Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 4 December 2013

Dr. M lepas jawatan Penasihat Petronas atas faktor kesihatan



TAK APA TUN...JASAMU TETAP DIKENANG...



KUALA LUMPUR 2 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan beliau telah melepaskan jawatan sebagai Penasihat kepada syarikat minyak negara, Petronas berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata, keputusan pengundurannya daripada jawatan yang disandang sejak 10 tahun lalu itu selepas dinasihatkan doktor untuk mengurangkan aktiviti bagi menjaga kesihatan selain faktor peningkatan usia.

"Saya sudah menjadi Penasihat Petronas selama 10 tahun. Tempoh 10 tahun bermakna semakin lama semakin letihlah. Jadi doktor kata cukuplah saya berjalan ke sana dan ke sini. Saya orang tua, patutlah saya berhenti.

"Saya sudahpun kurangkan aktiviti, isteri saya (Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali) minta saya berehat. Saya kena kawal sekarang hendak keluar negara pun sebulan sekali," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama delegasi Forum Antarabangsa UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu.

Ditanya apakah wajar tindakannya itu, Dr. Mahathir, 88, berkata, beliau sudah memberi khidmat kepada Petronas selama 10 tahun dan operasi syarikat minyak negara itu pada masa ini berjalan baik dengan menjana banyak keuntungan serta menyumbang kepada kewangan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengundurannya itu hanya membabitkan jawatan yang dipegang dalam Petronas dan tidak melibatkan jawatan-jawatan lain seperti penasihat dalam syarikat automotif nasional, Proton Holdings Berhad (Proton).

Katanya, Proton bukan milik kerajaan tetapi kini adalah anak syarikat milik penuh Kumpulan DRB- Hicom.

Sementara itu, Dr. Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO menyatakan sokongannya terhadap terhadap usaha UMNO dan Pas untuk bermuzakarah bagi meningkatkan kesepaduan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, tiada sebab bagi UMNO untuk tidak mengadakan muzakarah dengan Pas.

"Hasil muzakarah adalah perkara lain. Kita perlu ingat bahawa Pas pernah bersama dengan UMNO. Pengasas parti itu adalah golongan ulama yang meninggalkan UMNO untuk menubuhkan Pas," katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat UMNO berkembang dengan baik selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dan memuji tindakan parti itu melantik beberapa personaliti untuk menganggotai Majlis Tertinggi (MT) parti sebagai satu pembaharuan inklusif.

Katanya, keputusan membawa masuk personaliti bukan dalam kalangan ahli politik sebagai MT UMNO sebagai satu tindakan yang baik bagi membawa perubahan dalam parti. 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131203/dn_07/Dr-M-lepas-jawatan-Penasihat-Petronas-atas-faktor-kesihatan#ixzz2mStHrZI2  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: