DARI UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 25 Mac - Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Datuk S. Nallakaruppan
menyokong pandangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang
menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak wajar diberi peluang untuk terus
mentadbir negara.
Beliau juga bersetuju dengan pandangan Daim bahawa Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk memegang jawatan Perdana
Menteri.
Katanya, beliau cukup mengenali Anwar sepanjang 30 tahun persahabatan
mereka dan yakin moral serta kerakusan politik Ketua Pembangkang itu
hanya akan meletakkan Malaysia dalam keadaan tidak menentu jika menjadi
Perdana Menteri.
Menurutnya, Anwar tidak pernah berubah walaupun telah dihadapkan ke
mahkamah pada 1998 dan kemudian dipenjara selama enam tahun, sebaliknya
semakin rakus dalam usahanya mengejar cita-cita peribadi menjadi Perdana
Menteri sehingga sanggup berbuat apa sahaja.
"Saya bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Daim kerana Najib sudah
melakukan banyak perkara yang positif dalam masa empat tahun selepas
beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara sama ada dari segi
politik, ekonomi mahu pun dalam aspek sosial.
"Memilih Anwar sebagai Perdana Menteri adalah satu perjudian bagi masa depan negara,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah negara Islam seperti
Malaysia hendak dipimpin oleh seorang yang dipersoal dan dibelenggu isu
moral.
Daim dalam wawancara khas dengan akhbar berbahasa Inggeris, New Sunday Times
semalam menyatakan yang beliau lebih suka sekiranya Najib menang pada
pilihan raya umum akan datang berbanding Anwar yang disifatkannya bukan
calon tepat untuk menjadi Perdana Menteri.
Dalam wawancara itu juga, Daim memberitahu, Najib telah melaksanakan
tugasnya dengan begitu baik dan patut diberikan mandat untuk menerajui
negara bagi meneruskan dasar-dasar transformasi, berbeza dengan Anwar
yang disifatkan tidak cekap dalam bidang ekonomi.
Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, rakyat kini mengenali belang
sebenar Anwar dan kegagalan Ketua Pembangkang itu memberi penjelasan
meyakinkan mengenai pelbagai perkara termasuk isu moral membuktikan
beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri.
"Anwar sudah menimbulkan banyak masalah kepada rakyat dan negara,
beliau yang mencipta masalah tetapi kemudian menuding jari kepada pihak
lain khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk dalam isu moral
jadi bagaimana kita mahu memilih pemimpin seperti ini," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata,
BN mampu kembali mendapatkan mandat besar memandangkan sokongan kuat
rakyat terhadap kerajaan serta Perdana Menteri yang komited terhadap
tanggungjawab masing-masing.
''Kini rakyat sudah tahu menilai beza antara kaca dan permata, mana
satu kerajaan yang baik dan mana satu kerajaan yang hanya tahu
mengkritik serta berjanji kosong.
''Jadi saya optimis rakyat akan memberi peluang lebih kepada Perdana
Menteri serta BN pada pilihan raya umum nanti kerana mereka mahukan
kerajaan yang mampu membangunkan taraf hidup serta memajukan negara,"
katanya.
No comments:
Post a Comment