Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 12 December 2013

Keazaman pelihara Islam, Melayu, perpaduan kaum - SULTAN SELANGOR

Oleh  AZMAN  ANUAR         

rencana@utusan.com.my


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalaman dengan para jemaah solat Jumaat selepas berkenan merasmikan Masjid Kampung Raja Uda dan Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor Ke-68 di Pelabuhan Klang pada 6 Disember lalu.

HARI ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah sempurna 12 tahun menaiki takhta sebagai Sultan dan hari ini juga diadakan sambutan Hari Keputeraan baginda yang ke-68.

Sultan Selangor adalah seorang insan yang peka dalam perkembangan semasa. Baginda selalu memberi idea yang bernas dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan.

Dalam bidang agama pula baginda sering bertitah di masjid-masjid menasihatkan rakyat agar benar-benar mengikut ajaran Islam dengan penuh keyakinan.

Baginda adalah seorang Raja yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kemajuan rakyat dalam semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Gesaan Sultan Selangor agar kaum bukan Islam tidak merujuk kalimah Allah sebagai Tuhan adalah mesej yang jelas dan terang.

Bagi seorang Raja Melayu yang mempunyai hak mutlak ke atas agama Islam (menurut Perlembagaan Persekutuan dan Negeri) berpendirian tegas dalam hal ini. Baginda melihat keadaan kaum bukan Islam masih tegar untuk membincangkan isu kalimah Allah secara terbuka atau peribadi, tanpa mempeduli sensitiviti orang Melayu.

Islam digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai 'Agama Persekutuan Malaysia' dan perbuatan mencabar sensitiviti orang Melayu wajar dilihat sebagai menentang peruntukan Perlembagaan.

Pendirian baginda konsisten dan komitednya baginda dalam memelihara kesucian agama Islam.

Terbaharu, Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor yang bersidang pada 11 November 2013 telah membuat ketetapan tegas bahawa semua rakyat di negeri Selangor khasnya, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Baginda turut bertegas bahawa keputusan ini dibuat bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam dengan penganut agama lain serta mengelakkan pertelingkahan kaum yang boleh membawa kemudaratan kepada semua.

Sebagai Ketua Agama negeri, Sultan Sharafuddin juga menasihati umat Islam khususnya orang Melayu di Selangor supaya berwaspada dan menilai semula kedudukan mereka supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan dakyah oleh pemikiran bebas, liberalisme atau pluralisme yang boleh merosakkan akidah seseorang dan seterusnya boleh menjadi syirik terhadap Allah.

Baginda turut menyuarakan kekesalan mengenai tindakan segelintir individu yang menggunakan masjid sebagai pentas ceramah politik di negeri itu.

"Jangan berpolitik di masjid, kerana ia boleh mengakibatkan perpecahan orang Melayu kita. Kalau pergi masjid, buat cara kita di masjid, dan kalau nak bercakap politik, keluar dari kawasan masjid, cakaplah semahunya. Lepas itu balik semula ke masjid dan sembahyanglah," titah baginda.

Ketika merasmikan Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang pada 6 Disember 2013, baginda amat dukacita dengan kemunculan ekstremis agama yang sanggup membunuh dan melakukan kezaliman terhadap umat seagama dan penganut agama lain.

Ektremis-ekstremis ini timbul kerana adanya ajaran-ajaran sesat seperti Syiah, Al-Arqam, Kadiani, Tuhan Harun dan banyak lagi ajaran yang menyeleweng daripada fahaman Islam yang diamalkan di negara ini.

"Seperkara lagi yang sangat mendukacitakan beta adalah terdapat segelintir golongan bijak pandai dan cendekiawan Melayu yang tidak segan silu mencaci dan menghina serta menjatuhkan martabat bangsa Melayu dan agama Islam.

"Mereka ini dianggap seperti pepatah Melayu 'membuka pekung di dada' dan menunjukkan betapa mundurnya orang Melayu di zaman globalisasi ini.

"Beta berharap rakyat negeri Selangor sekalian janganlah terpengaruh dengan janji-janji manis pihak yang mahu menyesatkan umat Islam di negeri ini ke arah yang tidak diredai Allah SWT," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, golongan itu seharusnya memberi pendapat atau nasihat yang boleh membawa masyarakat Melayu ke arah perpaduan dan kemajuan, mematuhi undang-undang dan berbudi bahasa serta memelihara adat resam yang diamalkan sejak turun-temurun.

"Mereka yang bijak pandai ini juga sepatutnya memberi keyakinan kepada bangsa Melayu supaya jangan gentar dan sanggup berjuang untuk menaikkan imej dan martabat bangsa Melayu agar turut bersama-sama maju dalam abad ke-21 ini."

Keazaman yang ditunjukkan oleh Sultan Selangor ini kerana baginda telah mengangkat sumpah pada saat dilantik sebagai sultan. "Saya juga berjanji dengan Almarhum Ayahanda, sebelum beliau mangkat dan memberi wasiat kepada saya supaya memelihara Islam, Melayu, jaga perpaduan antara kaum di negeri ini serta jangan ketepikan bangsa Melayu.

"Itu amanah daripada Almarhum Ayahanda, dan saya berpegang kepada janji itu. Almarhum Ayahanda menangis dan bimbang semasa memberi wasiat tersebut kepada saya. Beliau tidak mahu saya jadi sultan yang berkhayal saja, main-main. Beliau mahu saya serius melakukan tugas, dan saya beritahu akan lakukan yang terbaik."


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131211/re_02/Keazaman-pelihara-Islam-Melayu-perpaduan-kaum#ixzz2nEDcVgeq  
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

No comments: