Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 13 December 2013

KDN kemuka 10 maklumat

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN 
pengarang@utusan.com.my
MOHAMAD Sabu mengangkat tangan setelah memenangi pemilihan jawatan Timbalan Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA 12 Dis. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengemukakan 10 maklumat yang didakwa mengaitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dengan fahaman Syiah.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi menegaskan, Mat Sabu pernah menggesa umat Islam mencontohi kepemimpinan Islam berdasarkan cara Ayatollah Khomeini melalui tulisannya bertajuk ‘Teladan pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini’ dalam ruangan Fikrah akhbar Harakah keluaran 15 Julai 2008.

Beliau berkata, pemimpin Pas itu juga menyatakan kekagumannya terhadap kepimpinan dan perjuangan Khomeini yang banyak mencorakkan pemikirannya dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden Pas pada 13 Jun 2011.

“Ketika mengulas perutusan sempena Hari Krismas tahun 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, beliau telah menggunakan pendekatan ulama Syiah iaitu Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar khas di KDN di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, temu ramah yang dibuat oleh agensi berita Antara Pos dengan Timbalan Presiden JATI, Datuk Aidit Ghazali menjelaskan bahawa Mat Sabu merupakan ikon Syiah dan gagal menafikan diri beliau mempunyai kaitan dengan Syiah.

Seterusnya beliau berkata, Mat Sabu secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan iaitu Saiyyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau dan isterinya kerap bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat hingga lima kali.

Katanya, berdasarkan maklumat, Mat Sabu didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah Satun, Selatan Thailand pada 2011 serta melakukan kunjungan ke atas pemimpin Syiah dan menghadiri Majlis Ramah Mesra di sana.

“Beliau juga didapati telah beberapa kali menghadiri majlis pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada 2011.

“Kelas pengajian tersebut dikendalikan oleh dua orang ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di salah sebuah sekolah agama di Gunung Semanggol," katanya

Abdul Rahim menambah, berdasarkan temu ramah pegawai kementerian, Zamihan Mat Zin bersama C.N Afghani (sahabat Mat Sabu selama hampir 20 tahun) di Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 9 Disember lalu, C.N Afghani menjelaskan bahawa pemimpin Pas itu kerap kali melawat Iran dan pernah terlibat dalam program penghantaran pelajar Malaysia di Qom, Iran.

Selain itu, katanya, berdasarkan temu ramah Zamihan bersama Dr. Abdul Aziz Hanafi pada 11 Disember lalu, Dr. Abdul Aziz menjelaskan bahawa Mat Sabu pernah melafazkan selawat sebagai mana yang diamalkan oleh penganut Syiah pada satu sesi ceramah Pas di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada 2005.

“Tuan Guru Haji Abd. Rahim dari Sungai Jagung, Pendang, Kedah juga menjelaskan bahawa Mat Sabu merupakan salah seorang penganut Syiah.

“Ini kerana beliau sendiri beberapa kali pernah melihat Mat Sabu menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya. Amalan ini sinonim dengan golongan Syiah," katanya.

Justeru kata Abdul Rahim, maklumat yang dikemukakan jelas menunjukkan bahawa Mat Sabu mempunyai kaitan dengan fahaman dan aktiviti Syiah.

Di samping itu katanya, Mat Sabu didapati menggesa umat Islam di negara ini untuk mencontohi pemikiran dan corak pemerintahan Imam Khomeini yang jelas berasaskan Syiah.

Selain itu, jelasnya, keterangan Mat Sabu sendiri melalui kata-kata, penulisan, rakaman ceramah dan aktiviti yang disertainya sama ada di dalam dan luar negara tidak dapat sama sekali menyembunyikan kaitan beliau dengan Syiah.

“Manakala keterangan dari rakan-rakan beliau yang pernah bersama-sama berjuang dalam lapangan politik yang sama juga turut memperakui bahawa beliau seorang yang mempunyai kaitan dengan Syiah.

“Maklumat yang dikemukakan ini jelas menunjukkan bahawa KDN dan agensi-agensi kerajaan lain sentiasa memantau dan peka dengan ancaman kegiatan serta fahaman Syiah yang boleh menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah gejala perpecahan dan keruntuhan nilai persaudaraan ummah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan KDN termasuk polis serta agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri akan terus bekerjasama membendung pengaruh fahaman dan gerakan Syiah dalam kalangan rakyat Malaysia.

“KDN akan bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan manakala Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri melihat dari aspek akidah dan penguatkuasaan di peringkat negeri," katanya.






No comments: