memberi pandangan sebagaimana DAP memberi pandangan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isnin lalu, Saifuddin Nasution mendedahkan Abdul Khalid perlu ditukar kerana masalah keraguan integriti susulan isu penyelesaian hutangnya dengan sebuah bank.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan 1 bagaimanapun menegaskan, beliau yakin krisis berkenaan tidak akan menyebabkan Pas meninggalkan pakatan pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, keputusan untuk keluar daripada pakatan pembangkang bukan perkara mudah kerana memerlukan mesyuarat tergempar atau diputuskan dalam muktamar khas Pas.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140808/po_02/PKR-kurang-bijak---Mohd-Amar#ixzz39ky9Gysi  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : Khalid tidak boleh digugurkan - KITA TUNGGU SIAPA YANG KENA...

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

DARI KIRI: NIK ABDUL AZIZ, HARON DIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Majlis Syura Ulama Pas memutuskan untuk tetap mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Keputusan oleh sebuah majlis yang dianggap tertinggi di dalam Pas itu memungkinkan parti tersebut tidak boleh lagi melakukan perubahan atau pusingan 'U' dalam pendiriannya mempertahankan kedudukan Abdul Khalid.

Dalam satu kenyataan bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr. Haron Din yang dikeluarkan hari ini, majlis itu menegaskan, Abdul Khalid tidak boleh digugurkan selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu disingkirkan.

Menurut kenyataan tersebut, pendirian itu diputuskan selepas majlis berkenaan bermesyuarat semalam di Kota Bharu, Kelantan berasaskan kepada hukum syarak dengan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan individu dan parti.

"Jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti sekutu pakatan untuk meneruskan Tan Sri Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

"Jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berkuasa seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau mahkamah, maka Majlis Syura Ulama bersedia untuk menilai kembali kedudukan beliau,'' katanya kenyataan tersebut.

Majlis Syura Ulama Pas merupakan kumpulan terbaharu dalam Pas yang membuat pendirian mempertahankan Abdul Khalid selepas penegasan yang sama dibuat oleh Nik Abdul Aziz, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Dewan Ulama Pas.

Mengikut Fasal Lapan Perlembagaan Pas, Majlis Syura Ulama diberi kuasa mengeluarkan arahan dan perintah supaya sesuatu dasar dan ketetapan dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam Pas dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran parti.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyatakan bahawa Pas akan tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan parti itu.

Pada masa sama, Majlis Syura Ulama Pas menegaskan, dalam apa keadaan sekali pun, Pas akan terus memberi komitmen bersama pakatan pembangkang.

"Fasal 3 Perlembagaan Pas menyebut bahawa dasar Pas ialah Islam dan Fasal 6(2) pula menyatakan antara usaha Pas adalah memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140808/po_01/Khalid-tidak-boleh-digugurkan#ixzz39kwht4Z6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 7 August 2014

putra merdeka: HOT ~ Bukti Amerika Tembak MH17..!

putra merdeka: HOT ~ Bukti Amerika Tembak MH17..!: Baca dan fahamkan..! setelah berjaya menutup pekung atas kehilangan pesawat MAS MH370 walaupun baunya tetap menusuk hidung seluruh dunia...

AS dan jenayah perang Gaza

Oleh AZMI HASSAN

BARACK Obama menandatangani buku takziah bagi memperingati 298 orang yang terbunuh dalam nahas pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine di Pejabat Kedutaan Belanda di Washington pada 22 Julai lalu. - REUTERS

SEMEMANGNYA sukar untuk menafikan bahawa tragedi MH17 adalah pemangkin kepada sekatan terkini terhadap Rusia yang dilaksanakan secara bersepadu oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Dari hari pertama lagi Presiden AS, Barack Obama dan sekutu beliau iaitu Perdana Menteri Britain, David Cameron menggesa Presiden Vladimir Putin dihukum kerana disyaki membekalkan sistem peluru berpandu yang digunakan untuk memusnahkan MH17.

Sekatan terbaru yang merangkumi sektor kewangan, tenaga dan ketenteraan dikatakan bakal memberi kesan kepada ekonomi Rusia kerana sebahagian besar sumbangan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) adalah dari ketiga-tiga sektor ini.

Seperti yang ditegaskan oleh Obama ketika mengumumkan sekatan terbaru kelmarin bahawa ia akan melumpuhkan ekonomi Rusia yang sememangnya dalam keadaan yang begitu lemah.

Tanpa tragedi MH17, beberapa negara Eropah seperti Jerman dan Perancis tidak akan bersetuju dengan cadangan AS untuk mencakupi sekatan yang lebih ketat kerana kedua-dua negara EU itu amat bergantung dengan aktiviti perdagangan dengan Rusia.

Perancis umpamanya mempunyai perjanjian yang agak lumayan dengan Rusia untuk membina dua kapal perang. The Vladivostok, iaitu kapal perang pertama yang sudah hampir siap dijangka diserahkan kepada Moscow pada Oktober ini.

Begitu juga dengan Jerman yang amat bergantung kepada sumber bekalan tenaga dari Rusia pada mulanya agak keberatan untuk bersama-sama dengan AS dalam mengenakan sekatan yang lebih ketat, tidak mempunyai banyak pilihan selain dari turut serta.

Canselor Jerman, Angela Merkel meluahkan bahawa sekatan terbaru yang lebih ketat adalah satu langkah yang tidak boleh dielakkan oleh negara beliau.

Walaupun masih belum terdapat bukti sahih bahawa peluru berpandu yang menjatuhkan MH17 adalah milik Rusia, tetapi AS begitu pintar menggunakan tragedi tersebut untuk meraih sokongan masyarakat antarabangsa. Memang benar pihak yang bersalah perlu menerima hukuman dan proses penghakiman lazim seperti melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) belum tentu akan berjaya.

Sebab itu sekatan ekonomi walaupun dipelopori oleh AS dan EU perlu disertai oleh semua negara dan ini termasuklah Malaysia. Tetapi timbul kemusykilan dalam hal ini kerana pembabitan Rusia masih belum terbukti tetapi hukuman telah pun dilaksanakan.

Timbul juga pertanyaan apakah langkah AS dan EU itu untuk mencari keadilan mangsa MH17 atau pun ia adalah sebahagian dari strategi untuk melemahkan Rusia?

Jika pembabitan Rusia secara tidak langsung dalam tragedi MH17 boleh digunakan oleh masyarakat antarabangsa sebagai asas untuk menghukum Moscow, maka dalil yang sama boleh digunakan untuk menghukum AS dalam tragedi serangan tanpa peri kemanusiaan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Ini adalah kerana aset ketenteraan yang digunakan oleh tentera rejim Israel adalah berpunca dari AS seperti mana sistem peluru berpandu BUK yang dipercayai digunakan untuk memusnahkan MH17 adalah milik Rusia.

Jet pejuang F-16 dan helikopter tempur Apache yang lazim digunakan untuk melancarkan peluru berpandu dari udara ke kawasan perumahan rakyat Palestin berpunca dari bekalan industri pertahanan AS.

Peluru berpandu dari jenis AIM-9x yang sering dilepaskan oleh F-16 juga dibekalkan oleh AS. Lebih mengaibkan lagi, dua hari selepas Operasi Protective Edge dilancarkan rejim Israel, Jabatan Negara AS telah meluluskan penjualan AIM-9x dengan kos menghampiri AS$544 juta kepada Tel Aviv.

Bermula dari era Presiden George W. Bush, AS mempunyai tanggungjawab untuk membantu Israel dalam bentuk bantuan ketenteraan selama 10 tahun yang mempunyai nilai AS$3 bilion setahun. Tradisi membantu rejim Israel ini diteruskan semasa pemerintahan Obama.

Tentera rejim Israel mempunyai sistem peluru berpandu yang canggih atas ehsan teknologi pertahanan dari AS dan bantuan khusus untuk memajukan sistem ini sebanyak AS$500 juta juga dari AS.

Jika MH17 langsung tidak mempunyai peluang untuk mempertahankan diri dari serangan peluru berpandu BUK, begitu juga dengan rakyat Palestin terdedah dengan tanpa belas kasihan dari sistem peluru berpandu rejim Israel.

Begitu juga dengan kereta kebal M-60 yang digunakan dalam serangan darat tentera rejim Israel adalah dibekalkan oleh AS.

Bedilan M109 Doher Howitzers yang sering dipaparkan oleh media adalah berasal dari AS dan sebelum bermulanya Operasi Protective Edge, AS telah membekalkan jenis bedilan tersebut yang dianggarkan meliputi kos sebanyak AS$39 juta.

Israel mempunyai banyak keistimewaan dalam hal ehwal ketenteraan dan semua ini adalah ehsan dari Kongres AS. Umpamanya Israel dibenarkan untuk membangunkan industri pertahanan mereka menggunakan teknologi pertahanan dan bantuan kewangan AS.

Contoh paling nyata adalah sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome yang sentiasa menjadi kemegahan rejim Isreal adalah asalnya dari sistem pertahanan peluru berpandu Patriot AS.

Begitu jua dengan Tel Aviv yang mempunyai keistimewaan paling hebat kerana dibenarkan berurusan secara langsung dengan industri pertahanan AS tanpa melalui Kongres atau pun Pentagon. Begitu sahih sekali peralatan ketenteraan yang digunakan oleh rejim Israel adalah berpunca dari bekalan AS.

Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) akur bahawa serangan terhadap rakyat Palestin boleh ditafsirkan sebagai jenayah perang dan proses penyiasatan dikatakan telah pun bermula.

Jika Rusia boleh dihukum kerana pembabitan tidak langsung dalam tragedi MH17, maka sudah pasti AS juga boleh dihukum kerana pembabitan yang begitu nyata dalam bentuk bekalan senjata kepada rejim Israel yang sudah terjebak dalam jenayah perang terhadap rakyat Palestin.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140731/re_07/AS-dan-jenayah-perang-Gaza#ixzz39gA3wi62  © Utusan Melayu (M) Bhd