KUALA LUMPUR 12 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak
menggadaikan masa depan negara dengan memilih pakatan pembangkang pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
Beliau berkata, PRU-13 bukannya tempat untuk melakukan eksperimen
sebaliknya pilihan raya tersebut merupakan platform terbaik untuk
memilih sebuah kerajaan yang kuat serta mempunyai rekod meyakinkan
seperti kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tegasnya lagi, rakyat harus sedar bahawa kestabilan serta keamanan
negara hanya boleh dibentuk melalui sebuah kerajaan yang benar-benar
kuat dan bukannya daripada sebuah kerajaan yang lemah.
''Oleh itu jangan perjudikan masa depan negara dengan memilih pakatan
pembangkang. Ketiga-tiga parti tersebut berlainan ideologi, berlainan
platform. Mereka bukan satu parti yang kukuh.
''Malah sehingga kini pakatan pembangkang tidak didaftarkan sebagai
sebuah parti (seperti BN). Bukan itu sahaja, sehingga kini persoalan
siapa yang akan menjadi Perdana Menteri masih belum diputuskan,''
katanya dalam program Conversation with the PM yang disiarkan di TV3 malam ini.
Najib dalam program itu turut menyentuh mengenai kegagalan pihak
pembangkang menunaikan janji manifesto mereka seperti yang ditawarkan
pada pilihan raya 2008 yang sepatutnya membuka mata rakyat.
''Mereka gagal menunaikan manifesto pilihan raya 2008. Janji hanya
tinggal janji. Janji mereka hanya janji kosong. Bahkan ada pemimpin
mereka kata manifesto bukannya janji,'' ujarnya.
Berbanding dengan BN, beliau berkata, sejak 50 tahun lalu parti
tersebut berjaya membuktikan kemampuannya mentadbir dan membela nasib
rakyat dengan baik.
''Cuba lihat pemerintahan BN dalam tempoh empat tahun yang lalu
bagaimana kerajaan bersungguh-sungguh membangunkan negara dan membela
rakyat melalui agenda transformasi negara.
''Hasilnya pertumbuhan ekonomi negara pada suku terakhir tahun lalu
mencecah 6.4 peratus dan 5.6 peratus keseluruhan tahun dalam keadaan
ekonomi global yang tidak menentu.
''Begitu juga pencapaian kita dalam meningkatkan pendapatan per kapita dalam tempoh tiga tahun sebanyak 49 peratus,'' katanya.
Beliau berkata, pada tahun 2009 pendapatan per kapita yang direkodkan
adalah sebanyak AS$6,700 (RM20,700) setahun tetapi pada hujung 2011
pendapatan per kapitanya ialah AS$9,700 (RM30,070) setahun.
''Mesej yang mahu saya sampaikan di sini ialah dalam tempoh empat
tahun ini kita telah sedaya upaya memajukan negara dan membela rakyat
dan inilah hasilnya.
''Insya Allah sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada BN kita
akan menawarkan banyak lagi agenda-agenda untuk memajukan negara serta
rakyat dalam tempoh lima tahun lagi,'' katanya lagi.
Menjawab satu soalan beliau berkata, BN akan melancarkan manifestonya selepas Parlimen dibubarkan.
''Kita tidak boleh terlalu awal dan terlalu lewat untuk melancarkan
manifesto ini. Kita mahu rakyat memberi perhatian kepada manifesto kita
dan dalam masa sama menyebar luaskan untuk pengetahuan seluruh rakyat,''
katanya lagi.
Mengenai calon yang akan mewakili BN, Perdana Menteri memberi jaminan
hanya calon boleh menang sahaja yang akan mewakil parti tersebut,
''Secara umumnya senarai calon hampir siap tetapi senarai ini masih
tertakluk kepada perubahan-perubahan sehingga saat kita akan umumkan
nanti. Walau apa pun kebanyakan kawasan telah kita putuskan,'' katanya
lagi.
KOMEN : UNDI SAYA MEMANG UNTUK BN
No comments:
Post a Comment