DARI UTUSAN MALAYSIA
PASIR PUTEH 25 Mac - Bekas ahli Pas seumur hidup,
Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena C.N. Afghani
berhasrat untuk bertemu dan memohon maaf kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad
kerana pernah merancang untuk membunuh bekas Perdana Menteri itu pada
1988.
Penulis buku Kafirkah Aku? itu berkata, dia sedang menunggu masa yang sesuai untuk bertemu dengan Dr. Mahathir bagi menunaikan hajatnya itu.
Katanya, rancangan untuk melakukan pembunuhan tersebut timbul kerana
terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi yang menyatakan bahawa UMNO kafir.
"Pada ketika itu, saya menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas
Padang Terap. Rancangan ini terbit kerana kami mahu melaksanakan negara
Islam dengan mudah, cara pilihan raya lambat dan kami tidak boleh
menunggu lagi.
"Selain Dr. Mahathir, kami juga mempunyai senarai nama menteri
Kabinet untuk dibunuh. Bagi menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN),
kami sudah ada Kabinet bayangan. Kami mahu Ahli Jawatankuasa Pas Pusat
(pada waktu itu), Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun rancangan ini gagal selepas dihidu oleh pihak berkuasa dan
30 rakan-rakan saya ditangkap.
"Hari ini rancangan tersebut sudah tidak ada lagi dan saya
sememangnya berhajat untuk bertemu dengan Dr. Mahathir untuk memohon
maaf, cuma sedang menunggu masa sesuai," katanya kepada pemberita
selepas menyampaikan ceramah dalam Program Himpunan Selamat Tinggal Pas
di Pejabat Gerakan UMNO, Kampung Kandis di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman;
aktivis Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati), Mohd. Syamsul
Mohd. Yusoff al-Hafiz dan Pengerusi Selamat Tinggal Pas, Shaidi Husin.
Zainon berkata, hari ini, Pas tidak lagi memperjuangkan Islam, malah
telah menggadai agama suci itu selepas bertahaluf siyasi dengan DAP dan
Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Jika dahulu Pas ingin menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum
hudud tetapi hari ini semua perkara itu sudah tiada. Ini jelas kerana
pada Januari 2003, Abdul Hadi menyebut, oleh kerana kerjasama dengan
barisan alternatif terhalang, maka Pas melakukan pengorbanan besar
dengan menggugurkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
"Malah pada tahun 2009, Abdul Hadi bersama Presiden PKR, Datin Seri
Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah
menandatangani perjanjian untuk tidak melaksanakan hudud dan negara
Islam.
"Jadi, jika pemimpin Pas pergi ke setiap cawangan dan menyatakan
mereka akan melaksanakan dua perkara tersebut, itu adalah pembohongan
yang besar kerana mereka sudah ada perjanjian, contohnya bila ada
pemimpin Pas menyebut kembali tentang negara Islam dan hudud, Guan Eng
kata lihat kembali (kepada) perjanjian," katanya.
Menurut beliau, UMNO walaupun 'batang tubuhnya' tidak menyatakan
Islam tetapi tidak pernah menandatangani perjanjian seperti itu, malah
mereka melaksanakan Islam.
Tambahnya untuk itu, umat Islam wajib mempertahankan kerajaan sedia ada pada pilihan raya akan datang demi agama dan negara.
1 comment:
alamak. utusan. kena tapis dulu
Post a Comment